Friday, August 21, 2009

TAPIS DRAMA KURAFAT!



Assalamualaikum dan Salam Merdeka.

Dua kali saya secara tidak sengaja menonton drama terbaru arahan Rashid Sibir (Pak Mertuaku menggelarnya Rashid Cyber)yang bertajuk "Hantu Raya" di Astro Prima. Sejak beberapa tahun ini, bermula dengan filem "Pontianak Harum Sundal Malam" karya Shuhaimi Baba, cerita-cerita hantu dan seram begitu laris, baik di layar perak mahupun di tv. Maka semua pengarah dan penerbitpun berlumba-lumba buat cerita sebegitu.

Drama-drama itu tentulah bertujuan untuk memberikan keinsafan dan pengajaran. Saya sanjung niat baik Rashid Sibir dan pengarah-pengarah lain. Selain untuk tujuan hiburan, tentulah ada mesej yang hendak mereka sampaikan.

Malangnya banyak yang melanggar batas agama. Cerita Hantu Raya Rashid Sibir itu bagi saya tidak lebih daripada klise karut, tahyul dan menonjolkan unsur-unsur syirik. Apakah tujuan Rashid Sibir, penulis skrip dan penerbit drama tersebut? Dakwah? Pengajaran dan keinsafan? Tidak sedarkah beliau bahawa penggunan tangkal untuk menghalau hantu itu perbuatan syirik dan kurafat? Tanyalah ustaz dan alim ulama. Itu sudah jelas di dalam al-Qur'an.

Tahun lepas, Rashid Sibir juga mengarahkan drama "Pondok Buruk". Dia masukkan watak Rosyam Nor yang insaf dan mencium kaki ibunya. Perbuatan mencium kaki untuk meminta maaf itu bertentangan dengan Islam kerana ia adalah amalan agama Hindu. Tidak pernah dalam sejarah budaya Melayu-Islam di negara ini orang minta maaf hatta kepada ibu bapapun, kena mencium kaki. Adakah setiap hari raya Rashid Sibir buat begitu? Bukankah itu hanya dilihat dalam filem-filem Hindustan, di mana pelakonnya yang beragama Hindu berbuat demikian?

Bagi saya walau bagaimana cantik dan hebatpun jalan cerita dan teknik pengarahan sesebuah drama atau filem itu, ia tetap tidak dapat diterima jika ia bercanggah dengan Islam. Rashid Sibir patut sedar penonton yang melihat drama itu adalah umat Islam. Anak saya yang baru belajar di tingkatan empat pun tahu bahawa penggunaan tangkal adalah perbuatan syirik.

Saya ingin bertanya, apakah Rashid Sibir tidak tahu agama? Sebagai individu Muslim, Rashid Sibir mempunyai bakat, kemahiran dan kedudukan hebat untuk menyampaikan mesej dakwah, tetapi nampaknya ini dirosakkan oleh unsur-unsur sedemikian. Saya berharap dia sedar dan merujuk kepada mana-mana ustaz sebelum berkarya.

Dalam hal ini Rashid Sibir dan dramanya patut dinasihat dan ditegur oleh JAKIM dan Majlis Fatwa. Harap-harap ustaz-ustaz JAKIM janganlah cuma bekerja pada waktu pejabat dan ikut skop kerja masing-masing sahaja. Hal-hal yang berkaitan dengan masyarakat ini perlu juga dibawa ke peringkat atas.

Saya cadangkan supaya JAKIM dan Majlis Fatwa membuat garis panduan yang jelas tentang hal-hal yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pengarah dan penerbit drama kita supaya dia tidak sesat dan menyesatkan orang lain yang menonton hasil karyanya.

Saya lebih suka filem-filem arahan P. Ramlee yang lebih "real" dan bersahaja dalam menyampaikan mesej. Aneh juga, P. Ramlee tidak pernah walau sekalipun cuba mengarahkan filem seram atau cerita hantu. Beliau lebih senang memilih genre komedi, sejarah dan kemasyarakatan yang tidak mencetuskan kontroversi dan tidak terlalu banyak bermain dengan teknik. Cerita-cerita P. Ramlee lebih banyak menonjolkan kekuatan plot dan watak para pelakonnya.

Salam Ramadhan dan Salam Merdeka.

BAM AL-HAJ

Semoga teguran ini

No comments: