Saturday, February 14, 2009

BAJET MINI JANA EKONOMI

Minda Pengarang Berita Harian

BAJET mini yang bakal dibentangkan di sidang Dewan Rakyat 11 Mac ini amat dinantikan meskipun negara, terutama pemimpin politik sibuk menghadapi cabaran politik semasa, khususnya di Perak serta bakal menghadapi dua pilihan raya kecil serentak selepas pembentangan itu nanti.

Bajet mini itu seperti kata Datuk Seri Najib Razak kelmarin, bertujuan memastikan negara mampu menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan butiran terperinci bajet berkenaan kini dalam proses penyediaan serta mengumpul pelbagai maklumat yang perlu untuk dimasukkan ke dalamnya.

Bajet mini itu merangkumi pakej rangsangan fiskal kedua dengan saiz peruntukan lebih besar berbanding RM7 bilion dalam pakej pertama. Berikutan kemelut ekonomi global, kebanyakan negara terpaksa menyuntik dana dalam sistem menerusi pakej rangsangan.

Kelmarin, senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan pelan menyelamat bernilai AS$838 bilion, dalam usaha membebaskan kuasa dunia itu daripada belenggu krisis kredit yang dimulakannya tahun lalu sehingga merebak ke seluruh dunia.

Kita tidak pasti berapa banyak dana untuk bajet mini itu nanti, tetapi penganalisis ekonomi menyatakan kerajaan masih mampu menyuntik dana sehingga RM35 bilion dalam pakej rangsangan kedua bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kerana negara kini memiliki jumlah tabungan yang tinggi.

Ada dua perkara yang menjadi kebimbangan dalam bajet mini itu nanti iaitu dari segi pembiayaan dan defisit yang bakal diterima. Dari segi pembiayaan dan tanpa mengambil kira jumlah simpanan di institusi berkaitan kerajaan lain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) saja memiliki jumlah simpanan RM250 bilion.

Wang ini boleh digunakan tetapi seperti biasa, sebarang yang berkaitan KWSP agak sensitif di kalangan rakyat dan terpulang kepada kerajaan bagaimana untuk meyakinkan, khususnya pencarum. Berikutan pakej kedua itu juga, defisit bajet kerajaan bagi tahun ini dijangka lebih tinggi daripada yang diunjurkan sebelum ini, 4.8 peratus.

Kadar kenaikan defisit bajet itu akan bergantung kepada jumlah yang akan diperuntukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua itu. Tetapi kita yakin kerajaan mampu meningkatkan perbelanjaannya menerusi pakej rangsangan fiskal lebih besar untuk merancakkan ekonomi negara kerana defisit bajet negara ini masih di paras yang rendah.

Sebagai contoh, defisit bajet Amerika Syarikat kini hampir 10 peratus tetapi Malaysia masih sekitar lima dan enam peratus, justeru pertambahan dalam perbelanjaan bukan menjadi isu bagi kita. Apa yang lebih penting ialah kerajaan perlu memikirkan langkah strategik melangkaui lebih daripada rangsangan fiskal dan monetari bagi berdepan krisis kewangan sejagat.

Malah, diharapkan juga semua segmen masyarakat dan wilayah mendapat manfaat peruntukan bajet mini itu nanti, termasuk di negeri yang dikuasai pembangkang bagi menunjukkan keikhlasan kerajaan membangun ekonomi tanpa mengira fahaman politik.

No comments: