Friday, March 27, 2009

MENTRANSFORMASI UMNO

(UCAPAN perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008 oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 24 Mac 2009).

Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.

Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti UMNO. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari.

Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia.

Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.

Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju UMNO telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama UMNO kini menukar haluan mereka.

Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, para perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah UMNO. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival UMNO itu sendiri.

Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.

Hakikatnya, UMNO masih disayangi oleh orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan UMNO sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga.

Atas sebab itu, UMNO wajib mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.

Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:
“Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.”

Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan: “Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang. Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”

Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa:
“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, maka, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan UMNO.

Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan menaakul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang 63 tahun kewujudannya, UMNO telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. UMNO telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila UMNO mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.

Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan UMNO. UMNO juga telah membuat pengorbanan besar apabila di dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi UMNO sehinggalah kini.

Pencapaian UMNO lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli UMNO tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.

(Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970) UMNO hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya UMNO telah terlibat secara proaktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pimpinan UMNO yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan FELDA serta membangunkan kawasan luar bandar.

(Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980) Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan UMNO telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.

(Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990) Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan UMNO yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?

(Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 - 2000) Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan UMNO yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi?

Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak UMNO juga yang menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri dan sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.

Alhamdulillah, memang ternyata UMNO mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga UMNO adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, UMNO parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.

Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli UMNO hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Landskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.

Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal.

Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui bukubuku atau cerita-cerita sahaja.

Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang Melayu khususnya.

Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaharuan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan.

Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaharuan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.

Untuk itu, UMNO harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. UMNO dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.

Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelak pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan “beri salah, tidak beri kalah”. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu “SK dan SI”, Salam Kosong dan Salam Isi. Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan UMNO, parti tercinta ini.

UMNO sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi.

Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian UMNO ini terlepas ke tangan pihak lain. Seboleh-bolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.

Kita mesti juga memastikan amalan jelik cantas mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.

Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi UMNO dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa UMNO bukan lagi cita rasa rakyat.

Oleh yang demikian, orang-orang UMNO janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?

Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli UMNO. Oleh itu, percayalah UMNO akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang Melayu dan UMNO terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka.

UMNO juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahliahlinya. UMNO akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli UMNO berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui UMNO.

Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan UMNO kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin UMNO mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita “seperti kaduk naik junjung” seraya lupa bahawa UMNO itu adalah parti akar umbi.

Lupa akan hakikat UMNO itu, parti yang lahir daripada semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala UMNO terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.
Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci UMNO, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan.

Kita bawa semula UMNO menyelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

Sebagai komponen terbesar sayap UMNO, Pergerakan Wanita di bawah kepimpinan Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan Pergerakan Wanita sangat penting untuk UMNO. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini.

Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertaut kembali.

Kepada Pergerakan Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan Pemuda teguh membentengi parti.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.

Begitulah juga, Puteri UMNO yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk melibatkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri UMNO. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.

Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang.

Oleh itu, untuk UMNO terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah UMNO lalui. Pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaharuan bukannya pentaklid yang mengekori di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.

Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif.
Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac 2008, kita telah tersentak daripada lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan UMNO harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan UMNO perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber.

Generasi muda kepimpinan UMNO juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara partiparti politik.

Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sinar ketamadunan.

Rasulullah juga semasa berhijrah telah menyatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam.

Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang menjadi pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.

Tersenarai, antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai “al-falah”.

Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, maka demi survival, UMNO dan orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaharuan transformasi yang bersifat total dan tuntas.

Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat.

Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.
Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut UMNO, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi UMNO supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli UMNO perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan UMNO.

Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps.

Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih para ahli menjadi pemimpin yang mulia lagi komited.

Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pemimpin.

Keduanya, kita mesti mengubah cara UMNO menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian.

Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan UMNO daripada aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi.

Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah UMNO akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli UMNO menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat.

Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh UMNO juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar.

Sehubungan dengan perkembangan ini, UMNO bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.

Berdasarkan itu, bahagian-bahagian UMNO di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah.

Nyatanya, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan UMNO telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, UMNO sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.

UMNO menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua cabang eksekutif.

Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kepada kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?
Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan UMNO meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi.

Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelengkeng berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.

Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia merupakan krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Maka, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti.

Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia merupakan antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi RM1 trilion setahun.

Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global.

Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.

Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman.

Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.

Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris.

Sayugia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”).
Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.

Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan.

Ingatlah, UMNO bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada UMNO sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.

Melayu dan UMNO tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan UMNO bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh.

Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.

Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain.

Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.

Kesimpulannya, untuk kekal lestari UMNO mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah.

Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak UMNO ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin UMNO sepanjang lima tahun lalu. Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial daripada segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa.

Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti yang digaris dalam Misi Nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.
Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayapsayap UMNO setiap kali persidangan.

Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawaduk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.

Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemukapemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Datuk Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya.

Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti UMNO membela untung nasib rakyat.

Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli UMNO yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.

Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden UMNO baru yang bakal dipilih kelak.

Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.

Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi.

Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya-Allah, laungan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008.

Saturday, March 14, 2009

MELAYU OH MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak bergalas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji disimpan di dalam perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat,
Jangan mati anak


Melayu di tanah semenanjung luas maknanya;
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
Keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu


Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri


Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan


Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati orang Melayu itu tidak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak dipangkuan mati kebuluran”


Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jika segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka!

(Sajak nukilan Dato' Dr. Usman Awang ini sengaja saya terbitkan semula untuk renungan bersama)