Tuesday, June 30, 2009

IBU BAPA MANJAKAN ANAK?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya setuju dengan pendapat Mahasiswa Tua dalam Utusan Malaysia hari ini (1 Julai 2009) tentang isu anak-anak yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa walaupun mereka telah masuk universiti.

Samalah seperti saya dulu masuk universiti pun pergi sendiri. Memang itu adalah pengalaman hebat yang mengajar kita berdikari.

Memang ramai ibu bapa kini lebih risau tentang anak-anak daripada anak-anak itu sendiri. Kita tidak patut menganggap anak-anak yang dah masuk U macam budak sekolah rendah atau sekolah menengah dulu.

Walaupun isu ini nampak remeh, tetapi ia mungkin memperlihatkan budaya berfikir masyarakat kita hari ini. Renung-renungkanlah pendapat tersebut:

BIARKAN ANAK BERDIKARI DI IPTA

PADA 28 Jun 2009 lalu saya dan ramai lagi ibu bapa menghantar anak-anak kami ke salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan. Selepas mendaftar, ibu bapa dipanggil ke sesi bersama Pengetua Kolej masing-masing. Saya pada mulanya enggan menyertai dengan alasan tersendiri. Akhirnya saya dijemput oleh petugas untuk menghadiri sesi tersebut.

Dalam sesi tersebut, saya mendengar masalah-masalah yang remeh- temeh ditimbulkan oleh ibu bapa seperti bolehkah anak-anak dihubungi melalui telefon bimbit, apakah makanan yang disediakan, kerosakan loker dan perkara-perkara yang saya sendiri merasakan tidak perlu bagi ibu bapa mencampuri urusan-urusan universiti.

Persoalan di sini kenapa kita ibu bapa terlalu mengambil berat mengenai anak-anak kita yang telah dewasa memasuki IPTA sehinggakan ibu bapa yang lebih bimbang berbanding anak-anak itu sendiri. Tidak hairan di satu masa nanti pihak IPTA terpaksa menubuhkan persatuan ibu bapa di IPTA masing-masing seperti disekolah-sekolah.

Ibu bapa seharusnya melepaskan anak-anak untuk berdikari dan menyelesaikan masalah mereka di universiti. Cukuplah bagi kita sebagai ibu bapa menyediakan keperluan asas mereka. Sampailah masanya untuk kita membiarkan mereka berdikari dan membiarkan mereka mencari penyelesaian.

Akhirnya saya memberikan buah fikiran saya di sesi tersebut dengan menyatakan bahawa saya kini melepaskan anak sendiri ke universiti dengan harapan beliau akan matang, berfikiran kritikal dengan permasalahan-permasalahan yang bakal ditempuhinya. Saya tidak akan mencampuri urusan atau masalahnya di universiti nanti.

Kenapakah ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak sehingga tidak sanggup berjauhan biar pun universiti itu hanya di depan mata? Saya semasa memasuki universiti satu masa dulu hanya bersendirian mendaftar diri tanpa ibu bapa dan kami menyelesaikan permasalahan tanpa campur tangan ibu bapa.

Marilah ibu bapa semua memberikan sedikit ruang dan peluang kepada anak-anak untuk berdikari dan berfikir secara sendirian untuk menyelesaikan apa jua masalah yang akan mereka hadapi.

Ibu bapa janganlah terlalu memanjakan anak-anak dan jangan biarkan pihak IPTA menubuhkan persatuan ibu bapa di universiti. Cukup sekadar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah.

MAHASISWA TUA, Banting, Selangor.

Sunday, June 21, 2009

BENARKAH SISTERS IN ISLAM SESAT?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya sangat bimbang dengan percubaan kumpulan yang terus menyebarkan ideologi Islam Liberal yang difatwakan sesat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-74.

Kerajaan harus berani bertindak ke atas mana-mana kumpulan yang mendokong ideologi itu. Ini termasuk Sisters in Islam. Berani kerana benar.

Saya pernah bertemu Zainah Anwar pada tahun 1980-an dulu. Seingat saya dia memang aktif dalam NGO sehingga akhirnya menubuhkan SIS pada tahun 1988. Pada mulanya SIS hanya mengeluarkan kenyataan di akhbar-akhbar tentang isu yang melibatkan wanita.

Beliau nampaknya pandai menggunakan strategi dengan melibatkan tokoh-tokoh wanita seperti Marina mahathir dan Nori Abdullah dalam proram-program mereka sehingga seolah-olah diiktiraf oleh kerajaan.

Kini banyak isu-isu Islam cuba diulas dari perspektif yang salah dan keterlaluan, hanya kerana mendokong kesamarataan, keadilan, kebebasan dan kemuliaan wanita. Malangnya, pandangan mereka dikatakan sering bercanggah dengan ajaran Islam sebenar dan terlalu condong kepada idea kebebasan Barat.

Kenyataan akhbar di bawah elok dijadikan renungan semua:



KENYATAAN MEDIA: ABABIL PUMPP GESA JANGAN MEMPOLITIKKAN ISU KESESATAN LIBERALISME SISTERS IN ISLAM (SIS)

15 Jun 2009

Muktamar PAS kali ke-55 yang lepas memperlihatkan usul mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas Sisters In Islam (SIS) yang membawa aliran Islam Liberal dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan Syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya menjadi perdebatan yang hangat oleh pihak parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang lain. Isu ini semakin dipolemikkan sehingga masyarakat bertambah keliru tentang masalah yang timbul dan mungkin mengambil tindakan ‘lepas tangan’ dalam memahami persoalan akidah yang menjadi teras pegangan setiap umat Islam.

Mutfi Perak, Sahibus Samahah Datuk Seri Harussani Zakaria bersetuju dengan gesaan PAS supaya pertubuhan wanita terkenal SIS disiasat berhubung dakwaan menggugat akidah Islam. Namun, beberapa pemimpin parti politik menyertai kira-kira 322 NGO dan individu membantah gesaan PAS supaya SIS diharamkan. Usul Muktamar Pas ini nampaknya sudah dijadikan mainan politik sehingga menyebabkan kekeliruan yang besar dalam masyarakat. PAS hanya mendesak pihak yang berwajib untuk menyiasat SIS dan bukan menghukum SIS haram seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. SIS dan penyokong mereka telah mengambil kesempatan untuk mempolemikkan isu ini dengan mengetengahkan isu ekstrimisme ulama’ dan hak kebebasan bersuara. Isu akidah dan Syariat Islam tidak harus dipolitikkan sebegitu rupa terutama sekali dalam konteks Islam sebagai agama persekutuan negara Malaysia.

Islam Liberal sudahpun difatwakan sesat dan bercanggah dengan Syariat Islam dalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-74 yang lalu. Pengeluaran fatwa ini merupakan tepat pada masanya apabila sejak akhir-akhir ini pelbagai salah faham terhadap Syariat Islam sengaja digembar-gemburkan oleh golongan Islam Liberal yang kuat berpegang kepada ideologi sekular-liberal dan humanisme anjuran Barat. Golongan Islam Liberal ini mengakui berpegang kepada ajaran Islam tetapi Islam yang dibawa mereka adalah Islam yang beracuan pemikiran semata-mata berteraskan ideologi Barat. Kewajaran fatwa ini juga dilihat dapat menyekat pelbagai masalah-masalah lain yang bakal timbul dalam aspek kesucian ajaran Islam seperti yang sudah berlaku di negara jiran, Indonesia.

Menurut Prof. Madya Dr. Mohamad Kamil Abdul Majid iaitu Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan dari Universiti Malaya, fahaman Islam Liberal ini juga akhirnya akan sampai kepada peringkat mempertikaikan wahyu. Beliau juga menambah bahawa antara bahaya ajaran ini ialah akan lahir pengikut yang meremehkan al-Qur’ān, meremehkan hadith dan autoriti ulama’. Ini kerana mereka menganggap ulama’lah yang pandai-pandai “mentafsirkan” Islam, sedangkan mereka mahu supaya sesiapa sahaja dapat mentafsirkan Islam.

SIS dikaitkan dengan fahaman Islam Liberal seawal bulan Disember 2000 setelah SIS terlibat secara langsung dalam usaha menubuhkan badan antara agama yang mempunyai kuasa undang-undang menyeru kepada kebebasan beragama yang menjadi kontroversi hangat sehinggalah timbulnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang cuba direalisasikan pada bulan Februari 2005 yang lalu. Perkaitan SIS dengan fahaman Islam Liberal ini juga bertambah jelas pada awal tahun 2005 apabila sekumpulan aktivis hak asasi manusia yang diketuai oleh SIS sendiri telah melancarkan kempen Anti Kawalan Moral terhadap pihak berkuasa agama dan kerajaan tempatan ekoran tindakan para penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan lebih 100 orang pengunjung kelab malam Zouk di Kuala Lumpur.. Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah meminum arak, pergaulan bebas dan berpakaian kurang sopan. SIS juga dilihat seolah-olah anti-fatwa apabila terlibat secara langsung dalam membantah fatwa pengharaman yoga dan pengkid yang dibuat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini. Ini merupakan sebahagian kecil daripada isu-isu yang dipolemikkan SIS dalam menyentuh kesucian akidah dan Syariat Islam.

Antara tokoh Islam Liberal yang sangat terkenal ialah Aminah Wadud, beliau telah membuat bida‘ah kesesatan ibadat yang besar dengan mengimamkan solat Jumaat di mana makmumnya bercampur-baur bersama-sama lelaki dan wanita. Usul menyiasat kedudukan SIS dalam Islam juga dilihat bertetapan memandangkan program Musawah anjuran SIS pada 13 hingga 17 Februari yang lalu, Amina Wadud adalah salah seorang antara hampir seratus tokoh Islam Liberal antarabangsa yang telah dijemput sebagai salah seorang pembentang kertas kerja utama bertajuk “Islam Beyond Patriarchy Through Gender Inclusive Qur’anic Analysis” yang membahaskan tentang kesaksamaan jantina dalam perkara berkaitan Islam terutama dari sudut Perundangan Syariah dalam usaha cuba mentafsir semula al-Qur’ān berdasarkan pandangan mereka sendiri. Peluang kepincangan perjalanan sistem Mahkamah Syariah di Malaysia nampaknya direbut oleh SIS dalam menjadikan alasan kukuh buat mereka untuk mempertikaikan kewajaran Syariah dalam menjaga hak seseorang wanita. Sepatutnya perjalanan sistem yang dilaksanakan oleh manusia itu dikaji dan diperbaiki semula, bukan mempertikaikan ketetapan hukum Syariah yang mutlak digariskan oleh Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL) di bawah kelolaan Persatuan Ulama’ Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) menggesa semua pihak memberhentikan sebarang pandangan dan kenyataan media terhadap SIS bagi mengelakkan tercetusnya perbalahan dan kekeliruan masyarakat yang bakal merosakkan nilai-nilai Islam dalam diri masyarakat Islam khususnya. ABABIL juga menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri untuk segera menyiasat latar belakang serta program-program kelolaan SIS bagi mendapatkan kepastian dakwaan pihak tersebut terhadap SIS. Hasil siasatan ini juga harus dilaporkan kepada umum bagi merungkai kekeliruan masyarakat terhadap tuduhan SIS membawa fahaman Islam Liberal.

Ustaz Rosidi bin Hussain,
Penolong Setiausaha, PUMPP.
b/p YDP PUMPP.
(019-4704800)

`Izzat Anwari bin Hasni,
Koordinator, ABABIL, PUMPP.
(013-4025770)
Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL),
Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP),
Pusat Tafaqquh al-Ghazali,
1003 Tingkat 1, Jalan Kubang Semang,
13500 Seberang Perai Tengah,
Pulau Pinang.
Emel: ABABIL.PUMPP@ Gmail.com

Saturday, June 20, 2009

NurTv - CADANGAN NAMA TV ISLAM



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hasrat kerajaan mewujudkan tv Islam melalui JAKIM adalah cadangan yang baik.

Saya teringat kepada perbincangan saya dengan Sdr. Nizal Mohamad pada tahun 2007. Kami berbincang perlunya diwujudkan saluran tv Islam. Malah saya dah buat drat awal atas nama NurTv. Masa tu kami fikir nak wujudkan tv swasta Islam, tapi disebabkan tiada modal dan sukar untuk dapat lesen, idea itu padam begitu saja.

Apapun, hari ini saya gembira kerana idea tersebut bakal direalisasikan tidak lama lagi. AllAhuakbar! Allah Maha Besar. Alhamdulillah, kerana akhirnya ilham yang saya dapat pada tahun 2007 itu juga diberikan Allah SWT kepada orang lain yang mampu merealisasikannya!

Syabas YAB PM dan Mej. Jen (B) Dato' Jamil Khir Baharom atas keberanian meneroka medium baru Islam yang sangat diperlukan sekarang. Sesungguhnya, medium penyampaian Islam perlu seiring dengan perkembangan teknologi moden.

Cadangan saya nama tv Islam itu ialah NurTv International. Nur bermaksud cahaya. Jadi saluran NurTv adalah saluran tv yang bakal membawa "cahaya Islam" kepada seluruh dunia Islam. Biarlah penyampaiannya dalam pelbagai bahasa - Melayu, Inggeris, Arab, Perancis, Mandarin dan Tamil (bahasa utama dunia yang paling banyak penuturnya) - menjadikannya bertaraf dunia, bukan untuk orang Melayu di negara ini sahaja.

Saya yakin, negara-negara OIC akan turut memebrikan sokongan. Kalau saya tak silap, dalam Persidangan OIC pernah mencadangkan siaran tv Islam beberapa tahun dahulu, tetapi tak ada satu negarapun sanggup menyahut cabaran. Nampaknya, Malaysia akan menjadi negara Islam pertama yang mempunyai tv Islam bertaraf antarabangsa, setelah menjadi negara pengeluar kereta nasional pertama di kalangan negara-negara Islam.

NurTv akan menjadi medium dakwah alaf baru, mengangkasakan sinar dan syiar Islam ke persada dunia. Saya yakin kita punyai kepakaran, kreativiti dan daya inovasi yang boleh dan mampu mengisi, sekaligus menyerlahkan penampilan NurTv International. Terdapat banyak bahan-bahan yang boleh digunakan untuk mengisi program NurTv International. Pastinya nama Malaysia akan semakin dihormati di dunia Islam.

Moga usaha ini akan diberkati Allah jua.
BAM AL-HAJ

Thursday, June 18, 2009

SELAMAT HARI BAPA





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pagi ini saya menangis apabila menonton Malaysia Hari Ini yang mengangkat topik "Selamat Hari Bapa".

Hati saya cukup tersentuh. Tiba-tiba saja air mata saya tidak dapat ditahan-tahan lagi apabila mengenangkan ayah dan anak-anak saya (Sebagai lelaki, saya jarang-jarang menangis!).

Rupanya, sebagai lelaki dewasa, kita sekaligus adalah anak dan bapa - dua peranan besar yang diamanahkan Tuhan. Saya sedar, sebagai anak, saya bukanlah seorang yang benar-benar mampu membalas jasa-jasa ayah. Sekadar memberikan ayah seratus dua setiap bulan rasanya belum cukup untuk membalas dan menghargai jasa ayah membesarkan kami enam beradik.

Kadang-kadang balik menjenguk ayah dan ibu sebulan sekalipun kami tak mampu lakukan, atas alasan sibuk bekerja. Kepada ayah, anakanda mohon maaf setulusnya atas kelemahan dan kekurangan sebagai anakmu ini... (walaupun saya tahu ayah tak mungkin membaca blog ini kerana di Felda Keratong 4 tu tidak ada komputer dan internet, dan ayah pun memang "buta huruf" bab komputer ni).

Ayah yang serba daif dan terpaksa bekerja keras sebagai pesawah padi di Sg Leman, Sekinchan, Selangor dan kemudian terpaksa berpindah ke Felda pada tahun 1979, akhirnya berjaya membesarkan kami sebaik-baiknya. 4 daripada 6 adik-beradik kami lulus universiti, namun saya tak kan mampu membalas jasamu, ayah... (Saya tak pasti sama ada saya mampu menandingi ayah dalam hal pendidikan ini).

Sebagai bapa kepada anak-anak juga saya bukanlah bapa yang benar-benar berjaya mendidik enam orang anak yang sedang membesar untuk mengharungi kehidupan yang serba mencabar ini. Kadang-kadang, disebabkan ketidakmampuan kewangan, permintaan anak-anak tak mampu saya penuhi, walaupun sudah diusahakan sedaya upaya yang terdaya. Kerapkali permintaan mereka tertangguh seminggu atau sebulan.

Walaupun wang bukan segala-galanya, namun dalam zaman moden sekarang, segala-galanya perlukan wang!

Bukan mudah untuk menggembirakan hati anak-anak, walaupun permintaan mereka bukanlah terlalu berlebih-lebihan. Hari ini barulah saya faham erti kebahagiaan yang sebenar, yang hanya akan hadir apabila kita mampu dan berjaya "membahagiakan" orang lain - terutama ayah dan anak-anak, di samping isteri pendamping setia.

Sesungguhnya, hidup ini sebenarnya bukanlah untuk diri sendiri, tetapi adalah untuk orang lain. Yang lebih dari itu, hidup ini tidak lain daripada proses menunaikan amanah Allah SWT sebagai hamba dan khalifah-Nya di bumi ini.

Tetapi, bak kata Ustaz Ismail Kamus satu ketika dulu, "barang siapa yang tidak mempunyai apa-apa, tidak dapat memberikan apa-apa kepada orang lain!".

Oleh itu, jadilah orang yang mampu "memberi" untuk membahagiakan diri sendiri.

Selamat hari bapa!

BAM AL-HAJ

WAJIBKAN BAHASA INGGERIS - TIDAK PERLU TERBURU-BURU



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Belum selesai isu PPSMI, kerajaan pula cadang nak wajibkan Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus SPM. Kita faham niat/nawaitu kerajaan untuk meningkatkan keupayaan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Cadangan yang baik ini memang patut disokong. Hasrat untuk maju dengan melakukan pembaharuan-pembaharuan memang wajar. Namun, pembaharuan yang dilakukan dengan tergesa-gesa patut dihindarkan.

Jangan jadi macam PPSMI. Ketika nak dilaksanakan dulu tidak dibincangkan semasak-masaknya. Bila timbul masalah, barulah kita desak nak mansuhkan.

Oleh itu, kerajaan patut buat kajian yang mendalam bagi memantapkan keputusan yang hendak dibuat. Tanya pakar. Islam pun dah beri garis panduan supaya merujuk kepada "ahlinya", orang yang benar-benar arif tentang isu itu. Back to basic!

Persediaan untuk melaksanakan sesuatu polisi baru sangat perlu supaya pelajar di luar bandar dapat menikmati tahap pembelajaran yang sama dengan pelajar bandar.

Guru bahasa Inggeris yang mahir dan kemudahan perlu ditambah dahulu. Kemudian mansuhkan PPSMI dan gantikan dengan bahasa Inggeris. Tapi berilah dua pilihan. English dan English Literature. Barulah pelajar kita boleh betul-betul mahir berbahasa Inggeris.

Semoga kerajaan 1Malaysia atau "kerajaan rakyat" ini memberikan masa supaya pakar dan rakyat dapat menyuarakan pandangan. Adakan seminar, perbincangan dan persidangan. Biar semua puas hati. Ambil masa 4 - 6 bulan, bila dah mantap, barulah buat keputusan muktamad. Pepatah Melayu pun kata biar lambat asal selamat. Elok laksanakan tahun 2012 apabila semua dah bersedia.

Ini sahaja cara untuk kerajaan sekarang benar-benar boleh dianggap sebagai "kerajaan rakyat" - rakyat didahulukan, prestasi diutamakan.

Wallahualam.

BAM AL-HAJ

Monday, June 15, 2009

EDUWEBTV



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Usaha baru Kementerian Pelajaran melancarkan EDUWEBTV.COM merupakan satu pencapaian cemerlang negara. Syabas kepada warga kementerian. Anda hebat!

EDUWEBTV, satu kaedah pembelajaran dalam talian merupakan pendekatan inovatif kerajaan dalam memudahkan Pembelajaran dan Pengajaran (P & P) guru dan pelajar.

Kandungan EDUWEBTV terdiri 8 saluran daripada Berita, Rencana, Interaktif, Akademik, TV Pendidikan, Wawancara, Siaran Langsung dan Panduan yang cukup bermanfaat untuk pelajar dan guru-guru.

Betapa beruntungnya pelajar-pelajar generasi sekarang, berbanding dengan semasa saya dan generasi lama dahulu.

Saya masih ingat ketika belajar di SK Sg Leman, Sekinchan, Selangor pada tahun 1968 - 73, bilik darjah kami tiada dinding. Sekolah itu cuma ada dinding separuh dan bumbung atap genting. Bila hujan lebat, tempias air hujan menyebabkan pembelajaran akan tergendala.

Dulu guru mengajar cuma dengan "chalk and talk" dan buku teks yang lusuh, tidak ada buku kerja, tidak ada komputer dan pelbagai kemudahan moden. Tidak ada tadika. Guru pun tak cukup. Alhamdulillah, kami jadi orang yang pandai dan berguna juga.

Kini, generasi muda menikmati pelbagai kemudahan, hasil pembangunan dan kemajuan negara. Kita patut bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan dan pemimpin negara.

Bagi saya, cabaran dunia pendidikan kini adalah cabaran untuk melahirkan manusia yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Yang kita nak lahirkan bukan sekadar seorang warga negara yang tinggi IQnya, tetapi rendah akhlaknya. Kita mahu lahirkan "INSAN BERILMU DAN BERAKHLAK MULIA", yang mempunyai daya tahan dan daya saing yang tinggi pada masa hadapan.

Terima kasih kepada semua warga pendidik di seluruh negara. jasa anda terlalu hebat!

BAM AL-HAJ

Sunday, June 14, 2009

1MALAYSIA & WAWASAN 2020


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Penjelasan demi penjelasan diperlukan tentang 1Malaysia. Di akhbar, di kedai kopi hatta di parlimen masih dibahaskan.

Bagi saya, keterbukaan Dato' Sri Najib Tun Razak untuk menerima pandangan rakyat tentang konsep 1Malaysia adalah wajar. Pendirian beliau untuk tidak bersikap "rigid" dalam menafsirkan konsep ini cukup relevan.

Pada hemat saya, 1Malaysia adalah "tool" atau wahana penting bagi mencapai status negara maju mengikut acuan kita sendiri yang telah digagaskan dalam Wawasan 2020.

Dengan tema "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan", konsep 1Malaysia adalah wahana penting bagi merealisasikan Wawasan 2020. Ia memerlukan penghayatan terhadap prinsip nilai yang terkandung dalam 8 elemen utama - budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti semua pihak kepada negara tercinta.

Penghayatan Konsep 1Malaysia akan meningkatkan kecintaan, patriotisme dan rasa bangga sebagai warganegara Malaysia. Ia memerlukan penyatuan pemikiran - satu impian, satu wawasan, satu kebijaksanaan - bagi mencapai status negara maju kita sendiri.

Konsep 1Malaysia tidak sepatutnya dimanipulasi dan dikelirukan. Asasnya jelas, iaitu Perlembagaan Negara dan Prinsip Rukunegara. Rakyat didahulukan, prestasi diutamakan!

Ingatlah, bersatu teguh, berpecah runtuh!

BAM AL-HAJ

Monday, June 8, 2009

SUKARNYA MENCARI MAKANAN HALAL DI MIDVALLEY



Assalamualaikum.

Tengahari tadi saya dan keluarga ke Mid Valley. Sekadar membeli barang keperluan harian. Oleh kerana lapar, kami ke food court di tingkat 3. Dulu ada food court nasi padang, sekarang dah tiada. Bila ditinjau, tak ada satupun kepunyaan Melayu.

Tapi kebanyakan orang Melayu makan seenaknya tanpa keraguan. Mungkin "selera Melayu" saya tidak kena dengan masakan mereka, walaupun terdapat beberapa orang Indonesia bertudung bekerja di hampir semua gerai.

Hati saya mula terdetik, kenapakah ini terjadi? Saya meninjau ke semua gerai, melihat-lihat tanda halal. Semua gerai nampaknya ada tanda halal, tapi bukan dari Jawi atau Jakim. Sijil halal tu dari luar negeri. Saya agak ragu apakah sijil halal mereka ini betul atau sekadar "sijil beli". Sekadar daftar, bayar dan dapat sijil. Tanpa pemantauan.

Kenapa tidak sijil halal dikeluarkan oleh JAWI atau Jakim. Kenapa tidak dikuatkuasakan oleh badan dalam negeri. Kenapa guna sijil halal luar Malaysia?

Kerana ragu, saya akhirnya turun dan memilih KFC, yang memang digemari oleh isteri saya. Sijil halalnya jelas dari Malaysia. Boss KFC pun Tan Sri Mohd Ali Hashim. Tiada keraguan.

Saya berpendapat makanan amat penting kerana ia akan jadi darah daging kita. Saya minta pihak JAWI atau Jakim kenalah turun padang tengok-tengok keadaan ini. Elok kuatkuasakan semua restoren yang ingin gunakan tanda halal di Malaysia kena dapatkan pengesahan Jakim. Apa perlunya orang luar keluarkan tanda halal? Benarkah mereka buat pemantauan? Siapa mereka? Adakah sekadar bisnes man yang cari makan menjual tanda halal, tanpa pedulikan hukum-hakam?

BAM AL-HAJ
8 Jun 2009.