Tuesday, March 9, 2010

BUKU WASIAT PERJUANGAN ZULKIFLI MUHAMMAD


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mulai Disember 2009, saya bertugas di Penerbitan Ilham Baru sebagai penerbit dan penulis sepenuh masa.

Buku pertama yang kami terbitkan ialah buku "WASIAT PERJUANGAN ZULKIFLI MUHAMMAD" tulisan Dato' Mokhtar Petah.

Allahyarham Profesor Dato' Zulkifli Muhammad adalah seorang tokoh pendidikan dan politik Islam yang tersohor pada tahun 1950-an dan 60-an.

Beliau adalah pelopor dan pengasas Kolej Islam Malaya. Sumbangannya dalam bidang pendidikan Islam amat besar. Beliaulah yang merintis idea penubuhan Universiti Islam di negara ini.

Kemudian beliau bertanding sebagai calon PAS dan menjadi Ahli Parlimen Bachok 1959 dan 1964. Beliau digeruni dan dihormati oleh lawan dan kawan politiknya, baik di Parlimen mahupun di luar. Ucapannya pada tahun 1960-an mampu menarik lebih 10,000 orang, dalam keadaan tiada handphone dan kemudahan telekomunikasi yang canggih seperti sekarang.

Beliau juga adalah pemegang rekod berucap selama 4 jam tanpa henti di Parlimen. Ucapannya begitu tersusun dan bernas sehingga memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Malangnya, dua hari selepas memberi ucapan kepada wakil rakyat dan pemimpin PAS di Kota Bharu, beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya di Kuantan.

Kematiannya dipertikai di Parlimen, kerana ramai yang menganggap kemalangan itu sengaja dirancang olh musuh politiknya.

Dato' Mokhtar Petah adalah rakan Zulkifli Muhammad yang pertama sekali menulis buku tentang Zulkifli Muhammad.

Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad sesuai dibaca oleh para aktivis Islam sekarang.

Kami juga menawarkan peluang untuk mana-mana blogger yang berminat untk membeli atau menjadi ejen jualan. Kami memberi komisen 30% kepada sesiapa yang berminat.

Untuk makluman, kami akan menerbitkan 20 - 30 buah buku setahun dan sesiapa yang berminat menjadi ejen jualan boleh menjualnya secara online. Buku kami selepas ini ialah "Polemik Isu Kalimah Allah: Antara Targhib dan Tarhib" dan "Ayahku Ditangkap: Tragedi Berdarah di Selatan Thailand", dijangka terbit hujung bulan Mac ini.


Sila hubungi saya untuk keterangan selanjutnya di talian 012-6491561.

BAM L-HAJ

Sunday, February 28, 2010

UCAPAN PELANCARAN BUKU SYED NAQUIB AL-ATTAS


Titah Raja Muda Perak di Pelancaran festschrif Prof al-Attas

Teks ucapan penuh Raja Nazrin:


Ucapan Raja Nazrin Shah 23 Februari 2010


Bismillahirrahmanir rahim

Assalamu’alaikum wrt wbrkt dan salam sejahtera

Alhamdulillah dengan kebesaran Allah yang maha esa, majlis pelancaran buku Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas, dapat dilangsungkan.

Beta bersyukur kerana bersempena majlis pelancaran ini dengan ketentuan Ilahi juga beta turut di angkat ke satu martabat kemuliaan apabila dipilih sebagai insan yang digandingkan dengan usaha mulia untuk memuliakan seorang sarjana Islam berwarga Malaysia.

Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas diiktiraf, disegani dan dihormati di serata dunia sebagai pohon ilmu yang asli teguh berakar di Taman Ilmu.

Syed Muhammad Naquib adalah insan istimewa memiliki watak intelek, jiwa intelek, daya intelek dan ruh intelek seorang muslim perintis dalam mempelopori idea mengislamkan pengetahuan (The Idea of Islamization of Knowledge).

Beliau telah menghasilkan 29 penerbitan dalam pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam khususnya subjek-subjek menyentuh kosmologi, metafizik, falsafah, bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Beliau telah menyampaikan lebih 400 syarahan umum di negara-negara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah.

Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam adalah penerbitan berkualiti tinggi mengandungi 22 esei hasil penyelidikan 24 sarjana bertujuan merakamkan pengiktirafan kepada seorang ilmuan Malaysia bertaraf dunia. 22 esei tersebut telah dihasilkan oleh para sarjana dari serata dunia. Dari Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Bahrain, Egypt, Gambia, Iran, Iraq, Jerman, Macedonia, The Netherlands, Russia, Turkey dan United Kingdom di samping sarjana-sarjana dari Malaysia.

Setiap esei mengandungi kupasan dan huraian tersendiri bersandarkan sudut kajian dan aspek analisis yang diberikan fokus. Namun setiap seorang dari mereka walaupun apa sub-disiplin kajiannya mencapai satu titik pertemuan mengiktiraf dan menghargai ketokohan, pemikiran dan kebijaksanaan Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Beta berpeluang mendapat naskah awal penerbitan yang akan dilancarkan ini yang telah diutus kepada beta bersama warkah jemputan ke majlis ini. Beta tertarik mengikuti kupasan-kupasan mengenai adab. Huraian tentang adab merangkumi elemen-elemen kemanusiaan, kebajikan, kasih-sayang serta sifat menghormati ibu-bapa, orang tua dan kanak-kanak, juga jiran tetangga dan pemimpin masyarakat.

Ditegaskan betapa pentingnya bagi seseorang insan memahami kedudukan masing-masing. Beliau menekankan bahawa adab itu adalah ketertiban budi (intellectual discipline). Menghormati guru dan orang berilmu adalah manifestasi adab terhadap ilmu.

Tidak ketinggalan peringatan adab terhadap alam semulajadi, terhadap bahasa dan pentingnya alam spiritual dihormati dalam hasrat mahu mencecah darjat keluhuran dan adab itu sewajibnya memperlihatkan keadilan, mencerminkan hikmah serta mempertahankan hak dari segi realiti dan kebenaran.

Adab dikaitkan dengan pendidikan manusia yang luhur bahawa apabila kuasa dan sumber diserahkan kepada individu yang tidak memahami idea induk, akan berlakulah penyalahgunaan kuasa dan pembaziran sumber. Diikuti dengan suasana kekeliruan intelek dan kekeliruan moral.

Salah urus sumber mengakibatkan berlakunya kemiskinan yang berpanjangan dan kemusnahan institusi-institusi penting yang begitu berkesan dan dihormati pada zaman kolonial. Justeru itu, adab adalah penentu kepada jatuh bangunnya pemimpin di dalam sesebuah masyarakat.

Adab memperingatkan bahawa taraf kemuliaan seseorang itu bukan ditentukan oleh faktor-faktor kemanusiaan dari sudut kuasa, kekayaan mahu pun keturunan tetapi ditentukan oleh kriteria-kriteria yang terkandung di dalam al-Quran dari segi penetahuan, kecerdasan otak dan sifat murni.

Setelah berpeluang menyelami huraian Syed Muhammad Naquib tentang adab, beta amat insaf akan betapa kerdilnya diri beta dalam aspek pencapaian ilmu berbanding dengan tahap yang telah beliau capai. Membawa beta bertanyakan diri sendiri apatah beta selayaknya dianugerahkan dengan kemuliaan pada petang ini untuk melancarkan sebuah penerbitan yang bertujuan memuliakan seorang insan.

Seorang insan yang telah sedia lebih awal diangkat oleh Ilahi ke martabat kemuliaan ilmu yang begitu tinggi. Beta tidak dapat lari dari bertanyakan diri adakah Syed Muhammad Naquib al-Attas seorang yang beta kenali atau seorang yang tidak beta kenali.

Pertanyaan tersebut membawa ingatan beta kembali mengembara kepada peristiwa ketika beta berangkat melawat ISTAC. Lawatan yang beta pinta diaturkan setelah disembah maklumkan tentang keistimewaan institusi tersebut.

Itulah pertemuan pertama dan sehingga majlis pelancaran ini, merupakan satu-satunya pertemuan beta dengan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Pertemuan untuk tempoh masa sekitar 2 jam adalah satu peratusan waktu yang amat kecil dalam hayat beta yang telah meraut usia lebih 53 tahun. Namun pertemuan singkat itu memberi fahaman dan nilai baru kepada beta akan erti dan makna pertemuan. Bahawa pertemuan bernilai itu tidak memerlukan masa yang lama.

Sewaktu mengunjungi ISTAC beta berpeluang menemui Syed Muhammad Naquib, berjabat tangan, bertentang wajah disusuli dengan renungan mata dan perbualan kata, beta datang dan pergi dengan minda yang mengakui hakikat bahawa, pertama : beta adalah seorang anak muda yang sedang mengunjungi seorang dewasa yang usianya hampir sama dengan usia Paduka Ayahanda beta.


Sewajarnyalah beta menyedari diri berada di taraf yang lebih rendah dan sewajibnya beta menghormati beliau. Kedua: Beta masih seorang musafir dalam pengembaraan mencari ilmu, masih daif, sedang berada di kaki gunung dalam pendakian menemui seorang sarjana, seorang mahaguru, seorang pendeta yang bukan sahaja telah sedia berada di puncak gunung pengetahuan tetapi telah sekelian lama mengalirkan pemikirannya ke serata lembah dan wadi ilmu.

ISTAC adalah hasil dari himpunan usaha yang mengutamakan kualiti. ISTAC melambangkan himpunan idea terbaik dari terbaik, dipilih lalu diubahsuai dari contoh-contoh keindahan yang telah pernah beliau temui dari serata dunia.

Ia bukan sahaja memiliki keindahan fizikal tetapi keindahan itu dilengkapi dengan fungsi dan memenuhi matlamat. ISTAC memperlihatkan satu prasarana yang dihasilkan melalui pemikiran yang serius dan komitmen yang tinggi hingga terbangun sebuah kampus pengajian yang dinamik bertenaga menghidupkan budaya berfikir, berupaya membina tabiat rindukan ilmu.

ISTAC memiliki persekitaran yang mengandungi lirik cinta dan simfoni kasih. Selepas berpeluang melihat ISTAC, beta sering mengimpikan untuk melihat lebih banyak institusi, terutama institusi pengajian di negara ini dapat menjadikan ISTAC sebagai contoh dari aspek pembangunan prasarana bermula dari peringkat falsafah dan konsep, perancangan, pembiayaan, pembinaan, pengurusan dan penyelenggaraan.

Betapa produktifnya dan betapa kemungkinan ketua-ketua eksekutif institusi pengajian tinggi di negara ini diberikan lebih autonomi dalam memenuhi amanah membangunkan taman-taman ilmu yang setanding dengan ISTAC bersandarkan amalan ‘let the manager manage’.

Beta kagum melihat ISTAC yang telah beliau bangunkan tetapi beta lebih kagum dengan insan yang telah mengabadikan pemikiran dan jiwa raganya untuk membangunkan ISTAC. Melihat ISTAC beta merumuskan bahawa beta sebenarnya berhadapan dengan seorang seniman yang sangat teliti, sangat jauh, mendalam dan luas wawasannya, sangat komited dan amat terlibat memenuhi visinya.

Masih segar dalam ingatan beta akan 3 wawasan utama yang beliau suarakan kepada beta. Pertama: ISTAC adalah taman ilmu. Justeru itu bangunan dan kampus, kelengkapan dan peralatan, lanskap dan hiasan dalamannya tidak sekadar untuk memenuhi keindahan fizikal tetapi menyediakan satu persekitaran yang mendorong semangat kecintaan ke arah membina budaya untuk meminati dan menghargai ilmu.

Kedua: ISTAC wajib mendapatkan sarjana tebaik dari serata dunia di peringkat tenaga pengajar dan penyelidik, demikian juga pelajar. Dan Ketiga: Memastikan ISTAC mempunyai pusat sumber rujukan yang dilengkapi dengan koleksi karya agung dan penerbitan berkualiti tinggi dari seluruh dunia.

Kunjungan ke ISTAC yang hanya sekali berlaku dan pertemuan dengan Syed Muhammad Naquib yang juga hanya sekali berlaku, telah lama berlalu. Namun ia tetap meninggalkan ingatan berkekalan dalam diri beta.

Beliau adalah seorang sarjana yang memiliki kuasa intelek yang hebat. Berjaya meninggalkan impak kepada pemikiran muridnya walaupun hanya berpeluang berinteraksi seketika dengannya. Dengan kehalusan dan kesantunan budi pekertinya beliau telah memberikan keselesaan kepada beta untuk berinteraksi walaupun beta laksana kail sejengkal yang mahu memancing di laut ilmu milik beliau yang sangat dalam lagi luas.

Beliau bersifat rendah diri laksana padi semakin berisi semakin tunduk. Beliau adalah bukti hidup seorang insan yang berpegang kukuh kepada prinsip. Beliau teguh dalam tindakan untuk menegakkan kebenaran.

Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah satu khazanah amat berharga. Beliau adalah hasil adukan keturunan ulamak dan aristokrat, turut dibesarkan dan didewasakan dalam persekitaran budaya Islam dan melalui kehidupan harian di taman aristokrasi. Pengalaman-pengalam an yang ditempuhi sepanjang perjalanan hidup telah menambah-kukuhkan keperibadian beliau yang sebenarnya telah sedia kukuh.

Antaranya, kandungan elemen-elemen mematuhi disiplin, mematuhi perintah dan kesetiaan semasa mengikuti latihan ketenteraan mempunyai pengaruhi terhadap pandangan dan budaya kerja beliau sebagai ilmuan dan pentadbir.

Beliau memenuhi amanah dengan penuh disiplin, mentaati perintah dan mengabdikan kesetiaan secara mutlak kepada Pemerintah Teragung atau Supreme Commander yang tidak ada dua baginya iaitu Allah yang Maha Esa.

Segala yang diwarisi dan setiap liku pengalaman hidup yang dilalui telah membina satu watak yang memiliki kekuatan dan keunggulan. Beliau adalah satu keistimewaan, satu keluarbiasaan, hebat dari segi intelek, hebat dari segi personaliti, hebat dari segi kesenimanan dan hebat dari segi keimanan kepada Yang Maha Pencipta.

Syed Muhammad Naquib al-Attas memiliki daya fikir yang berupaya menghidupkan pemikiran-pemikiran berteraskan Islam, memperlihatkan kehebatan Islam melalui hujah-hujah yang amat intelek, mempercayai lalu memilih untuk Islam itu dibangunkan secara membangunkan masyarakat Islam dan bukannya terburu-buru memilih kaedah politik dengan retorik yang membina Negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam.

Beliau yakin dengan undang-undang Islam tetapi tidak yakin dengan orang-orang yang memiliki dan diberikan kuasa untuk mentafsir dan melaksanakannya di Negara ini. Beliau meragui sama ada mereka benar-benar telah memiliki kesederhanaan, hikmah, keadilan dan keberanian untuk melaksanakannya.

Kepada beliau pendekatan yang mengutamakan Islam itu harus dikembangkan dari dalam dan membesar secara organik, dan bukannya secara mengenakan tekanan dari atas kepada masyarakat . Contoh kehebatan daya keintelektualan beliau berhujah dapat dipetik dari catatan dalam dialog beliau ketika memberikan respon kepada soalan berkaitan dengan polemik penggunaan kalimah Allah semasa berlangsungnya seminar Worldview of Islam anjuran The Assembly of Muslim Intellectuals pada 13 Disember 2009 yang lalu.

Petikan: “ Allah is not from Bahasa Malaysia, it is not a National Language. It belongs to the Language of the Muslims all over the world. Therefore your argument using this for the word ‘Allah’ does not fit into your idea of God because Allah does not have a son. It is not one of three. That is why, out of respect to Allah we can’t allow you to use this. We agree you want to use God then use ‘Tuhan’ as we also use that. But we understand in the Malay language ‘Tuhan’ is not a translation of Allah. That is why we say, ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ not, ‘Tiada tuhan melainkan Tuhan’. So Allah cannot be translated as no language has translated Allah. But if they use it and they say in Indonesia they have used it, why can’t we here. It is because of the Muslims. If Muslims don’t care, they will go on and use it, and in Indonesia they are using not only that but other things too. They even call it choir for selawat. Choir is not a Selawat as selawat is for the Prophet. It is not singing a hymn”.

Demikian keintektualan beliau berhujah dan kehebatan beliau berdebat dengan memberikan hujah-hujah secara rasional dan faktual, secara ringkas, secara jelas telah mempertahankan kesucian nama Allah dari disalahgunakan, yang dibimbangkan boleh menggelincirkan akidah.

Beliau mengikuti pengajian tertiari di Singapura, di Kanada dan di United Kingdom. Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar di ketiga-tiga institusi pengajian tinggi di tiga Negara berkaitan. Penguasaan bahasa Inggeris beliau berada di tahap par excellence.

Pada hukum adatnya, beliau tidak perlu bersusah payah untuk menobatkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi negara tetapi beliau memilih mengambil tanggung jawab besar mendaulatkan bahasa ibundanya dengan menyedari bahawa lebih ramai anak bangsanya akan mendapat akses kepada ilmu jika Bahasa Melayu dapat dinobatkan sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi.

Semangat nasionalisme Melayunya terbukti dalam usaha gigih beliau untuk menobatkan bahasa Melayu. Perlu diingatkan bahawa menobatkan bahasa Melayu merupakan salah satu dari 7 wasiat raja-raja Melayu dalam kontrak sosial yang dimaktubkan menjelang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

Beliau gigih berusaha melaksanakan program untuk membolehkan Bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa pengantar di Universiti Malaya walaupun mendapat tentangan hebat dari ramai pensyarah. Beliau adalah antara pendokong utama kepada penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penulisan-penulisan beliau dalam Bahasa Melayu memberikan nilai ilmu kepada Bahasa Melayu apabila beliau memperkenalkan gaya penulisan baru Bahasa Melayu di peringkat intelek dan falsafah.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan gelora rasa yang beliau alami kerana pada hari ini sudah ada suara yang semakin berani hendak menggugat mertabat bahasa bangsa Melayu. Bahasa ibunda pribumi yang telah diterima sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

Dapatkan naungan politik untuk melonjakkan kedudukan tidak pernah dijadikan opsyen kerana beliau tidak mahu pemikirannya terikat atau terantai dengan mana-mana kumpulan politik. Beliau tidak reda kejernihan tasik pemikiran beliau dicemari oleh pelbagai polemik dan persengketaan politik atas hasrat untuk mendapat kuasa, mengguna atau menyalahguna kuasa serta mempertahankan kuasa.

Syed Naquib mentafsirkan kemerdekaan itu mempunyai pelbagai peringkat. Kemerdekaan politik hanyalah tahap pertama. Bahawa kemerdekaan yang lebih tinggi bermula dengan kemerdekaan minda untuk berupaya berfikir dan bertindak bersandarkan prinsip ilmu dan pengetahuan serta tradisi bernilai sesebuah Negara.

Pada hemat beliau bila berlaku perselisihan pandangan atau kelainan tafsiran di antara seorang sarjana dengan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu, kerajaan jangan terlalu cepat menganggap mereka sebagai ahli politik pembangkang yang memang lazimnya mencari kesalahan untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan tetapi hendaklah dihargai bahawa minda seorang sarjana itu merasakan dirinya bertanggung jawab mendidik masyarakatnya di samping memiliki keberanian serta ketegasan memaklumkan kepada kerajaannya tentang fakta dan hakikat yang berlaku. Baginya seorang sarjana tidak harus sama sekali memiliki sifat untuk mendapat sokongan atau kedudukan politik.

Pendirian neutral yang dijadikan prinsip pegangan telah membebaskan beliau untuk berupaya terbang mencapai awan di langit yang lebih tinggi. Membolehkan beliau berupaya singgah di pepohon yang lebih segar, subur dan hijau rendang dari satu taman ilmu ke satu taman ilmu di seluruh alam semesta.

Adalah lazim bagi insan yang telah dianugerahkan kehebatan minda yang luar biasa untuk mendahului eranya, meletakkanya berada jauh di hadapan pemikiran bangsa dan warganya. Namun sifat istimewa luar biasa bukannya mudah difahami malah seringkali meletakkan beliau berhadapan dengan cabaran lebih berat untuk dapat dihargai.

Seringkali pula mengundang kepada salah tafsiran lalu berlaku penilaian yang tidak semestinya bersifat adil dan positif ke atas diri beliau. Demikian harga yang perlu dibayar dan pengorbanan yang perlu dilakukan oleh seorang sarjana yang berani menegakkan kebenaran dan bertegas menegur kebatilan.

Syed Muhammad Naquib yang telah diangkat oleh Ilahi berada di altar lebih tinggi dalam dunia dia didewasakan telah juga dianugerahkan daya lihat yang amat tajam dan mata hati yang amat terang. Beliau adalah satu-satunya sarjana di negara ini yang telah dianugerahkan penghormatan menduduki kursi-kursi utama akademik dalam pelbagai disiplin. Beliau pemegang pertama Kursi Pemikiran Islam Abu Hamid al-Ghazali di ISTAC.

Syed Muhammad Naquib memiliki keistimewaan yang luar dari biasa lalu memerlukan sebenar-benar jauhari untuk dapat menilai mutu manikamnya. Manikam yang sangat asli tidak mudah luntur dan tidak senang hancur. Biar di mana ia jatuh, biar sejauh mana ia dilontar, ia terus bercahaya malah semakin memancarkan sinar cahaya menerangi benua dan alam semesta. Ia menjadi buruan para jauhari yang bestari.

Seorang ilmuan itu sebenarnya memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan lebih tulen. Pengiktirafan yang diabadikan lebih berkekalan, lebih berpanjangan dan lebih berterusan hingga jauh melangkau pasca hayatnya, dan tidak sekadar semasa dia masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu.

Berbanding dengan penghormatan seorang raja ataupun ratu, seorang presiden atau seorang perdana menteri yang boleh sementara sifatnya didewakan bagaikan dewata ketika berada di tampuk kuasa kemudiannya terhenti dan begitu cepat dan mudah dilupakan setelah muncul pengganti yang baru.

Usaha memuliakan ilmuan adalah usaha yang amat konstruktif. Usaha sebegini dapat membantu membina kekayaan intelek dan khazanah intelek negara. Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha-usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan. Kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan daya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pemimpin yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar. Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif.

Pimpinan yang stabil dan negara yang maju senantiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan dan menyediakan persekitaran politik yang tidak memusuhi kumpulan ilmuan.

Semoga kebijaksanaan pemikiran Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas akan terus berkembang dan disuburkan. Semoga anak didik beliau akan berperanan secara berkesan menjadi duta ilmu menyebarkan pemikiran beliau. Dalam hubungan tersebut, inisiatif Wan Mohd Nor Wan Daud dan Muhammad Zainiy Uthman serta Universiti Teknologi Malaysia adalah salah satu misi dan amanah yang amat murni dan perlu dipuji.

Ke mana pula tumpahnya kuah kalau tidak di pinggan nasi. Ungkapan tersebut khusus beta tujukan kepada Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas, anakanda kepada Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk terus menyalakan obor keluarga dalam kegiatan penulisan dan kehidupan.

Dalam kapasiti beta memenuhi amanah sebagai Raja Muda Perak, sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, begitu juga sebagai Pro Canselor Universiti Malaya, selanjutnya sebagai seorang anak, suami dan ayah, esei-esei yang terkandung dalam koleksi buku ini sangat relevan untuk beta jadikan rujukan terutama dari segi memahami falsafah dan konsep berkaitan Islam, kesejahteraan, evolusi, adab, pengetahuan, dialog ketamadunan, pendidikan, institusi wakaf, kapitalisme dan dunia Melayu.

Semoga apa jua ilmu yang beta timba akan dapat beta manfaatkan untuk kesejahteraan ummah. Dengan kalimah Bismillahirrahmani beta dengan sukacitanya melafazkan pengistiharan pelancaran Knowledge, Language, Thought and the Civilization of Islam: Essays in honour of Syed Muhammad Naquib al-Attas.

Wabillahitaufiq wal hidayah…Wassalamu’alaikum wrt. wbt.

Saturday, February 6, 2010

MELAYU PUPUS 2057?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Menarik juga membaca Mastika keluaran Februari 2010. Cikgu Azmi Hamid, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) meramalkan Melayu akan pupus 50 tahun lagi!

Saya setuju 100%. Melihat kepada kerancuan politik, budaya, akal-budi dan gejala sosial yang melanda anak muda Melayu kini, tidak mustahil Melayu (dalam ertikata watak dan keperibadian Melayu) akan pupus 50 tahun daripada sekarang...

Walaupun Hang Tuah pernah berkata "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" sebenarnya mempunyai mesej tersirat - Melayu akan hilang jika pembinaan watak dan keperibadian Melayu tidak dipertahankan.

Melayu itu asasnya tiga perkara - beragama Islam, mengamalkan adat istiadat dan adat resam Melayu dan lazimnya bertutur bahasa Melayu.

Kita dapat perhatikan lebih 50% Melayu sekarang nama sahaja Islam, tapi tidak beragama, tidak beramal dengan Islam. Sudah semakin ramai lelaki Melayu tidak solat Jumaat. Sekadar contoh.

Melayu sekarang tidak lagi mengamalkan adat resam atau cara hidup Melayu. Makanpun pakai sudu, dah kekok guna tangan. Kalau melihat seseorang makan guna tangan, akan dianggap kampungan! Sopan-santun? Lebih 50% Melayu sudah tidak mengamalkan adab dan sopan-santun Melayu. Hormat kepada orang tua sendiripun sudah kurang, khususnya di kalangan generasi baru. Yang masih diamalkan ialah adat istiadat - ketika berkahwin dan kematian. Kenduri-kendara pun dah tak macam dulu...

Melayu sekarang sudah semakin meminggirkan bahasa sendiri. Bahasa Inggeris lebih dipentingkan. Lihatlah isu PPSMI dulu. Kalau tidak kerana politik - takut kehilangan undi, tidak mungkin kerajaan nak tunduk kepada desakan NGO dan rakyat yang membantah perlaksanaannya. Realitinya, 50% daripada orang Melayu lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Bukti paling jelas ialah kepupusan tulisan jawi yang pernah menjadi kebanggaan Melayu satu ketika dahulu.

Mana Melayunya Melayu hari ini? Apakah Melayu benar-benar berkuasa hari ini? Hakikatnya ekonomi memang Melayu jauh ketinggalan. DEB gagal capai 30% pemilikan ekuti negara.

Insya Allah, tidak lama lagi akan terbit buku tulisan Cikgu Azmi Hamid berjudul "Melayu Pupus 50 Tahun Lagi".

Wassalam.

Monday, November 16, 2009

KIAMAT 2012?


Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Filem terbaru yang bertajuk 2012: Doomsday menggegar panggung mulai 12.11.2009. Ramalan Kiamat bahawa hari Kiamat akan berlaku pada tahun 2012 berdasarkan kalendar Nayan dan Mesoamerican Long Count.

Seperti filem End of the Day, karya Roland Emmerich memaparkan kemusnahan bumi akibat pengabaian terhadap alam sekitar. Manusia yang rakus kini semakin kehilangan "jiwa" akibat pengaruh sekularisme, materialisme dan hedonisme.

Apa yang perlu dikongsi kali ini ialah bahawa jauh di hati nurani para pengkarya filem Barat walau apapun agama anutan mereka, kepercayaan bahawa bumi dan dunia ini satu hari nanti akan berakhir tidak dapat disangkal lagi.

Filem 2012 ini seolah-olah satu amaran kepada penduduk dunia. Lihatlah andaian Kiamat yang pasti akan berlaku bila-bila masa.

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kajian para saintis Eropah apabila mereka menemukan bahawa "sujud" menghala ke arah Kaaah adalah satu-satunya cara paling efektif bagi mengembalikan keseimbangan tubuh badan daripada cas positif medan elektromagnetik yang amat berbahaya kepada kesihatan (sesiapa yang berminat sila beri emel anda).

Justru, sebagai umat Islam, apakah kita masih alpa dan sengaja melupakan Allah SWT, Tuhan Rabbul Jalil, Tuhan Yang Maha Berkuasa, Pemilik Alam Semesta yang telah menegaskan akan peri benarnya Hari Kiamat, Hari Pembalasan dan Hari Pengadilan sebenar yang pasti akan berlaku.

Marilah kita sama-sama bertanyakan hati kecil kita, apakah kita sudah benar-benar bersedia menghadapi hari tersebut. Tepuk dada, tanyalah iman anda!

Sekadar mengingatkan.
Wassalam.

COACH BAM AL-HAJ

Saturday, October 24, 2009

BONUS OH BONUS!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bajet 1Malaysia DS Najib baru-baru ini dianggap mengutamakan penduduk luar bandar, khususnya bagi meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan dan penternak dengan peruntukan RM6 billion. Begitu juga dengan sektor pendidikan, perumahan rakyat, pelepasan cukai individu dan kesihatan.

Pembinaan klinik komuniti di kawasan perumahan tertentu dengan permulaan di 50 lokasi terpilih juga dianggap satu idea yang cukup baik untuk rakyat untuk mendapatkan perubatan percuma.

Namun, seorang kawan marah-marah kerana belanjawan/bajet 2010 yang dibentangkan oleh DS najib semalam tidak sebut langsung pasal bonus. Yang ada ialah bayaran khas RM500 untuk kakitangan gred 41 hingga 54.

Kesiannya ialah kakitangan sokongan. Mereka langsung tidak disebut dalam bajet kali ini. Adakah kerajaan terlupa? Saya kira ini adalah kelemahan yang cukup ketara. Maknanya kerajaan tidak ambil peduli kakitangan sokongan yang selama ini bekerja bertungkus-lumus membantu kerajana mencapai KPI dan NKRA. Apakah orang-orang kecil (the small players) tidak penting. Sepatutnya pemberian khas ini turut merangkumi pekerja di peringkat bawahan.

Saya teringat Kursus Kepemimpinan dan Pengurusan Altruistik (Altruistic Leadership and Management Course) yang kami anjurkan baru-baru ini. Satu prinsip yang sangat penting ialah sikap pemimpin yang mementingkan orang bawahan.

Nampaknya slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan tidak dipraktikkan dalam bajet kali ini. Apakah lebih 600,000 kakitangan sokongan bukan rakyat?

Saya berharap sangat supaya kerajaan menimbangkan semula pemberian bonus atau apa sahaja namanya, terutama bagi kakitangan sokongan.

Rakyat yng patut didahulukan, bukan prestasi. Prestasi bukan tidak penting, tetapi KEUTAMAAN sepatutnya diberikan kepada RAKYAT.

Salam perjuangan orang kecil,

BAM AL-HAJ

Saturday, October 3, 2009

KEMPEN POLITIK DAN PROPAGANDA


Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Berikut artikel Sg. Kelembai (sdr. Zaharin Mohd. Yassin) yang menarik untuk dibaca. Saya mengenali beliau sejak tahun 1993. Dulu beliau adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu.

Walaupun pernah terbuang (dipecat) dari UMNO, analisis politiknya cukup tajam. Ilmu dan pengalaman politiknya cukup tinggi, tapi jarang mahu diambil oleh UMNO kerana sikap kritikalnya. Saya menganggap beliau adalah "intelektual politik" UMNO.

Selamat membaca:

Kempen UMNO Melawan Propaganda Pakatan Rakyat

Masalah UMNO selepas pilihanraya umum 2008 ialah soal kempen dan antara sebabnya kekalahan BN pada PrU ke 12 berhubong dengan soal kempen atau juga dipanggil penerangan.

Persoalan besar yang dihadapi oleh UMNO hari ini ialah disebabkan tiga asas penting yang tidak difungsikan sepenuhnya. Perkara tersebut yang pertama ialah organisasi dalam UMNO sendiri, bermula dari Ibu Pejabat UMNO membawalah kepada diperingkat UMNO Cawangan. Dan setiap Pilihanraya, tenaga pertugas disusun oleh UMNO Bahagian.

Persoalannya adakah UMNO Bahagian mempunyai satu Standard Operating Procedure-SOP. Yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri atau Ibu Pejabat UMNO?. Jawabannya tidak.

Maka berlaku pilih kasih dalam menawarkan jawatan dan tanggungjawab jika berlaku PrU atau PrK. Saya tidak membahas isu ini dalam topik perbincangan tetapi saya hendak menjuruskan kepada persoalan cara berkempen dan juga peranan YB Ahmad Mazlan selaku Ketua Penerangan.

Sepanjang mengikuti cara berkempennya termasuk isu memotong pokok getah. Jelaslah bahawa beliau TIDAK mempunyai latar belakang ilmu komunikasi khasnya komunikasi politik.

Sebenarnya semenjak kira-kira 50 tahun yang lalu banyak sarjana ilmuan komunikasi yang masih mempunyai kesimpulan keliru tentang makna kempen. Mereka memikirkan bahawa berkempen melalui media massa hanya memberikan sumbangan yang terlalu kecil dan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman pemilih atau pengundi untuk membuat keputusan kepada siapa dia akan menberikan undi kepada calun yang bertanding.

Bahan rujukan mereka bergantung kepada dua artikel atau rencana bagi membuktikan tidak ada efektifnya berkempen dalam satu-satu pilihanraya. Artikel yang pertama bertajuk “Some Reason Why Information Campaigan” yang ditulis oleh Hyan dan Sheatsley pada tahun 1947, dan artikel kedua merupakan laporan Hughes (1950) tentang kegagalan kempen bangsa-bangsa bersatu di Cincinati-Ohio. USA (Grossberg 1998.

Kedua tulisan ini telah menyebabkan semangat para ilmuan untuk belajar dan
menerapkan cara berkempen dan sempat juga mengabaikan fenomena berkempen.

Kajian Komunikasi hanya bermula pada tahun 70-an dengan beberapa pertemuan baru dalam soal berkempen di pilihanraya atau sebagainya. Hasilnya pakar-pakar komunikasi telah memperlihatkan satu harapan baru kepada semua pihak termasuk swasta akan potensi perubahan sosial dan prospeknya dalam perkara yang di kempen.

Keberanian ini berkembang bila hasil kajian telah diterbitkan oleh ilmuan komunikasi saperti Mendelsohn(1993) Warner (1977) dan yang terbaharu oleh A.J.Meyer, Nash, McAlister, Maccoby dan Farquhar ditahun 2002. Semua kajian atau laporan tersebut pada perinsipnya menegaskan bahawa sebuah kempen yang dikontruksi atau diperbuat dengan baik akan memberikan efek yang luar biasa terhadap khalayak atau pengundi yang menjadi sasaran. Masa ini kemudian dikenal sebagai era kesuksesan kempen.

Seorang ilmuan komunikasi yang juga Profesor Komunikasi dari Universiti Boston yang bernama Robert E. Simon menegaskan bahawa “bahawa keberhasilan mencapai tujuan kempen banyak ditentukan oleh kemampuan kita dalam merancang, menerapkan dan mengevaluasikan program kempen secara sistemats dan strategis”, Kemampuan semacam itu harus dilandasi oleh pemahaman teori terhadap berbagai dimensi kempen serta kecekapan teknik dalam menerapkannya.

Orang sering mempersamakan kempen dengan propaganda. Hal ini tidak sepenuhnya salah kerana keduanya memang merupakan wujud tindakan komunikasi yang terancang dan sama-sama ditujukan untuk mempengaruhi khalayak atau pengundi.

Sumber kempen selalunya dapat dikenal pasti dan tahu dari mana datangnya sumber itu sebaliknya propaganda lebih suka menyembunyikan identity mereka saperti yang berlaku dalam facebook. Dalam istilah popularnya, kempen lebih suka terang-terangan termasuk dalam blog dalam melakukan aktiviti mereka, sementara propaganda lebih senang ‘sembunyi-sembunyi’ atau juga dipanggil ‘penembak curi’
Dan anda di mana dalam facebook ini? Sekian, daripada Sang Kelembai

Sang Kelembai: Akan cuba bantu di Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, jika tidak ada peranan akan bersikap seperti di Pilihanraya Kecil Manik Urai dan Permatang Pasir.. tak pergi

BAM AL-HAJ - Baru beljar jadi pemerhati politik dan strategi politik.

TUN RAZAK MENANGIS MELIHAT UMNO SEKARANG...


Asslamu'alaikum dan Salam Sejahtera.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Saya tertarik dengan artikel Dr. Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA). Kenyataan beliau memang benar. Jika UMNO mahu berubah, kembalilah kepada Islam. Imej UMNO memang dilihat tidak Islamik.

Sepanjang saya menjadi ahli UMNO 1988 - 1999 dan 2000 - 2009, saya memang rasakan UMNO tidak serius untuk membina imej Islamnya, bahkan jika dinilai dari sudut gerakan Islam, boleh dikatakan kosong! Jika dibandingkan dengan PAS dan ABIM, sebagai contoh, UMNO masih terlalu jauh. Sekadar meletakkan dua tiga orang tokoh agama popular (tokoh siaran) di TV tidak mencukupi. Sekadar meletakkan seorang menteri menjaga agama tidak cukup.

Rakyat sekarang sudah celik agama. Anak-anak bertudung, tetapi pemimpin wanita dan isteri-isteri menteri kebanyakannya masih berselendang - budaya berselendang ni zaman Aishah Ghani boleh la. Ini zaman IT, zaman baru - generasi alaf baru. Maknanya pemimpin wanita UMNO ketinggalan zaman 20 tahun!

Saya pun rasa pelik sangat apabila UMNO terus leka dan bergelumang dengan politik wang dan penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya. Wang digunakan untuk mendapat dan mengekalkan kuasa politik, dan apabila berkuasa, kuasa akan digunakan untuk mendapatkan kekayaan yang bukan sedikit, bahkan melampau-lampau. Lihatlah rumah para pemimpin UMNO - Masya Allah - macam tokoh korporat.

Jika DS Najib bertempik di Perhimpunan Agung UMNO untuk memerangi rasuah sampai runtuh dewan PWTCpun, UMNO tidak berubah. Politik wang dlm UMNO makin parah. Politik UMNO sekarang jauh bumi dari langit jika dibandingkan zaman Tun Razak dulu. Sekarang rasuah bukan sahaja untuk jawatan tertinggi, tetapi melarat ke peringkat bahagian dan cawangan.

Sebagai contoh, dalam pemilihan lepas, di Sabak Bernam, saya difahamkan persaingan di peringkat Pemuda begitu sengit. Hari ini calon kumpulkan para perwakilan Pemuda buat majlis doa selamat, si calon dengan selambanya memberikan envelop berisi wang kpd para perwakilan. Esoknya, seorang lagi calon buat majlis yang serupa dan bagi envelop yang berisi lebih banyak wang! Alangkah rosaknya UMNO sekarang!

Apa kurangnya di bahagian lain di seluruh negara... Di Bagan Pinang sekarang lagi teruk. Geng Isa, geng Tok Mat dan Geng KJ berlaga angin. UMNO Malaysia terpaksa tunduk kepada Isa seorang, the expired politician yang rasuah! Cumanya rasuah dia dalam UMNO dan SPRM tak dibenarkan menyiasat dan ambil tindakan.

Saya rasa, kalaulah Tun Razak masih hidup, nescaya dia akan menangis melihat UMNO sekarang. UMNO yang dibina oleh Tun Razak dahulu telah bertukar wajah. UMNO yang ditatang dengan ikhlas dan dibaja subur kini sudah semkin kering layu jiwanya.

Memang seruan Dr. Asri dlm Mingguan Malaysia hari ini (5 Okt 2009) memang wajib dan patut dibaca oleh semua pemimpin dan ahli UMNO. Hayati betul-betul mesej Dr. MAZA. Saya rasa dia ikhlas menegur, walaupun dia memang suka "kenen" orang-orang PAS (seolah-olah dia soang yang betul dan hebat).

Bukan pemimpin UMNO saja yang kena baca artikel ni, para pegawai kerajaan pun kena baca, terutama jentera kerajaan yang berkhidmat untuk memenangkan UMNO dan BN setiap kali pilihanraya - BTN, Seranta, JASA, Penerangan, YADIM dan KEMAS, dan lagi jabaan-jabatan lain yang digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang sama.

Selepas itu, fikirkanlah untuk memulakan program keislaman yang benar-benar mantap supaya lahir peribadi-peribadi hebat di kalangan anak muda UMNO. Kalau setakat yang ada sekarang, apalagi jika tak berubah, saya tidak fikir UMNO menepati citarasa pengundi.

Insaflah! Hanya dengan "Fomula Dr. Asri" tu saja UMNO "mungkin" boleh berubah.... Itupun jika ada kesanggupan untuk berubah; seperti pesan Pak Lah - perubahan bermula dengan diri sendiri, diri setiap individu ahli UMNO! - Itupun jika anda mahu UMNO terus "survive" la. Jika tidak, tunggulah PRU akan datang! Awas Tsunami kedua! Kalau Indonesia dilanda tsunami kedua, tidak mustahil kepada UMNO!

Di bawah ini saya perturunkan sebahagian daripada artikel tersebut:

Islam Tulen Boleh Selamatkan Umno

Disiarkan pada Oct 04, 2009 dalam kategori Dakwah
Oleh: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Ramai tokoh-tokoh UMNO bertanya pendapat saya, apakah caranya untuk memulihkan UMNO. Saya terlebih akui bahawa saya bukan ‘orang politik’ untuk menghuraikan masalah UMNO. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam UMNO.

Islam itu sebagai ad-din dalam kehidupan masyarakat Islam, termasuklah masyarakat melayu yang secara majoritinya mengakui Islam sebagai nadi hidup mereka. Jika UMNO inginkan masyarakat melayu menerima mereka, UMNO mestilah mendokong dan menjaga nadi hidup mereka ini dengan baik.

Justeru itu, jawapan saya mudah sahaja: “UMNO! Kembalilah kepada Islam tulen!” UMNO mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif. Apabila saya kata demikian, bukan bererti saya menafikan keislaman UMNO sebelum ini, atau unsur-unsur Islam yang sedia ada dalam UMNO. Namun apa yang jelas keislaman UMNO itu perlu diperkukuh dan proses perbaikan kelemahan perlu dibuat segera.

Allah sendiri dalam al-Quran pernah menyebut: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, serta kepada kitab (Al-Quran) yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), juga kepada Kitab yang telah diturunkan sebelum daripada itu. Dan sesiapa yang ingkar kepada Allah, Malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa, ayat 136).

Dalam ayat ini Allah memerintahkan orang yang beriman agar beriman. Bagaimana begitu? Tidakkah itu seakan-akan memerintahkan apa yang sudah terlaksana?! Tidak!

Maksudnya seperti kata al-Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini: “Allah ta’ala memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar masuk secara keseluruhan dalam segala syariat iman, cabang, rukun dan tiangnya. Ini bukan suruhan agar melakukan perkara yang sudah tersedia, sebaliknya ia bermaksud lebih menyempurnakan yang sempurna, menetapkannya, mengukuhkannya dan berterusan atasnya”.

Dalam konteks UMNO, hendaklah mereka menghidupkan Islam dalam gerakannya kerana yang sedia ada itu tidak mencukupi.

Islamisasi Program

Di sini, saya tidak mahu bercakap tentang falsafah-falsafah politik yang besar-besar. Sudah saya sentuh isu-isu yang lebih prinsip dalam banyak tulisan saya yang lepas. Saya juga tidak berbicara untuk tujuan bagaimana UMNO ingin mengekalkan kuasa. Itu kerja orang politik.

Saya bercakap untuk kepentingan setiap individu muslim yang ada dalam UMNO. Saya ingin mengajak orang UMNO berfikir secara ‘kampung’ sahaja. Saya harap orang UMNO jangan kecil hati, saya bermaksud ingin menceritakan ubat bukan untuk menambahkan penyakit.

Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam UMNO?!. Atau anak saya dahulu kurang kefahaman agamanya tetapi selepas aktif UMNO, dia lebih memahami Islam yang sebenar.

Saya rasa agak sukar ungkapan seperti itu ditemui. Jika adapun mungkin kes terpencil bukan fonomena umum. Saya jumpa ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, kebanyakan mereka tidak akan memilih UMNO. Sama ada mereka memilih organisasi atau gerak kerja Islam yang lain, atau pertubuhan politik yang lebih ‘mensepandukkan’ lambang Islamnya.

Secara jujur, akuilah iklim dan suasana islamik tidak cukup kuat dalam UMNO untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat. Namun saya tidak menafikan UMNO juga ada membuka dan mengusahakan pelbagai ruang untuk Islam dalam kerajaannya. Itu kerajaan, namun di sudut parti jika ada program-program Islamik dalam UMNO ia amat terhad.

Lebih menyedihkan lagi berputar sekitar ‘kenduri tahlil’, barzanji, kenduri arwah dan yang sewaktu dengannya. Di samping program-program itu boleh dipertikaikan sejauh manakah tuntutan Islam mengenainya, ia juga tidak memberikan impak yang dapat merubah peribadi atau meninggalkan kefahaman dan penghayatan seseorang individu muslim.

Seseorang aktif dalam sesuatu pertubuhan atau organisasi atas dua kepentingan, sama ada untuk dirinya atau masyarakat. Atau, boleh juga disebut kerana ikhlas tanpa kepentingan atau ‘ada udang di sebaliknya mee’. Untuk menjadikan seseorang ikhlas, bagi muslim agama adalah faktor penting.

Apabila kita merasakan gerakerja itu ibadah, jika tiada keuntungan pun kita akan buat, harta sanggup berikan, nyawa sanggup kita taruhnya. Inilah kekuatan organisasi Islam. Sekalipun sebahagian yang bernama Islam itu pada hakikatnya tidak Islamik, namun apabila mereka berjaya mencetuskan suasana yang Islamik, ramai yang tertarik. UMNO hendaklah jujur terhadap Islam zahir dan batin.

Hidupkan program-program Islam dalam UMNO. UMNO kena galakkan pengajian dan suasana ilmu dalam UMNO. Hidupkan pendekatan Islam yang tulen, matang dan progresif. Sehingga setiap yang masuk akan terasa perubahan diri, sikap, pemikiran dan akhlaknya. Jadikan ibubapa akan rasa seronok jika anaknya aktif UMNO kerana nanti nilai-nilai ketinggian budi, kematangan pemikiran, keutuhan ilmu akan terzahir pada kehidupannya.

Tokoh-tokoh pemikir yang baik, jujur dan progresif hendaklah dijadikan tonggak pengisian UMNO. Jangan paksa atau ajak ulama masuk UMNO, tetapi ambillah pendapat dan cadangan yang baik daripada para ulama yang ikhlas, progresif dan tidak berkepentingan. Jika hal itu dapat digarabkan ke seluruh pelusuk masyarakat melayu, penghayatan Islam akan meningkat, secara tidak langsung mudah-mudahan Allah memberikan kebaikan kepada niat yang jujur ini. Jika pun UMNO tidak menang pilihanraya, UMNO boleh menang pahala mengajak masyarakat menghayati Islam dan persepsi negatif akan dapat dikikis.

Imej UMNO sering dikaitkan dengan kurang islamik. Di sudut kefahaman UMNO dikatakan kurang faham Islam. Walaupun sebahagian pihak yang mendakwa itu, kefahaman mereka belum juga tentu betul dengan Islam tulen yang dibawa oleh Nabi s.a.w.

Sebaliknya sebahagian mereka yang mendakwa itu sekadar memahami Islam berdasarkan rekabentuk atau rupa paras yang dicorakkan oleh organisasi atau parti mereka. Tafsiran mereka berdasar tuntutan semasa politik mereka. Namun apapun, imej Islam itu dikaitkan dengan mereka samada ia benar atau disalahgunakan.

Tidak dengan UMNO, sedangkan ruang menonjolkan Islam yang tulen serta progresif begitu diperlu oleh umat manusia terutama dalam negara kita ini. Bukan semesti pemimpin UMNO kena tukar jadi ulama. Banyak organisasi dakwah atau Islam tidak dipimpin oleh mereka yang bertaraf ulama, tetapi diakui nilai islamik mereka.

Jangan UMNO takut kehilangan undi bukan Islam, itu satu kesilapan. Islam jika ditonjolkan secara adil dan bijaksana ia akan menarik hati semua pihak. Masyarakat ingin melihat nilai akhlak dan budi yang baik. Dalam soal Islam, UMNO mestilah bebas dari unsur kemelayuan, kerana Islam agama sejagat. Jika Islam yang universal itu ditonjolkan, bukan sahaja boleh memikat perasaan mereka, bahkan mungkin menjadi dakwah untuk mengajak mereka kepada Islam.

Mungkin ada yang menganggap mustahil hal ini boleh berlaku dalam UMNO. Walaupun saya secara peribadi bukan ahli UMNO, namun pernah cuba membaiki dan menguatkan pegangan Islam dalam Kerajaan UMNO Perlis ketika saya menjadi Mufti Perlis. Alhamdulillah, saya melihat ada kesannya yang bukan sedikit.

Ramai pemimpin ketika itu yang menjadi peminat pengajian ilmu sehingga program-program wakil rakyat dipenuhi dengan pengisian ilmu. Lantas, perjalanan kerajaan pun ditekankan soal penghayatan Islam. Orang kampong keluar berduyun-duyun tanpa dipaksa apabila saya dan kepimpinan kerajaan pergi ke masjid-masjid atau majlis untuk berucap. Hubungan hati antara kerajaan dan rakyat menguasai suasana.

Maka, kesan tidak langsung ketika itu rakyat tidak membuang UMNO di Perlis, walaupun disingkirkan di Kedah yang bersebelahan dengannya. Namun, bukanlah agenda saya untuk memenangkan UMNO dalam pilihanraya, tapi agenda saya ialah dakwah. Saya inginkan Islam itu subur dalam semua organisasi termasuklah UMNO.

Dakwah ini merentasi sempadan parti dan organisasi. Justeru itulah saya menasihati UMNO. Nabi s.a.w pernah menghantar surat Hercules berbunyi:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu..(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Menjejaki sunnah itu, maka saya katakan kepada UMNO, lakukan proses islamisasi politik secara bersungguh-sungguh, nescaya kamu selamat!

BAM AL-HAJ