Tuesday, August 25, 2009

DISKRIMINASI TERHADAP ASRI RABBANI


Assalamualaium Dan Salam Merdeka.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Ustaz Asri Rabbani, penyanyi nasyid kontemporari Malaysia yang tersohor yang meninggal dunia baru-baru ini. Beliau adalah ikon nasyid Malaysia yang gigih dan kental berjuang dan berdakwah melalui seni.

Persembahannya memang diakui bermutu tinggi. Beberapa kali Rabbani memenangi anugerah muzik. Keperibadiannya yang mulia juga membuktikan anak seni bukan seorang yang rosak akhlak. Dia adalah penyanyi muda yang dapat dicontohi, terutama oleh generasi muda Muslim di negara ini.

Apa yang mendukacitakan adalah diskriminasi media terhadap pendakwah seni ini. Hanya TV3 yang membuat rancangan mengenangnya. RTM dan Astro tidak berbuat apa-apa. Sedangkan RTM tahun lepas beriya-iya benar menyiarkan "tribute to Loganathan". Kalau tidak silap saya siaran mengenang Loga di RTM berlangsung sampai sebulan.

Apa kurangnya Asri Rabbani berbanding dengan Loganathan, adik David Arumugam Alleycats itu? Apa Lebihnya Loga di mata RTM? Apakah kerana Ustaz Asri di gelar Ustaz dan memperjuangan irama nasyid Islam? Bukankah lebih 58% penduduk negara ini Muslim? Dan hanya 8% penduduk Malaysia terdiri daripada kaum India? Apa muslihat RTM sebagai media rasmi sehingga meminggirkan Asri Rabbani?

Apakah RTM tidak suka dengan irama nasyid atau tak suka dengan Islam itu sendiri? Apakah Dato' Ibrahim Yahya seorang yang anti-Islam? Atau ada halangan daripada Dato' Kamaruddin Siarah, KSU? Saya kurang percaya.

Sikap RTM ini tidak sepatutnya begitu. Diskriminasi terhadap kumpulan nasyid yang membawa mesej Islam tidak wajar sama sekali. Kita bukan minta sanjungan berlebihan. Kita cuma mahukan keadilan. Biar "fair". Apa salahnya RTM dan Astro sendiri buat sesuatu. Rasanya masih belum terlambat.

Marilah kita hayati lirik lagu "Pergi Tak Kembali" nyanyian Asri Rabbani yan pasti menyentuh jiwa dan mengingatkan kita kepada kematian. Bukankah mengingati mati itu tanda oang yang bijaksana?

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

BAM AL-HAJ

Friday, August 21, 2009

TAPIS DRAMA KURAFAT!



Assalamualaikum dan Salam Merdeka.

Dua kali saya secara tidak sengaja menonton drama terbaru arahan Rashid Sibir (Pak Mertuaku menggelarnya Rashid Cyber)yang bertajuk "Hantu Raya" di Astro Prima. Sejak beberapa tahun ini, bermula dengan filem "Pontianak Harum Sundal Malam" karya Shuhaimi Baba, cerita-cerita hantu dan seram begitu laris, baik di layar perak mahupun di tv. Maka semua pengarah dan penerbitpun berlumba-lumba buat cerita sebegitu.

Drama-drama itu tentulah bertujuan untuk memberikan keinsafan dan pengajaran. Saya sanjung niat baik Rashid Sibir dan pengarah-pengarah lain. Selain untuk tujuan hiburan, tentulah ada mesej yang hendak mereka sampaikan.

Malangnya banyak yang melanggar batas agama. Cerita Hantu Raya Rashid Sibir itu bagi saya tidak lebih daripada klise karut, tahyul dan menonjolkan unsur-unsur syirik. Apakah tujuan Rashid Sibir, penulis skrip dan penerbit drama tersebut? Dakwah? Pengajaran dan keinsafan? Tidak sedarkah beliau bahawa penggunan tangkal untuk menghalau hantu itu perbuatan syirik dan kurafat? Tanyalah ustaz dan alim ulama. Itu sudah jelas di dalam al-Qur'an.

Tahun lepas, Rashid Sibir juga mengarahkan drama "Pondok Buruk". Dia masukkan watak Rosyam Nor yang insaf dan mencium kaki ibunya. Perbuatan mencium kaki untuk meminta maaf itu bertentangan dengan Islam kerana ia adalah amalan agama Hindu. Tidak pernah dalam sejarah budaya Melayu-Islam di negara ini orang minta maaf hatta kepada ibu bapapun, kena mencium kaki. Adakah setiap hari raya Rashid Sibir buat begitu? Bukankah itu hanya dilihat dalam filem-filem Hindustan, di mana pelakonnya yang beragama Hindu berbuat demikian?

Bagi saya walau bagaimana cantik dan hebatpun jalan cerita dan teknik pengarahan sesebuah drama atau filem itu, ia tetap tidak dapat diterima jika ia bercanggah dengan Islam. Rashid Sibir patut sedar penonton yang melihat drama itu adalah umat Islam. Anak saya yang baru belajar di tingkatan empat pun tahu bahawa penggunaan tangkal adalah perbuatan syirik.

Saya ingin bertanya, apakah Rashid Sibir tidak tahu agama? Sebagai individu Muslim, Rashid Sibir mempunyai bakat, kemahiran dan kedudukan hebat untuk menyampaikan mesej dakwah, tetapi nampaknya ini dirosakkan oleh unsur-unsur sedemikian. Saya berharap dia sedar dan merujuk kepada mana-mana ustaz sebelum berkarya.

Dalam hal ini Rashid Sibir dan dramanya patut dinasihat dan ditegur oleh JAKIM dan Majlis Fatwa. Harap-harap ustaz-ustaz JAKIM janganlah cuma bekerja pada waktu pejabat dan ikut skop kerja masing-masing sahaja. Hal-hal yang berkaitan dengan masyarakat ini perlu juga dibawa ke peringkat atas.

Saya cadangkan supaya JAKIM dan Majlis Fatwa membuat garis panduan yang jelas tentang hal-hal yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh pengarah dan penerbit drama kita supaya dia tidak sesat dan menyesatkan orang lain yang menonton hasil karyanya.

Saya lebih suka filem-filem arahan P. Ramlee yang lebih "real" dan bersahaja dalam menyampaikan mesej. Aneh juga, P. Ramlee tidak pernah walau sekalipun cuba mengarahkan filem seram atau cerita hantu. Beliau lebih senang memilih genre komedi, sejarah dan kemasyarakatan yang tidak mencetuskan kontroversi dan tidak terlalu banyak bermain dengan teknik. Cerita-cerita P. Ramlee lebih banyak menonjolkan kekuatan plot dan watak para pelakonnya.

Salam Ramadhan dan Salam Merdeka.

BAM AL-HAJ

Semoga teguran ini

Wednesday, August 19, 2009

ANUGERAH MERDEKA PENGIKTIRAFAN TERHADAP BUDAYA ILMU


Assalamualaikum dan Salam Merdeka.
Saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor UTM yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Merdeka kategori Pencapaian Ulung Akademik semalam. Prof. Zaini Ujang, 44 tahun adalah Naib Canselor termuda di dunia. Ketika dilantik tahun lepas, beliau hanya berumur 43 tahun.

Untuk catatan, beliau sebelum ini pernah menerima pelbagai anugerah akademik di peringka kebangsaan. Antaranya ialah Maaysian Water Award (2004), Outstanding Young Malaysian Award(2004) dan Anugerah Melayu Cemerlang (2006). Beliau menerima anugerah darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) pada tahun 2007 atas pencapaian dan sumbangan akademiknya.

Bagi saya beliau adalah ikon generasi baru hari ini. Pencapaian luar biasanya dalam bidang akademik amat meyakinkan. Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan alam sekitar ketika berusia 31 tahun (1996). Beliau telah menulis 20 buah buku dalam bidang alam sekitar dan budaya ilmu. Yang manisnya, pada tahun 1992, saya bersama Prof. Zaini dan Fatini Yaakob telah menulis buku Fenomena Remaja.

Baru-baru ini saya menghadiri Syarahan Perdana beliau selaku Naib Canselor UTM dengan tajuk "Universiti, Keativiti, Inovasi". Ucapan bersahaja beliau yang diselang-selikan dengan kartun Lat amat menarik. Buat pertama kalinya dalam sejarah universiti di Malaysia, UTM mengorak langkah untuk menghantar 5,000 pelajar ke luar negara bagi program pertukaran pelajar untuk tempoh 2 minggu hingga satu semester. Katanya, bagaimana kita hendak bersaing dengan negara luar jika mahasiswa kita tidak pernah ke luar ngara?

Saya sangat teruja membaca buku beliau "Menghayati Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan". Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua mahasiswa dan pensyarah universiti dan kolej kerana ia boleh dijadikan panduan dan inspirasi bagi menyuburkan dan menyemarakkan lagi amalan budaya ilmu dalam kehidupan harian.

Beliau juga telah melakukan pelbagai penyelidikan kejuruteraan alam sekitar yang diiktiraf dunia. Kalau dinilai dari segi komersil, pendapatan penyelidikannya sahaja suah mencecah hampir RM10 juta. Beliau telah mempatenkan sebanyak 40 produk penyelidikan dan 6 daripadanya telah dikomersilkan.

Saya yakin anak muda berjiwa besar ini patut dijadikan ikon generasi muda kini. Prof. Zaini adalah contoh teladan anak muda yang sarat dengan pencapaian dan idealisme. Faham ilmu pegangannya cukup mantap dan patut dicontohi. Contoh penting yang patut dijadikan ikutan ialah amalan pembacaannya yang cukup luas. Kalau boleh, saya cadangkan RTM atau TV3 memperuntukkan satu slot akademik dalam bentuk dialog dengan mengundang Prof. Zaini Ujang sebagai pembicara utama. Tentulah banyak idea-idea kreatif dan inovatif dapat dilontarkan oleh beliau nanti.

Anugerah Merdeka yang menawarkan hadiah berjumlah RM500,000.00 memang kena pada tempatnya. Siapa kata melalui program hiburan popular seperti Akademi Fantasia atau Jangan Lupa Lirik sahaja seseorang boleh dapat ganjaran kewangan yang tinggi. Dunia akademik dan budaya ilmu patut diberikan sanjungan yang lebih tinggi daripada dunia hiburan. Inilah prestijnya Anugerah Merdeka yang merupakan pengiktirafan kepada amalan dan penghayatan budaya ilmu.

Semoga Prof. Zaini dipanjangkan umur dan terus berkarya, serta dapat membimbing generasi muda ke arah penghayatan budaya ilmu yang tinggi nilainya.

Salam Perjuangan.
BAM AL-HAJ

Tuesday, August 18, 2009

SELAMAT DATANG RAMADHAN


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pejam celik, pejam celik tanpa sedar, Ramadhan semakin hampir. Abby Fana dalm Sinar.FM minggu lalu buat kuiz menarik: "Ramadhan hampir tiba apabila....". Ramai yang menjawab dengan penuh bergaya. Apabila tukang jahit mula tidak terima tempahan baju kurung atau sample kuih raya mula diedar... Itu tandanya bulan pusasa dah hampir tiba.

Tentulah bagi kita Ramadhan apalagi Syawal memang ditunggu-tunggu. Isteri saya sudah mula berpuasa, membayar puasa yang tertinggal tahun lepas. Ramadhan kali ini saya berazam untuk khatam al-Qur'an entah kali yang keberapa. Mudah-mudahan Ramadhan al-Mubarak membawa kerberkatan untuk kita semua selaku umat Islam yang beriman.

Ibadat puasa merupakan ujian Daya Tahan kepada umat Islam bagi menghadapi cabaran dan dugaan hidup moden yang semakin rencam. Sesungguh Madrasatul Ramadhan merupakan insitusi pendidik umat untuk memperkasa kekuatan daya tahan diri, memugar dan membaja tahap kesabaran dan mengukuhkan keimanan, sekaligus menjadi benteng ampuh menghadapi dan menolak perlakuan negatif. Ramadhan mendidik kita menolak rasuah, menjauhi rokok, menjaga tutur kata dan seumpamanya.

Jika selepas berpuasa sebulan kita masih kembali kepada sikap negatif itu, maknanya puasa kita tidak berkesan dan sia-sia. Sekadar berlapar. Seperti ibadat solat, puasa juga sepatutnya mencegah kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Inilah bukti kekuatan ummah yang sebenar.

Salam Ramdhan al-Mubarak.

BAM AL-HAJ

(Kalau ada sesiapa yang berminat menjadi pengedar kuih raya, sil hubungi saya 012-6210300).

Monday, August 10, 2009

SELSEMA BABI ATAU BABI SELSEMA?



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Wabak selsema babi H1N1 nampaknya sudah di tahap serius. Anak beberapa sahabat saya dimasukkan ke wad hospital kerana disyaki dijangkiti penyakit berbahaya itu.

Seorang sahabat saya tidak puas hati apabila sekolah anaknya tidak diarah tutup walaupun ada seorang pelajar disahkan dijangkiti penyakit itu, walhal pelajar itu murid KSU satu kementerian. Sepatutnya pengetua sekolah kena bertindak segera, bukan membiarkan sampai berlaku kematian, barulah nak bertindak. Bukankah Menteri pelajaran sudah keluarkan arahan demikian?

Walaupun PM Najib berkali-kali menegaskan supaya orang ramai tidak berada di khalayak jika tidak perlu, namun ramai yang masih berdegil. Ramai yang tidak mahu pakai topeng muka.

Dua langkah serius diumumkan oleh PM semalam. Pertama, sesiapa yang didapati demam dan selsema, mereka hendaklah mendapatkan rawatan segera di klinik kerajaan dan kemudian dikuarantin di dalam rumah. Kerajaan pula menambah stok simpanan anti-viral daripada 10% kepada 20%. Anti-viral ini didapati berkesan jika diambil dalam tempoh 48 selepas seseorang diserang demam dan selsema.

Apa yang penting, semua pihak patut mengambil langkah serius bagi mencegah influenza selsema babi H1N1 ini.

Apakah penyakit baru ini satu bala? Tidakkah kita terfikir kuasa Tuhan tetap memainkan peranan dalam semua perkara. Mungkinkah semua ini berlaku akibat kelalaia manusia sendiri yang sering membuat kerosakan di atas muka bumi ini? Sudah berapa lamakah kita enjoy dan ketawa terbahak-bahak tanpa menyedari betapa kerdilnya dia sebagai manusia jika dibandingkan dengan kuasa Allah SWT?

Semoga kita tidak lalai dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar penyakit ini dapat dikurangkan da seterusnya dihapuskan. Ada masa eloklah kita solat hajat.

BAM AL-HAJ

Artikel di bawah saya terima semalam, rasanya sesuai untuk dijadikan renungan:

JUST A SMALL BUT MEANINGFUL INFO FM ME TO YOU AND YR FRIENDS...MY PERSONAL
EXPERIENCE OF H1N1 SINCE IT PRACTICALLY HIT US LIKE A TIME BOMB.....


My staff was crying herself sick on Tuesday morning...was told that her
son was confirmed of H1N1 in his Uni at Kangar, Perlis...worse was that
when he was bedridden 2 days the warden didnt even bother to sent to
hospital till his dad came fm KL and with his friends assistance brought
him to GH Kangar....

No one bothered in the hospital and he was put in the normal ward for
another 2 days!!! (imagine the amount of people he has infected!!)
.....after 2 days and his eyes were turning yellow and saliva
greenish...he was put in quarantined room...

Called his mom to say...minta maaf and ampun la dosa dia, etc...she
practically fainted just telling me the story.. cant do much cos she x
have enough money to go to the north with the father...

First thing we did was made her call the hospital and insist that they
sent him to Sg.Buloh Hospital or any other hospital in KL since they
seemed to be more alert and more equipt...they refused of course...so I
sent her off to Kangar the same day to solve the problem.

Whilst this was happening, SUBHANALLAH, I had a call from one Ustaz who
was in town to "help cure" another H1N1 child in Shah Alam....and was told
this simple prescription by him.....of course kena redha pada ALLAH and
niat dengan sesungguh nya...selawat 3x...

EAT MINIMUM 6 GREEN APPLES A DAY AND FRESH ORANGE JUICE

for those with sore throat please blend the apples and keep on taking till
your fever disappear and yr symtoms are gone....I cannot explain it but
the child in Shah Alam was ok too after taking this tip....

ALHAMDULILLAH...my staff's son was given the apple juice for the whole day
on Monday/Tuesday and dengan kuasa ALLAH he was out of the fever
yesterday Wednesday....she called me and was crying on the phone to say
that her son was out of ICU and was able to eat normally...all these
happened within just 4 days today (thursday 6 august)...

This is just to share with my fellow sisters and brothers and hope this
small info could assist others as well, INSYA'ALLAH!!!!!!!!!! No harm in
trying and kuasa ALLAH anything can happen!!!!

Tuesday, August 4, 2009

POLIGAMI DAN MISI ORIENTALIS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tahniah kepada Khadijah Aam, isteri Ustaz Ashaari (bekas Ketua Al-Arqam) yang berani menubuhkan kelab Poligami Ikhwan di Sg. Petani 1 Ogos lepas. Khabarnya dah ada 300 ahli. Tak hairanlah ramai ahlinya sebab mereka semua kan bekas ahli kumpulan yang telah diharamkan oleh kerajaan 10 tahun lalu, kata seorang rakan saya. Tentulah ramai wanita Islam menentang dan marah dengan tindakan ini.

Apapun, saya ingin berkongsi pendapat tentang poligami yang dibenarkan/dihalalkan oleh Islam. Al-Qur'an dengan jelas (dalam Surah An-Nisa') menyuruh supaya umat Islam berkahwin 2, 3 atau 4; tetapi dengn tegas pula memberikan amaran jika takut tidak mampu beraku adil, memadailah dengan seorang isteri.

Rasanya sudah banyak dibahaskan tentang "berlaku adil" itu, namun natijahnya wanita Islam kini semakin kuat menentang dan membenci poligami, walhal mereka tahu Islam membenarkannya. Kenapa?

Jawabannya sudah kita ketahui. Kebanyakan yang kahwin lebih daripada seorang biasanya tidak berlaku adil. Banyak contoh-contoh yang membuktikan "ketidakadilan" sang suami. Di tv pula, watak-watak lelaki yang berkahwin dua atau lebih sudah menjadi momokan dan senda gurau sinis dan nampaknya dijadikan alat oleh pihak-pihak tertentu untuk menolak poligami.

Malangnya umat Islam tidak sedar bahawa "penentangan" dan "kebencian" mereka kepada poligami sebenarnya adalah jarum halus para orientalis Barat sejak zaman Snouck Hurgronje lagi. Mubaligh Kristian yang pernah berpura-pura memeluk Islam dan "melakukan ibadah haji" di Mekah pada adab ke 19 dululah yang telah membuat kajian dan pemerhatian tentang perkembangan Islam. Di Acheh dan di beberapa negara Islam yang dikunjunginya, dia melihat Islam berkembang begitu pesat melalui perkahwinan, terutama poligami.

Dia balik ke Belanda dan mula menjalankan kempen bagi memburuk-burukkan ajaran Islam. Salah satu senjatanya ialah poligami. Maka ditimbulkan isu-isu "ketidakadilan" poligami dengan contoh-contoh negatif. Sedangkan pada zamannya, banyak tokoh-tokoh agama yang berpoligami begitu berjaya dan tidak seperti yang digambarkannya.

Media filem dan drama digunakan oleh para orientalis Barat supaya semua orang, termasuk umat Islam, menolak poligami. Dato' Aidit Ghazali pernah menyatakan pada saya betapa golongan ini mereka-reka cerita Cinderela yang didera dan dizalimi oleh ibu tirinya. Bermula daripada itu, beberapa filem lain muncul dengan lebih jelas bagi menentang poligami.

Cerita-cerita itu diubahsuai dan masuk ke negara kita, antaranya melalui filem Bawang Putih Bawang Merah dan Ratapan Anak Tiri. Drama-drama Melayu mutakhir pun banyak menonjolkan cerita-cerita kezaliman suami yang berpoligami dan seumpamanya.

Tahun lepas, Indonesia gempar dengan kemunculan filem "Berbagi Suami" yang kemudiannya dijadikan drama bersiri, yang kemudiannya turut ditayangkan di Astro. Akibatnya, umat Islam sendiri merasa begitu "jijik" dengan poligami. Walhal poligami adalah sunnah Rasulullah SAW. Apakah hukumnya orang yang menentang perkara yang dihalalkan oleh Islam dan menolak sunnah?

Memang poligami tidak sepatutnya diamalkan oleh orang biasa-biasa, apa lagi dilakukan sesuka hati semata-mata untuk melayan nafsu. Malangnya, inilah yang sering berlaku dan dijadikan bahan publisiti.

Bukan tidak ada orang yang berpoligami dengan betul, tetapi tidak ditonjolkan. Banyak contoh amalan poligami yang positif. Lihat sahaja Tan Sri Hassan Azahari, tokoh agama kita yang tersohor. Kalau tidak silap saya, beiau beristeri tiga. Anak-anaknya ramai yang berjaya, termasuk Tan Sri Musa Hassan (KP Polis Negara), Dato' Fuad Hassan, Dato' Jalaluddin Hassan dan Dr. Zaidi Hassan (UIA).

Haji Yassin, bapa kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berpoligami. Saya difahamkan anaknya melebihi 40 orang daripada 4 isteri, dan lebih 80% anak-anaknya adalah lulusan universiti dan menjadi tokoh politik, Naib Canselor universiti, arkitek, jurutera dan peguam. Contoh-contoh seumpama ini patut ditonjolkan supaya pandangan serong terhadap poligami dapat dihindarkan.

Ulasan DS Sharizat Jalil semalam agak rasional. Katanya, hanya lelaki yang berhemah tinggi serta mengikut apa yang dilakukan Rasulullah sahaja yang boleh dan patut berpoligami. Saya bersetuju. Hanya lelaki yang cukup tinggi "kesabaran" dan ilmu serta amalan agamanya dapat mengendalikan poligami. Sebab itulah undang-undang keluarga Islam begitu ketat dalam hal poligami supaya tidak disalahgunakan.

Menolak, menentang, membenci dan meragui poligami adalah agenda orientalis Barat untuk melemahkan Islam. Mereka tidak suruh umat Islam membenci Al-Qur'an, tetapi secara halus memasukkan jarum-jarum keraguan dengan cara memainkan emosi wanita supaya umat Islam meragui beberapa bab dalam ajaran Islam itu sendiri.

Misi orientalis Barat ternyata cukup berjaya. Tanyakanlah kepada mana-mana wanita Islam di seluruh dunia, tak sampai 1% pun yang bersetuju dengan poligami, apa lagi untuk merelakan suaminya berpoligami. Bahkan, ironinya, wujud pertubuhan-pertubuhan dan gerakan-gerakan yang menuntut emansipasi wanita, persamaan gender dan menolak poligami secara terang-terangan. Di Malaysia antaranya ialah Sisters in Islam yang begitu konsisten menolak poligami. Ironinya, pendokongnya bukan sedikit.

Yang lebih canggih lagi ramai pula wanita yang kononnya sanggup suami mereka kahwin dua, tetapi dengan syarat "ceraikan" mereka. Tidak sedarkah mereka bahawa "arash" Allah SWT bergegar ketika tuntutan itu disuarakan kepada suami. Kaum wanita kini sanggup melakukan apa sahaja asalkan tidak dimadu!

Harap-harap penubuhan Kelab Poligami atau apa sahaja namanya dapat membantu memurnikan poligami yang dibenarkan oleh Islam. Jangan nanti kerana kelab itu ditubuhkan oleh bekas ahli Al-Arqam, ia disalahgunakan atau menjadi alat untuk kembali menghiupkan ajaran tersebut (Kalau dulu kumpulan ini menamakan diri mereka kumpulan Rufaqa' Corporation dan menguasi Bandar Country Homes di Rawang, kini nampaknya muncul semula di Sg. Petani dengan bernaung di bawah syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd> Harap Jabatan agama negeri pantau-pantaulah).

Apapun, umat Islam kena kembali kepada asas/fitrah. Islam adalah agama fitrah. Kebenaran berpoligami adalah ujian kesabaran dan keimanan baik buat suami mahupun isteri. Kepada suami-suami yang berpoligami, janganlah mengutamakan apa lagi mengabaikan isteri yang pertama. Kepada isteri yang bermadu, ingatlah bahawa ujian keimanan ini akan mendapat ganjaran yang tinggi di sisi Allah SWT.

Anda berani?

BAM AL-HAJ