Saturday, February 6, 2010

MELAYU PUPUS 2057?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Menarik juga membaca Mastika keluaran Februari 2010. Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) meramalkan Melayu akan pupus 50 tahun lagi!

Saya setuju 100%. Melihat kepada kerancuan politik, budaya, akal-budi dan gejala sosial yang melanda anak muda Melayu kini, tidak mustahil Melayu (dalam ertikata watak dan keperibadian Melayu) akan pupus 50 tahun daripada sekarang...

Walaupun Hang Tuah pernah berkata "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" sebenarnya mempunyai mesej tersirat - Melayu akan hilang jika pembinaan watak dan keperibadian Melayu tidak dipertahankan.

Melayu itu asasnya tiga perkara - beragama Islam, mengamalkan adat istiadat dan adat resam Melayu dan lazimnya bertutur bahasa Melayu.

Kita dapat perhatikan lebih 50% Melayu sekarang nama sahaja Islam, tapi tidak beragama, tidak beramal dengan Islam. Sudah semakin ramai lelaki Melayu tidak solat Jumaat. Sekadar contoh.

Melayu sekarang tidak lagi mengamalkan adat resam atau cara hidup Melayu. Makanpun pakai sudu, dah kekok guna tangan. Kalau melihat seseorang makan guna tangan, akan dianggap kampungan! Sopan-santun? Lebih 50% Melayu sudah tidak mengamalkan adab dan sopan-santun Melayu. Hormat kepada orang tua sendiripun sudah kurang, khususnya di kalangan generasi baru. Yang masih diamalkan ialah adat istiadat - ketika berkahwin dan kematian. Kenduri-kendara pun dah tak macam dulu...

Melayu sekarang sudah semakin meminggirkan bahasa sendiri. Bahasa Inggeris lebih dipentingkan. Lihatlah isu PPSMI dulu. Kalau tidak kerana politik - takut kehilangan undi, tidak mungkin kerajaan nak tunduk kepada desakan NGO dan rakyat yang membantah perlaksanaannya. Realitinya, 50% daripada orang Melayu lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Bukti paling jelas ialah kepupusan tulisan jawi yang pernah menjadi kebanggaan Melayu satu ketika dahulu.

Mana Melayunya Melayu hari ini? Apakah Melayu benar-benar berkuasa hari ini? Hakikatnya ekonomi memang Melayu jauh ketinggalan. DEB gagal capai 30% pemilikan ekuti negara.

Insya Allah, tidak lama lagi akan terbit buku tulisan Cikgu Azmi Hamid berjudul "Melayu Pupus 50 Tahun Lagi".

Wassalam.

No comments: