Saturday, October 24, 2009

BONUS OH BONUS!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bajet 1Malaysia DS Najib baru-baru ini dianggap mengutamakan penduduk luar bandar, khususnya bagi meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan dan penternak dengan peruntukan RM6 billion. Begitu juga dengan sektor pendidikan, perumahan rakyat, pelepasan cukai individu dan kesihatan.

Pembinaan klinik komuniti di kawasan perumahan tertentu dengan permulaan di 50 lokasi terpilih juga dianggap satu idea yang cukup baik untuk rakyat untuk mendapatkan perubatan percuma.

Namun, seorang kawan marah-marah kerana belanjawan/bajet 2010 yang dibentangkan oleh DS najib semalam tidak sebut langsung pasal bonus. Yang ada ialah bayaran khas RM500 untuk kakitangan gred 41 hingga 54.

Kesiannya ialah kakitangan sokongan. Mereka langsung tidak disebut dalam bajet kali ini. Adakah kerajaan terlupa? Saya kira ini adalah kelemahan yang cukup ketara. Maknanya kerajaan tidak ambil peduli kakitangan sokongan yang selama ini bekerja bertungkus-lumus membantu kerajana mencapai KPI dan NKRA. Apakah orang-orang kecil (the small players) tidak penting. Sepatutnya pemberian khas ini turut merangkumi pekerja di peringkat bawahan.

Saya teringat Kursus Kepemimpinan dan Pengurusan Altruistik (Altruistic Leadership and Management Course) yang kami anjurkan baru-baru ini. Satu prinsip yang sangat penting ialah sikap pemimpin yang mementingkan orang bawahan.

Nampaknya slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan tidak dipraktikkan dalam bajet kali ini. Apakah lebih 600,000 kakitangan sokongan bukan rakyat?

Saya berharap sangat supaya kerajaan menimbangkan semula pemberian bonus atau apa sahaja namanya, terutama bagi kakitangan sokongan.

Rakyat yng patut didahulukan, bukan prestasi. Prestasi bukan tidak penting, tetapi KEUTAMAAN sepatutnya diberikan kepada RAKYAT.

Salam perjuangan orang kecil,

BAM AL-HAJ

Saturday, October 3, 2009

KEMPEN POLITIK DAN PROPAGANDA


Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Berikut artikel Sg. Kelembai (sdr. Zaharin Mohd. Yassin) yang menarik untuk dibaca. Saya mengenali beliau sejak tahun 1993. Dulu beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu.

Walaupun pernah terbuang (dipecat) dari UMNO, analisis politiknya cukup tajam. Ilmu dan pengalaman politiknya cukup tinggi, tapi jarang mahu diambil oleh UMNO kerana sikap kritikalnya. Saya menganggap beliau adalah "intelektual politik" UMNO.

Selamat membaca:

Kempen UMNO Melawan Propaganda Pakatan Rakyat

Masalah UMNO selepas pilihanraya umum 2008 ialah soal kempen dan antara sebabnya kekalahan BN pada PrU ke 12 berhubong dengan soal kempen atau juga dipanggil penerangan.

Persoalan besar yang dihadapi oleh UMNO hari ini ialah disebabkan tiga asas penting yang tidak difungsikan sepenuhnya. Perkara tersebut yang pertama ialah organisasi dalam UMNO sendiri, bermula dari Ibu Pejabat UMNO membawalah kepada diperingkat UMNO Cawangan. Dan setiap Pilihanraya, tenaga pertugas disusun oleh UMNO Bahagian.

Persoalannya adakah UMNO Bahagian mempunyai satu Standard Operating Procedure-SOP. Yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri atau Ibu Pejabat UMNO?. Jawabannya tidak.

Maka berlaku pilih kasih dalam menawarkan jawatan dan tanggungjawab jika berlaku PrU atau PrK. Saya tidak membahas isu ini dalam topik perbincangan tetapi saya hendak menjuruskan kepada persoalan cara berkempen dan juga peranan YB Ahmad Mazlan selaku Ketua Penerangan.

Sepanjang mengikuti cara berkempennya termasuk isu memotong pokok getah. Jelaslah bahawa beliau TIDAK mempunyai latar belakang ilmu komunikasi khasnya komunikasi politik.

Sebenarnya semenjak kira-kira 50 tahun yang lalu banyak sarjana ilmuan komunikasi yang masih mempunyai kesimpulan keliru tentang makna kempen. Mereka memikirkan bahawa berkempen melalui media massa hanya memberikan sumbangan yang terlalu kecil dan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman pemilih atau pengundi untuk membuat keputusan kepada siapa dia akan menberikan undi kepada calun yang bertanding.

Bahan rujukan mereka bergantung kepada dua artikel atau rencana bagi membuktikan tidak ada efektifnya berkempen dalam satu-satu pilihanraya. Artikel yang pertama bertajuk “Some Reason Why Information Campaigan” yang ditulis oleh Hyan dan Sheatsley pada tahun 1947, dan artikel kedua merupakan laporan Hughes (1950) tentang kegagalan kempen bangsa-bangsa bersatu di Cincinati-Ohio. USA (Grossberg 1998.

Kedua tulisan ini telah menyebabkan semangat para ilmuan untuk belajar dan
menerapkan cara berkempen dan sempat juga mengabaikan fenomena berkempen.

Kajian Komunikasi hanya bermula pada tahun 70-an dengan beberapa pertemuan baru dalam soal berkempen di pilihanraya atau sebagainya. Hasilnya pakar-pakar komunikasi telah memperlihatkan satu harapan baru kepada semua pihak termasuk swasta akan potensi perubahan sosial dan prospeknya dalam perkara yang di kempen.

Keberanian ini berkembang bila hasil kajian telah diterbitkan oleh ilmuan komunikasi saperti Mendelsohn(1993) Warner (1977) dan yang terbaharu oleh A.J.Meyer, Nash, McAlister, Maccoby dan Farquhar ditahun 2002. Semua kajian atau laporan tersebut pada perinsipnya menegaskan bahawa sebuah kempen yang dikontruksi atau diperbuat dengan baik akan memberikan efek yang luar biasa terhadap khalayak atau pengundi yang menjadi sasaran. Masa ini kemudian dikenal sebagai era kesuksesan kempen.

Seorang ilmuan komunikasi yang juga Profesor Komunikasi dari Universiti Boston yang bernama Robert E. Simon menegaskan bahawa “bahawa keberhasilan mencapai tujuan kempen banyak ditentukan oleh kemampuan kita dalam merancang, menerapkan dan mengevaluasikan program kempen secara sistemats dan strategis”, Kemampuan semacam itu harus dilandasi oleh pemahaman teori terhadap berbagai dimensi kempen serta kecekapan teknik dalam menerapkannya.

Orang sering mempersamakan kempen dengan propaganda. Hal ini tidak sepenuhnya salah kerana keduanya memang merupakan wujud tindakan komunikasi yang terancang dan sama-sama ditujukan untuk mempengaruhi khalayak atau pengundi.

Sumber kempen selalunya dapat dikenal pasti dan tahu dari mana datangnya sumber itu sebaliknya propaganda lebih suka menyembunyikan identity mereka saperti yang berlaku dalam facebook. Dalam istilah popularnya, kempen lebih suka terang-terangan termasuk dalam blog dalam melakukan aktiviti mereka, sementara propaganda lebih senang ‘sembunyi-sembunyi’ atau juga dipanggil ‘penembak curi’
Dan anda di mana dalam facebook ini? Sekian, daripada Sang Kelembai

Sang Kelembai: Akan cuba bantu di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, jika tidak ada peranan akan bersikap seperti di Pilihanraya Kecil Manik Urai dan Permatang Pasir.. tak pergi

BAM AL-HAJ - Baru beljar jadi pemerhati politik dan strategi politik.

TUN RAZAK MENANGIS MELIHAT UMNO SEKARANG...


Asslamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Saya tertarik dengan artikel Dr. Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA). Kenyataan beliau memang benar. Jika UMNO mahu berubah, kembalilah kepada Islam. Imej UMNO memang dilihat tidak Islamik.

Sepanjang saya menjadi ahli UMNO 1988 - 1999 dan 2000 - 2009, saya memang rasakan UMNO tidak serius untuk membina imej Islamnya, bahkan jika dinilai dari sudut gerakan Islam, boleh dikatakan kosong! Jika dibandingkan dengan PAS dan ABIM, sebagai contoh, UMNO masih terlalu jauh. Sekadar meletakkan dua tiga orang tokoh agama popular (tokoh siaran) di TV tidak mencukupi. Sekadar meletakkan seorang menteri menjaga agama tidak cukup.

Rakyat sekarang sudah celik agama. Anak-anak bertudung, tetapi pemimpin wanita dan isteri-isteri menteri kebanyakannya masih berselendang - budaya berselendang ni zaman Aishah Ghani boleh la. Ini zaman IT, zaman baru - generasi alaf baru. Maknanya pemimpin wanita UMNO ketinggalan zaman 20 tahun!

Saya pun rasa pelik sangat apabila UMNO terus leka dan bergelumang dengan politik wang dan penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya. Wang digunakan untuk mendapat dan mengekalkan kuasa politik, dan apabila berkuasa, kuasa akan digunakan untuk mendapatkan kekayaan yang bukan sedikit, bahkan melampau-lampau. Lihatlah rumah para pemimpin UMNO - Masya Allah - macam tokoh korporat.

Jika DS Najib bertempik di Perhimpunan Agung UMNO untuk memerangi rasuah sampai runtuh dewan PWTCpun, UMNO tidak berubah. Politik wang dlm UMNO makin parah. Politik UMNO sekarang jauh bumi dari langit jika dibandingkan zaman Tun Razak dulu. Sekarang rasuah bukan sahaja untuk jawatan tertinggi, tetapi melarat ke peringkat bahagian dan cawangan.

Sebagai contoh, dalam pemilihan lepas, di Sabak Bernam, saya difahamkan persaingan di peringkat Pemuda begitu sengit. Hari ini calon kumpulkan para perwakilan Pemuda buat majlis doa selamat, si calon dengan selambanya memberikan envelop berisi wang kpd para perwakilan. Esoknya, seorang lagi calon buat majlis yang serupa dan bagi envelop yang berisi lebih banyak wang! Alangkah rosaknya UMNO sekarang!

Apa kurangnya di bahagian lain di seluruh negara... Di Bagan Pinang sekarang lagi teruk. Geng Isa, geng Tok Mat dan Geng KJ berlaga angin. UMNO Malaysia terpaksa tunduk kepada Isa seorang, the expired politician yang rasuah! Cumanya rasuah dia dalam UMNO dan SPRM tak dibenarkan menyiasat dan ambil tindakan.

Saya rasa, kalaulah Tun Razak masih hidup, nescaya dia akan menangis melihat UMNO sekarang. UMNO yang dibina oleh Tun Razak dahulu telah bertukar wajah. UMNO yang ditatang dengan ikhlas dan dibaja subur kini sudah semkin kering layu jiwanya.

Memang seruan Dr. Asri dlm Mingguan Malaysia hari ini (5 Okt 2009) memang wajib dan patut dibaca oleh semua pemimpin dan ahli UMNO. Hayati betul-betul mesej Dr. MAZA. Saya rasa dia ikhlas menegur, walaupun dia memang suka "kenen" orang-orang PAS (seolah-olah dia soang yang betul dan hebat).

Bukan pemimpin UMNO saja yang kena baca artikel ni, para pegawai kerajaan pun kena baca, terutama jentera kerajaan yang berkhidmat untuk memenangkan UMNO dan BN setiap kali pilihanraya - BTN, Seranta, JASA, Penerangan, YADIM dan KEMAS, dan lagi jabaan-jabatan lain yang digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang sama.

Selepas itu, fikirkanlah untuk memulakan program keislaman yang benar-benar mantap supaya lahir peribadi-peribadi hebat di kalangan anak muda UMNO. Kalau setakat yang ada sekarang, apalagi jika tak berubah, saya tidak fikir UMNO menepati citarasa pengundi.

Insaflah! Hanya dengan "Fomula Dr. Asri" tu saja UMNO "mungkin" boleh berubah.... Itupun jika ada kesanggupan untuk berubah; seperti pesan Pak Lah - perubahan bermula dengan diri sendiri, diri setiap individu ahli UMNO! - Itupun jika anda mahu UMNO terus "survive" la. Jika tidak, tunggulah PRU akan datang! Awas Tsunami kedua! Kalau Indonesia dilanda tsunami kedua, tidak mustahil kepada UMNO!

Di bawah ini saya perturunkan sebahagian daripada artikel tersebut:

Islam Tulen Boleh Selamatkan Umno

Disiarkan pada Oct 04, 2009 dalam kategori Dakwah
Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: “UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, serta kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak!

Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: “Allah ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkannya, mengukuhkannya dan berterusan atasnya”.

Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Islamisasi Program

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik.

Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara ‘kampung’ sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.

Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fonomena umum. Saya jumpa ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, kebanyakan mereka tidak akan memilih UMNO. Sama ada mereka memilih organisasi atau gerak kerja Islam yang lain, atau pertubuhan politik yang lebih ‘mensepandukkan’ lambang Islamnya.

Secara jujur, akuilah iklim dan suasana islamik tidak cukup kuat dalam UMNO untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat. Namun saya tidak menafikan UMNO juga ada membuka dan mengusahakan pelbagai ruang untuk Islam dalam kerajaannya. Itu kerajaan, namun di sudut parti jika ada program-program Islamik dalam UMNO ia amat terhad.

Lebih menyedihkan lagi berputar sekitar ‘kenduri tahlil’, barzanji, kenduri arwah dan yang sewaktu dengannya. Di samping program-program itu boleh dipertikaikan sejauh manakah tuntutan Islam mengenainya, ia juga tidak memberikan impak yang dapat merubah peribadi atau meninggalkan kefahaman dan penghayatan seseorang individu muslim.

Seseorang aktif dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi atas dua kepentingan, sama ada untuk dirinya atau masyarakat. Atau, boleh juga disebut kerana ikhlas tanpa kepentingan atau ‘ada udang di sebaliknya mee’. Untuk menjadikan seseorang ikhlas, bagi muslim agama adalah faktor penting.

Apabila kita merasakan gerakerja itu ibadah, jika tiada keuntungan pun kita akan buat, harta sanggup berikan, nyawa sanggup kita taruhnya. Inilah kekuatan organisasi Islam. Sekalipun sebahagian yang bernama Islam itu pada hakikatnya tidak Islamik, namun apabila mereka berjaya mencetuskan suasana yang Islamik, ramai yang tertarik. UMNO hendaklah jujur terhadap Islam zahir dan batin.

Hidupkan program-program Islam dalam UMNO. UMNO kena galakkan pengajian dan suasana ilmu dalam UMNO. Hidupkan pendekatan Islam yang tulen, matang dan progresif. Sehingga setiap yang masuk akan terasa perubahan diri, sikap, pemikiran dan akhlaknya. Jadikan ibubapa akan rasa seronok jika anaknya aktif UMNO kerana nanti nilai-nilai ketinggian budi, kematangan pemikiran, keutuhan ilmu akan terzahir pada kehidupannya.

Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis.

Imej UMNO sering dikaitkan dengan kurang islamik. Di sudut kefahaman UMNO dikatakan kurang faham Islam. Walaupun sebahagian pihak yang mendakwa itu, kefahaman mereka belum juga tentu betul dengan Islam tulen yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Sebaliknya sebahagian mereka yang mendakwa itu sekadar memahami Islam berdasarkan rekabentuk atau rupa paras yang dicorakkan oleh organisasi atau parti mereka. Tafsiran mereka berdasar tuntutan semasa politik mereka. Namun apapun, imej Islam itu dikaitkan dengan mereka samada ia benar atau disalahgunakan.

Tidak dengan UMNO, sedangkan ruang menonjolkan Islam yang tulen serta progresif begitu diperlu oleh umat manusia terutama dalam negara kita ini. Bukan semesti pemimpin UMNO kena tukar jadi ulama. Banyak organisasi dakwah atau Islam tidak dipimpin oleh mereka yang bertaraf ulama, tetapi diakui nilai islamik mereka.

Jangan UMNO takut kehilangan undi bukan Islam, itu satu kesilapan. Islam jika ditonjolkan secara adil dan bijaksana ia akan menarik hati semua pihak. Masyarakat ingin melihat nilai akhlak dan budi yang baik. Dalam soal Islam, UMNO mestilah bebas dari unsur kemelayuan, kerana Islam agama sejagat. Jika Islam yang universal itu ditonjolkan, bukan sahaja boleh memikat perasaan mereka, bahkan mungkin menjadi dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam.

Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam UMNO. Walaupun saya secara peribadi bukan ahli UMNO, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam Kerajaan UMNO Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit.

Ramai pemimpin ketika itu yang menjadi peminat pengajian ilmu sehingga program-program wakil rakyat dipenuhi dengan pengisian ilmu. Lantas, perjalanan kerajaan pun ditekankan soal penghayatan Islam. Orang kampong keluar berduyun-duyun tanpa dipaksa apabila saya dan kepimpinan kerajaan pergi ke masjid-masjid atau majlis untuk berucap. Hubungan hati antara kerajaan dan rakyat menguasai suasana.

Maka, kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang UMNO di Perlis, walaupun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun, bukanlah agenda saya untuk memenangkan UMNO dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah UMNO.

Dakwah ini merentasi sempadan parti dan organisasi. Justeru itulah saya menasihati UMNO. Nabi s.a.w pernah menghantar surat Hercules berbunyi:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu..(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menjejaki sunnah itu, maka saya katakan kepada UMNO, lakukan proses islamisasi politik secara bersungguh-sungguh, nescaya kamu selamat!

BAM AL-HAJ