Sunday, May 17, 2009

GURU PENJANA MODAL INSAN CEMERLANG


Assalamu'alaikum.

Sempena Hari Guru 16 Mei 2009, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru di seluruh negara sebagai tanda penghargaan atas jasa hebat mereka menjana modal insan cemerlang negara.

Dedikasi dan penghargaan ini juga saya tujukan kepada guru-guru saya dari sekolah rendah hingga ke universiti. Antara yang masih saya ingati ialah guru-guru semasa di SK Sg Leman, Sekinchan, Selangor (1968 - 73) ialah Cikgu Normah Sidang Anang, Cikgu Saad, Cikgu Hamzah, Ustazah Aminah dan Cikgu Abu Samah. Tanpa mereka tak mungkin saya pandai menulis, membaca dan mengira. Saya pun tak pasti di mana mereka sekarang. Dah lost contact.

Saya bukanlah pelajar yang pandai ketika itu. Saya masih ingat Ujian Penilaian Darjah 5, saya cuma dapat 1A 4B. Empat orang rakan saya dapat 5A, iaitu Mohamad Sanuri Shahid, Razali Abas, Endan Parman dan Asiah Abdul Rahman. Dua orang dapat 4A 1B, iaitu Osman Awaluddin dan Arbainah Samat. Mungkin cikgu-cikgu yang pernah mengajar kami masih ingat sebab tahun adalah tahun keputusan cemerlang. Dulu ada majalah Semarak, tapi saya dah tak ada satu naskhah pun majalah itu.

Juga guru-guru semasa di SM Dato' Mustaffa, Pasir Panjang (1974 - 78), antaranya Tuan Haji Shahibi (Pengetua SDM 1978), Cikgu Zainal Abidin Asnawi (sekarang tinggal di Sg. Buluh), Cikgu Habib Wagiman (sekarang pensyarah kanan IPBA, KL), Cikgu Nasiah Ahmad (Dengkil), Cikgu Salehar Yaakob (Sg. Besar), Cikgu Habib Wagiman, Cikgu Zakaria Kamarudin, Cikgu Nasiah Ahmad (khabarnya baru kematian suami) dll. Maaf la kepada guru-guru lain yang saya tak ingat nama, tapi rasanya kalau jumpa masih kenal. Cikgu-cikgu pun mungkin tak ingat saya, SPM 1978 bersama-sama Hashim Puteh yang jadi best student ketika itu (kami sama-sama dapat Pangkat 1 - 19 Agreget SPM 1978). Yang bestnya, saya, Saarani Osman dan Jamaliah Sidek siap dapat masuk tv di temuramah RTM pada bulan Mac 1979. Harap-harap RTM ada simpan lagi rakaman tersebut. Satu hari nanti saya nak dapatkannya dan paparkan dalam blog ini.

Juga dedikasi Hari Guru kepada guru-guru SMK Dato' Harun Tg. Karang, antaranya Arwah Cikgu Rahim Ahmad (Pengetua), Cikgu Lamsah Arbaie, Arwah Cikgu Abdullah Ibrahim, Cikgu Idrus Bahari, Cikgu Ibrahim Saad, Cikgu Ismail Mohd Ali, Cikgu Saad Ibrahim, Cikgu Fatimah dll. Terima kasih kepada Cikgu Lamsah kerana merotan saya masa Form 6 sebab nakal keluar pagar asrama untuk menyanyi di pentas sempena Hari Peladang Kebangsaan 1980 di Pekan Tg. Karang. Atas cetusan semangatnyalah saya mula sedar diri dan all-out 3 bulan dan akhirnya saya jadi best student STP tahun 1980 dan dapat masuk UKM. Terima kasih kepada Arwah Cikgu Rahim (termasuk isterinya) kerana jasanya meminjamkan saya RM600.00 untuk masuk universiti.

Rasa sayu juga kadang-kadang bila ingat jasa-jasa guru dulu. Harapan saya semoga mereka terus sihat dan hidup bahagia. Jasamu sebagai guru tetap saya kenang sampai ke akhir hayat. Tanpa didikan mereka saya tak mungkin boleh berjaya sekarang.

Terima kasih Cikgu.

BAM AL-HAJ
(Baharudin Ali bin Masrom)

GURU O GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG1979

Friday, May 8, 2009

ISU MAT REMPIT: FENOMENA JIWA GENERASI MUDA YANG RESAH!


Salam Sejahtera.

Isu mat rempit mendapat perhatian yang serius.
Saya amat tertarik dengan rencana tulisan Dr. Saodah Abd. Rahman (Utusan, 8 Mei 2009) kerana beliau berjaya mengupas isu ini dari perspektif yang lebih tepat.

Syabas kepada beliau. Sumbangan para ilmuan di IPT sangat dialu-alukan untuk menyelesaikan begitu banyak masalah yang melanda masyarakat hari ini. Dari mat rempit, ragut, jenayah dan hiburan melampau, kepada isu-isu politik dan ekonomi kini amat memerlukan fikiran para ilmuan.

Kepada ahli-ahli politik dan pemimpin, harap dapat "appreciate" golongan ilmuan yang begitu ramai di universiti kini. Mereka juga perlu memainkan peranan untuk menegur dan mencadangkan penyelesaian konkrit.

Di bawah ini saya perturunkan rencana Dr. Saodah Abd Rahman untuk renungan bersama.

BAM AL-HAJ

PUNCA MAT REMPIT 'MENGGANAS'

Oleh SAODAH ABD. RAHMAN

Kes muda mudi melibatkan diri dalam perlumbaan motosikal secara haram tanpa menghiraukan undang-undang lalu lintas serta mengganggu pengguna jalan raya perlu dilihat dalam perspektif psikologi remaja masa kini.

Penulis telah melakukan kajian terhadap kumpulan ini dua tahun yang lalu. Penulis menemu bual 300 orang remaja terbabit serta menghadiri perhimpunan bulanan kumpulan tersebut di sebuah kawasan peranginan di utara tanah air. Perhimpunan tersebut dihadiri oleh 1,000 orang ahli yang mewakili beberapa kumpulan penunggang motosikal.

Penulis berpeluang menemu bual ketua kumpulan tersebut di mana beliau merupakan ketua kumpulan penunggang motosikal di zon utara.

Mengikut maklumat daripada ketua kumpulan tersebut tidak kesemua penunggang motosikal melibatkan diri dalam kegiatan ganas. Kumpulan penunggang motosikal yang ganas seperti disiarkan oleh media massa ialah terdiri daripada remaja yang tidak mempunyai persatuan dan kumpulan.

Mereka melakukan sesuatu mengikuti gerak hati tanpa menghiraukan keselamatan diri dan sebagainya. Tujuan beliau dan rakan-rakannya menubuhkan persatuan yang bernama SHELL adalah untuk menarik kumpulan remaja yang menunggang motosikal yang ganas masuk ke dalam kumpulan mereka. Apabila remaja-remaja tersebut menjadi ahli kumpulan SHELL mereka terpaksa akur kepada peraturan dan disiplin persatuan.

Deruman enjin motosikal yang menyakiti telinga merupakan satu cara untuk mereka melepaskan perasaan kekecewaan resah dan gelisah. Reaksi remaja dalam perhimpunan tersebut dapat dilihat apabila mendengar enjin deruman motosikal.

Deruman enjin itu bagaikan membangkitkan semangat mereka untuk menyahut bunyi enjin tersebut. Apabila ditanya kenapa suasana begini berlaku mereka menjawab bahwa ini adalah salah satu cara untuk melepaskan perasaan kekecewaan, keresahan dan kegelisahan.

Mengikut pemimpin pergerakan SHELL, mereka tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan tidak menjawat jawatan tinggi. Kebanyakan ahli terdiri daripada kumpulan penganggur dan tidak mempunyai pekerjaan. Melalui pergerakan tersebut mereka boleh bantu membantu ahli-ahli mendapat pekerjaan dan mengatasi kesulitan kewangan dan permasalahan jiwa.

Mereka mahu bekerjasama sesama bangsa Melayu tanpa mengira parti politik. Mereka terlalu kecewa dengan sikap ahli-ahli politik Melayu yang memecah belahkan masyarakat Melayu. Melalui persatuan ini mereka dapat mengembalikan semangat dan jiwa Melayu seperti yang dilakukan oleh orang Melayu pada masa dahulu.

Tolong menolong dan bantu membantu tanpa mengira bayaran dan upahan. Mereka mempunyai minat dan jiwa yang sama, oleh itu mereka dapat merasai apa yang dihadapi oleh rakan-rakan dan ahli mereka.

Penulis juga menemu bual kumpulan pelumba motosikal haram yang ganas dan tidak terikat dengan pergerakan. Kumpulan ini melibatkan diri dalam kegiatan jenayah seperti mencuri dan sebagainya. Mereka gemar dikejar oleh polis kerana merasai begitu seronok dan megah.

Mereka melakukan hubungan seks secara haram, minum pelbagai jenis arak dan mengambil pelbagai jenis dadah. Menunjukkan adegan menunggang motosikal secara berbahaya juga amat menyeronokkan dan merasai diri mereka berada di litar perlumbaan yang ditonton oleh beribu orang penonton. Mereka melakukan aksi bahaya di jalan raya untuk keseronokan.

Ada rakan-rakan mereka ditangkap oleh polis. Hukuman penjara tidak memberi sebarang kesan kepada jiwa mereka. Keseronokan dan melepaskan perasaan gelisah dan kecewa dengan melakukan kegiatan lumba haram dan maksiat adalah perkara biasa bagi mereka.

Apabila diteliti kertas kaji selidik yang disebarkan kepada remaja-remaja itu, sama ada terlibat dalam pergerakan SHELL atau kumpulan ganas lain, kajian ini jelas menunjukkan bahawa mereka terdiri daripada golongan miskin di mana ibu bapa mereka tidak mempunyai pendidikan yang sempurna.

Mereka mempunyai adik beradik yang ramai di mana ibu bapa tidak mampu untuk menumpukan perhatian kepada kesemua anak-anak kerana terpaksa menumpukan perhatian kepada pencarian nafkah hidup.

Sistem pendidikan rendah dan menengah yang dilaksanakan oleh kerajaan juga menjadi bahan kritikan kepada golongan ini kerana sistem persekolahan lebih menumpukan perhatian kepada peperiksaan yang mana memberi lebih keutamaan kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik. Sedangkan pelajar-pelajar yang tidak mempunyai kebolehan dalam akademik diketepikan.

Suasana begini menyebabkan mereka menjadi bosan dan mahu mencari jalan untuk meluahkan kekecewaan dengan menyertai perlumbaan motosikal haram bersama rakan-rakan.
Ketika bersama dengan rakan-rakan yang mempunyai perasaan dan permasalahan yang sama, ia boleh menyebabkan mereka menjadi gembira dan seronok.

Pengalaman bersama kumpulan pelumba motosikal secara haram memberi banyak pengajaran kepada penulis bahawa perpecahan bangsa Melayu akibat perbezaan parti politik memberi kesan buruk kepada remaja yang dilahirkan dalam era perpecahan Melayu ini.

Perkara ini amat ketara di kawasan luar bandar apabila pemimpin parti-parti politik Melayu lebih menumpukan perhatian kepada kegiatan untuk mendapat ahli dalam parti politik dengan pelbagai cara tanpa melihat kesan positif dan negatif terhadap masyarakat dan remaja.

Suasana pergolakan parti-parti politik Melayu menyebabkan kurangnya kegiatan yang boleh membangkitkan semangat perpaduan dan pengisian jiwa yang boleh memantapkan akidah, syariah dan akhlak umat Islam. Syarahan dan ceramah-ceramah lebih menumpukan perhatian kepada pujian yang keterlaluan sehingga lupa bahawa pujian itu indah didengar tetapi pahit dilihat dan dirasai.

Ceramah-ceramah agama juga terlalu tertumpu kepada isu-isu parti politik sehingga terlupa bahawa dalam era globalisasi remaja terlalu dahagakan pengisian ilmu agama yang boleh membentuk jiwa dan pemikiran yang mantap bagi membentuk jati diri orang beriman.

Terlalu banyak kegiatan hiburan yang melalaikan secara terbuka di waktu malam sehingga ibu bapa sukar untuk mengawal pergerakan anak-anak mereka. Suasana begini tidak mungkin bagi ibu bapa dapat mengawal pergerakan anak-anak terutama bagi golongan yang miskin kerana keletihan mencari nafkah hidup dan kurang keselesaan tempat tinggal untuk menghalang anak-anak remaja daripada berkeliaran di waktu malam.

Kebanyakan daripada remaja yang terlibat dalam kegiatan lumba haram mengatakan ibu bapa mereka tidak mengetahui kegiatan mereka kerana mereka menipu berjumpa rakan dan seumpamanya.
Berdasarkan kepada kenyataan daripada pelumba motosikal haram maka para pemimpin politik Melayu perlu merenung kesilapan mereka dalam arena politik. Perbezaan parti politik di kalangan bangsa Melayu tidak sepatutnya memberi implikasi yang buruk kepada struktur kemasyarakatan umat Islam.

Kementerian Belia dan Sukan perlu menumpukan perhatian kepada belia-belia di kawasan luar bandar dan di kawasan-kawasan golongan miskin di bandar dengan mempergiatkan pelbagai aktiviti belia melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengelak sikap diskriminasi terhadap remaja.

Sering berlaku dalam masyarakat Melayu, jika program kerajaan dianjurkan melalui wakil-wakil rakyat dan jawatan kuasa kampung, remaja yang bukan daripada anak-anak ahli parti politik tersebut sering terpinggir.

Oleh itu ahli-ahli NGO patut menumpukan lebih perhatian kepada kebajikan secara menyeluruh kerana mereka tidak terikat kepada sebarang parti politik. Oleh itu program kerajaan dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat tanpa mengira parti politik.

Litar lumba motosikal perlu ditubuhkan di kawasan luar bandar supaya deruman enjin motosikal yang menghantui pemikiran peminat motosikal tidak membangkitkan kegelisahan dalam jiwa mereka sehingga tidak sedar diri ketika menunjukkan aksi di jalan raya.

Bakat kebolehan dan keberanian mereka perlu diasah secara profesional di tempat yang lebih selamat dan tidak mengganggu lalu lintas awam. Psikologi remaja perlu dikaji supaya remaja merasai diri mereka dihargai dan dikasihi secara adil.

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah perlu menumpukan perhatian dengan menggerakkan semua remaja menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi berkelompok dan memajukan tanah terbiar dengan kegiatan pertanian yang boleh memberi sumber rezeki kepada mereka yang menganggur.

Aktiviti ekonomi secara berkelompok bukan sahaja boleh meringankan beban remaja dan masyarakat luar bandar malah ia juga boleh memupukkan semangat kerjasama dan persaudaraan sesama rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. Ini juga merupakan satu aktiviti yang boleh menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Masyarakat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa mengawal pergerakan liar dan ganas di kalangan remaja supaya remaja dalam negara ini menumpukan perhatian kepada perkara yang boleh memberi kebaikan kepada diri mereka dan negara.

Kegiatan amar makruf dan nahi munkar (menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran) perlu ditanam dalam jiwa umat Islam supaya mereka merasai setiap remaja yang menghuni bumi Malaysia ini adalah tanggungjawab mereka.

Oleh itu usah menghina dan mengherdik remaja yang gelisah dan resah. Bantulah mereka dan pandulah mereka ke jalan yang benar. Sikap menghina dan mengherdik mereka diibaratkan seperti 'meludah ke langit akhirnya jatuh ke hidung sendiri' kerana mereka adalah anak-anak remaja sebangsa dan seagama.

(Dr. Saodah Abd. Rahman ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).