Friday, July 31, 2009

YASMIN BUKAN IKON 1MALAYSIA



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya terpanggil untuk memberi komen tentang cerita-cerita yang ditulis oleh beberapa blogger dan akhbar tentang kematian Yasmin @ Zulkifli Ahmad baru-baru ini.

Memang saya setuju dengan Nobisha dan Marina Mahathir supaya isu orang yang sudah meninggal dunia tidak diungkit-ungkit lagi. Dari segi adab sebagai seorang Islam memang kita tidak patut mengaibkan seseorang apa lagi yang sudah meniggal dunia.

Yang dulu, dululah. Sekarang, sekaranglah. Apapun, insaflah kita bahawa hidup ini rupa-rupanya tidak semudah yang disangka. Semua orang mengalami zaman sukar, ujian dan perubahan mengikut tahap yang telah ditentukan Allah SWT. Tidak kira bagaimana kita bermula, yang lebih penting ialah bagaimana kita berakhir.

Cuma yang menjadi musykil dalam fikiran saya ialah adanya tulisan dan pandangan tentang kononnya Yasmin Ahmad adalah ikon 1Malaysia (rujuk Kosmo dan Star sebelum ini). Dari perspektif apakah dia dijadikan ikon 1Malaysia?

Kalau hanya kerana filem-filem kontroversinya yang cuba memberikan mesej kewujudan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, itu belumlah cukup untuknya digelar ikon, apa lagi untuk dijadikan ikutan. Dia hanya seorang pengarah filem yang cuba berekspresi memaparkan realiti kehidupan masyakarat majmuk di negara kita. Walaupun ada beberapa fakta yang betul, namun tidak kurang juga fakta yang tidak tepat dan yang paling merisaukan ialah penonjilan gaya lakonan watak-watak yang melanggar tatasusila budaya Melayu. Apakah itu yang dimaksudkan dengan 1Malaysia. Nampaknya Marina Mahathir sangat keliru apabila berhujah dalam usaha membela Yasmin Ahmad.

1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan tidak ada kaitan langsung dengan perjungan persamaan gender dan penonjolan watak-watak lakonan yang kontroversi seumpama itu. Tolonglah jangan cemari konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB PM kita. 1Malaysia adalah berkaitan dengan usaha bersatu-padu berdasarkan prinsip-prinsip nilai aspirasi seperti rendah hati (tawadhu'), integriti, budaya ilmu, budaya kecemerlangan, penerimaan, kesederhanaan dan peningkatan taraf hidup rakyat.

1Malaysia adalah wahana atau alat bagi mencapai status negara maju, sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

Kalau ada pengarah dan penerbit filem yang ingin membawa mesej 1Malaysia, ia mestilah bersandarkan kepada nilai-nilai murni bagi membawa kemajuan, bukan nilai-nilai yang mencetuskan kontroversi.

Untuk Allahyarham Yasmin @ Zulkifli Ahmad, kita sedekahkan Al-Fatihah jua. Kita juga patut lahirkan pengarah-pengarah yang lbih hebat dan besar seperti Tan Sri P. Ramlee, Dato' Rahim Razali dan Jins Shamsuddin. Bagi saya, mereka lebih sesuai dianggap ikon filem 1Malaysia.

BAM AL-HAJ

Sunday, July 26, 2009

NASIB MELAYU DI BUMI SENDIRI


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya amat terharu dengan tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah dalam Mingguan Malaysia hari ini. Kesedaran yang dicetuskan oleh beliau amat tepat dan amat perlu dijadikan renungan orang Melayu.

Kalau kita masih tidak sedar, tunggulah 20 tahun lagi. Kita akan lihat sendiri orang Melayu kehilangan kuasa politik dan merempat di negara sendiri.

Saya harap para pemimpin dan cendekiawan Melayu tidak putus asa. Usahakanlah sesuatu supaya legasi umat Melayu ini tidak hilang ditelan kerakusan pihak-pihak yang berkepentingan. Sebagai orang biasa, saya fikir kita semua hendaklah memilih pemimpin yang benar-benar layak dan berintegriti. Usah gadaikan maruah bangsa dan agama.

Pemimpin Melayu pula janganlah sombong dan bongkak bila memegang kuasa. Ingatlah kuasa itu adalah amanah Allah SWT. Satu hari nanti jawatan itu akan ditarik jua.

Rakyat patut didahulukan, prestasi diutamakan!

BAM AL-HAJ

Di bawah ini saya lampirkan tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah untuk renungan bersama:

NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock.

Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini.

Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan.

Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini.

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah.

Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami.

Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.

Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah?

Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.

Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut.

Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina.

Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita?

Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam.

Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?

Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau.

Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

LOGIK

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini?

Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad.

Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad.

Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.

Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah.

Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.

Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit.

Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

Hantar komen anda mengenai artikel ini ke mingguan@utusan.com.my

Dr. Mohd Ridhuan Tee
Penulis ialah Pensyarah Kanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Friday, July 24, 2009

HARI JADI PM


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Semalam saya hadir ke Majlis Sambutan Ulangtahun Kelahiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri mohd. Najib Tun Razak yang ke-56.

Meriah sungguh. Lebih 3,000 penyokong beliau hadir. Kebanyakannya terdiri daripada para pemimpin UMNO dari seluruh Negara. Terdapat jgua beberapa orang bisnesman yang saya kenal dari dulu memang akan hadir mana-mana majlis seumpama itu.

Saya hadir kerana ikut serta rombongan NGAM (NGO Alliance for 1Malaysia) untuk menyampaikan sokongan kepada PM.

Terjumpa kawan lama, YB Ahmad Hj Maslan, Timbalan Menteri DI JPM. Beliau bersalam dengan saya agak lama. Tak tahulah sebab apa. Agaknya lama tak jumpa atau kerana tidak dapat membantu saya atas satu permintaan beberapa bulan lalu. Agaknyalah.

Sebelum itu saya bertemu beberapa orang rakan lama yang komplen tentang YB Ahmad Hj Maslan. Katanya, kenapalah Ahmad Hj Maslan ni susah sangat nak berurusan, terutama dengan kawan-kawan lama. Saya pun tidak ada jawaban untuk soalan sebegitu.

Sambil makan saya berbual-bual dengan beberapa kenalan. Kami dah sama-sama tak aktif politik. Sekadar melihat daripada jauh. Sesekali jika dipanggil, datang. Saya katakan pada dia nak jadi orang politik ni kena rajin tunjuk muka, bemuka-muka, muka selamba, tebal muka dan muka tak tahu malu. Dia mengiyakan.

Pada fikiran saya banyak lagi sifat yang diperlukan untuk jadi orang politik yang berjaya. Antaranya ialah:
Yes Boss
Sanggup buat apa saja
Hati kering
Musuh jadi kawan, kawan jadi musuh
Sanggup berkorban masa
Sentiasa manis mulut, depan cakap lain, belakang lain
Sanggup pijak kawa
Sanggup tukar "warna"
Sembunyikan prinsip dan cita-cita,
dan anda mungkin boleh tambah lagi. Semua sifat tu tak ada pada saya.

Anda nilailah diri sendiri. Kalau separuh pun sifat tu tak ada pada anda, eloklah jangan bercita-cita jadi orang politik.

Apapun, happy birthday kepada YAB PM. Semoga gagasan 1Malaysia yang menjadi wahana bagi mencapai Wawasan 2020 akan terus diterima rakyat.

BAM AL-HAJ

Wednesday, July 22, 2009

JOHOR BHARU YANG BARU



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hujung minggu baru ni (18 - 20 Julai 2009) saya bercuti ke JB. Sebenarnya tengahari 18 Julai tu ada kenduri sedara di Segamat. Dari situ kami sekeluarga langsung ke JB.

Destinasi pertama tentulah Danga Bay. Inilah pertama kali saya ke sana. Cantik dan hebat Danga Bay sebagai tempat tumpuan pelancong. Isteri sayalah yang sangat teruja, apa lagi dapat jumpa Ain, kembar Ekin isteri Mawi. Siap habis RM200 lebih beli tudung di butik ME World! Berposing berfoto jangan kiralah.

Jam sebelas kami ke hotel di JB. Tiba di area City Square untuk check in, saya lalu di lorong dekat Merlin Tower dekat hentian teksi. Alangkah terkejutnya kami apabila melihat sekumpulan lelaki berumur lebih 55 tahun sedang minum arak seenaknya. Siap senyum-senyum dan jeling kat kami dengan selambanya. Isteri saya kata mungkin orang luar kot. Orang Singapura kot.

Malam berikutnya kami ternampak pula sekumpuln anak muda minum arak di kawasan berhampiran. Mereka siap bergelak ketawa lagi tanpa pedulikan orang keliling. Saya mul terfikir adakah JB ni bebas buat begitu. Apakah tidak ada pemantauan dan penguatkuasaan dari JAIJ. Harap sesiapa yang rapat dengan jabatan agama Johor ambil tindakan yang sewajarnya.

Semalam terbaca berita warga Singapura kena denda minum arak di Kuantan. Itu tindakan yang betul. Jangan biar sesiapapun, termasuk warga luar yang beragama Islam buat sesuka hati. Ini negara Islam. Kita kena jaga imej Islam.

Percutian kami teruskan juga. Saya ke rumah sahabat lama, Ustaz Azmishah Suratman, pensyarah UTM. 4 jam sembang tak terasa. Dah lebih 20 tahun tak jumpa. Saya sengaja meninjau-ninjau situasi di JB, kot ada peluang kerja dan bisnes yang bagus. Memang bisnes hartanah dengna skil kecil mungkin berdaya maju. Tengoklah satu hari nanti jika diizinkan Tuhan saya dan keluarga mungkin akan hijrah ke JB...

Kemudian kami ke Tg. Piai, penghujung benua Asia paling selatan. Menarik juga walaupun arak jauh dari JB. Cuma masa balik tu ada road block sebelum Pekan Nanas. Jem panjang lebih 5km. Peliknya takde satu kereta pun yang ditahan polis. Kami siap berhenti makan kerana jem terlalu panjang. Kenapalah buat road block tak kena masa tu... Pelik sungguh.

Apapun, percutian di JB tetap menarik. Shopping di City Square dan Plaza Angsana pun cukup menarik. Murah dan banyak pilihan. Beribu juga kami habis shopping dan makan-makan. Saya bahagia kerana dapat membahagiakan isteri (satu cara untuk membahagiakan isteri ialah dengan memberikannya ruang secukupnya untuk membeli-belah!).

BAM AL-HAJ

Tuesday, July 14, 2009

PEMANSUHAN PPSMI WAJAR


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Syabas kepada TS Muhyiddin Yassin TPM merangkap Menteri Pelajaran atas pemansuhan PPSMI baru-baru ini. Walaupun ada yang membantah, majoriti rakyat menyokongnya.

Blog chedet (Tun Mahathir) yang menyetakan 80% daripada 26,000 response membantah pemansuhan PPSMI tidak menggambarkan suara sebenar rakyat. Kebanyakan yang membantah itu memanglah golongan kaya yang berpendidikan Inggeris. Mereka ni hanya fikir survival hidup sahaja, tanpa memikirkan jati diri bangsa dan masa depan Bahasa Melayu.

Ada juga yang kata "We are going backwards!". Bagi saya kita bukan balik ke belakang, tetapi "We are back to basic!", Kembali Kepada Asas/Fitrah. Balik ke pangkal jalan.

Ingatlah bahawa kebanyakan negara yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi gagal untuk menjadi negara maju. Kebanyakan negara maju tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti mereka. Lihatlah Jerman, Perancis, Israel dan Jepun sebagai contoh. Negara-negara itu maju kerana bahasa ibunda masing-maing digunakan di sekolah-sekolah dan universiti mereka.

Tahniah juga kepada TS Muhyiddin kerena membuat keputusan yang tegas dan beransur-ansur. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak terurai. Beliau nampaknya memahami kehendak majoriti rakyat dan berjaya meredakan kemarahan Tun Mahathir yang mempeolopori PPSMI.

Kematangan seperti inilah yang dituntut daripada seorang pemimpin, bukannya buat dasar tergesa-gesa, tanpa berbincang dan buat kajian menyeluruh.

Apapun, kepada Tun dan penyokongnya, saya tetap gembira kerana Bahasa Inggeris tidak diabaikan. Masa pembelajaran yang bertambah memungkinkan penguasaan penguasaan BI denan lebih baik. Yang penting motivasi kepada pelajar supaya meningkatkan usaha untuk menguasai BI dengan lebih gigih. Setuju sangat supaya English Day dan English Camp diwajibkan kepada semua pelajar diadakan sekali setiap tahun.

Langkah ini bagi saya sudah betul. We are in the right track! Teruskan perjalanan menuju sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri, merealisasikan Wawasan 2020, yang dipelopori sendiri oleh Tun Dr. Mahathir!

Hidup 1Malaysia!

BAM AL-HAJ

Tuesday, July 7, 2009

ALFATIHAH UTK MIKAEEL (MICHEAL JACKSON)


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Micheal Jackson, ikon dunia musik dunia yang terkenal dengan tarian moonwalk, menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Jun yang lalu.

Saya mengenalinya di kaca tv awal tahun 1970-an. Jackson's 5 ketika itu memang menjadi kegilaan remaja dan kanak-kanak. MJ kemudiannya menjadi penyanyi solo sehingga 750 juta albumnya terjual di seluruh dunia. Dia menjadi ikutan dan ikon dunia hiburan.

Dua tahun lalu dia diberitakan telah memeluk Islam di hadapan abangnya, Jermaine dan Yusuf Islam (Cat Steven). Dia memilih Mikaeel sebagai nama Islamnya. Cahaya hidayah mengakhiri tahun-tahun terakhir kehidupannya.

Di sebalik hidupnya yang dikatakan penuh kontroversi, dunia berbangga kerana beliau telah menggerakkan derma kebajikan 39 badan amal di seluruh dunia. Berjuta-juta dikumpulkan dan didermakan untuk warga dunia yang memerlukan. Dia menjadikan musik sebagai outlet untuk berbakti, menyebarkan aura kasih sayang dan semangat tolong-menolong di seluruh dunia.

Walau apapun tanggapan dunia, sebagai muslim kita hendaklah bersangka baik. Semoga rohnya dicucuri rahmat Ilahi. Daripada-nya kita datang, kepada-Nya kita akan kembali.

BAM AL-HAJ

Friday, July 3, 2009

BUDAYA MELAYU PERLU KAJIAN MENDALAM




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hujung minggu kali ini terdetik pula fikiran saya tentang beberapa trait budaya Melayu yang pada pandangan saya telah disalahtafsirkan.

Misalnya peribahasa "Seperti melepaskan batuk di tangga". Selama ini kita diajar maknanya sebagai mengerjakan sesuatu secara sambil lewa. Makna ini memang betul.

Yang perlu diperjelaskan semula ialah perkataan "batuk". Dr. Pisol Maidin (UiTM) pernah menjelaskan bahawa "batuk" yang dimaksudkan dalam peribahasa ini bukan batuk yang biasa kita fahami.

"Batuk" di sini merujuk kepada sejenis alat untuk menceduk air bagi mencuci kaki. Bukankah apabila kita "melepaskan" alat itu kita akan melakukannya secara lebih kurang saja, secara sambil lewa. Maka batuk yang dimaksudkan dalam peribahasa itu bukan perlakuan batuk (melibatkan mulut), tetapi "batuk" yang dilepaskan itu ialah sejenis alat penceduk air untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah (naik tangga rumah).

Saya berpendapat, tentulah ada lagi perkara-perkara lain yang selama ini ditafsirkan sedemikian.

Contohnya apabila seseorang itu bermimpi yang bukan-bukan (seperti dikejar harimau atau hantu), orang tua-tua kita kata bahawa itu adalah disebabkan kita tidak mencuci kaki sebelum tidur.

Apa kena mengena "mencuci kaki sebelum masuk tidur"?

Mungkinkah, yang dimaksudkan ialah mengambil wudhu' sebelum tidur yang disudahi dengan mencuci bahagian kaki?

Tentulah dengan mengambil wudhu' sebelum tidur, ia akan menjauhkan seseorang daripada syaitan. Bukankah mimpi adalah mainan tidur, yang sebahagian besarnya adalah permainan syaitan?

Pandangan ini lebih masuk akal, berbanding dengan sekadar membasuh kaki cara biasa-biasa.

Fikir-fikirkanlah...

Saya percaya sebahagian besar budaya Melayu adalah berasaskan Islam. Oleh itu, para sarjana perlulah memperbanyakkan kajian bagi membuktikannya.

BAM AL-HAJ

Thursday, July 2, 2009

LIBERALISASI FIC DAN PENUBUHAN EKUINAS: JANGAN GADAI BANGSA!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selepas beberapa bulan mengumumkan liberalisasi perkhidmatan, kini liberalisasi Garis Panduan Pelaburan (FIC) pula diumumkan oleh PM. Serentak dengan itu, penubuhan Equinas dengan modal RM500 juta.

Saya percaya PM tentulah mempunyai strategi tertentu bagi mengatasi masalah kegawatan ekonomi semasa. Keberanian ini nampaknya disambut dengan perasaan berbelah-bagi di kalangan orang ramai.

Yang kita faham, syarat 30% ekuiti bumiputera/Melayu nampaknya telah pupus. Yang menjadi tandatanya, apa akan jadi kepada kedudukan ekonomi Melayu?

Di Malaysia, nampaknya polisi-polisi baru tidak dibincangkan secara umum sebelum dilaksanakan. Hanya PM dan beberapa orang tertentu yang tahu. Harap-harap orang-orang tertentu itu memang pakar. Jangan jadi macam PPSMI, selepas 6 tahun dilaksanakan, barulah sedar kesan negatifnya.

Risau juga dengan tindakan-tindakan mengejut begini. Saya sokong kenyataan PERKASA supaya dasar liberalisasi ini mesti dilaksanakan dengan cara berhati-hati.

Sepatutnya dasar sebegini hanya dilaksanakan sesudah bumiputera/Melayu mencapai tahap ekuiti 30% di semua bidang.

Mungkin "the kampung boy" macam saya ni kurang mengerti tentang polisi-polisi ekonomi yang diumumkan itu. Semoga dasar baru ini dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Mungkin Ekuinas dapat memainkan peranan untuk melabur dalam firma antarabangsa yang datang ke negara kita sehingga dapat akhirnya ekuiti Melayu melebihi 30%.

Apapun, CeO dan pengurusan tertinggi GLC juga patut dipantau supaya mereka lebih patriotik dan mengutamakan pencapaian Melayu, bukan sekadar syok sendiri dan mengayakan diri dan kroni sendiri.

Apa yang penting, janganlah sampai anak-cucu kita nanti menuding jari kepada kita kerana kesilapan dasar/polisi yang kita buat sekarang.

BAM AL-HAJ

Di bawah ini disiarkan semula kenyataan PERKASA untuk renungan:

PERKASA MAHU LIBERALISASI TERPIMPIN

Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (perkasa) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak mengenai langkah meliberalisasikan garis panduan pelaburan (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas Berhad) dalam merasmikan Persidangan The Invest Malaysia 2009 pada 30 jun yang lalu.

Pengumuman itu penting sebagai garis panduan dasar baru yang adil, bagi manfaat semua untuk para pelabur dan pada masa yang sama memenuhi keperluan untuk instrumen efektif baharu bagi penyertaan Bumiputera.

PERKASA menganggap pengumuman tersebut sebagai langkah berani dan luar biasa dalam suasana krisis ekonomi global yang mengancam. Ini penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara untuk pengagihan pendapatan negara. Namun amatlah baik sekiranya langkah tersebut dibincangkan terlebih dahulu di kalangan usahawan-usahawan bumiputra.

PERKASA mengingatkan kerajaan agar liberalisasi terhadap kepentingan bumiputra wajar dilakukan secara berhati-hati dan berperingkat (progressive liberalisation) sesuai dengan peningkatan dan keupayaan kaum bumiputra bersaing dalam ekonomi domestik dan global. Ini selaras dengan semangat dasar ekonomi liberal yang terpimpin. (Guided Liberalisation).

Walaupun terkilan dengan penghapusan 30 peratus ekuiti bumiputra dalam penyenaraian Bursa saham, PERKASA meminta usaha menggantikan 30 peratus penyertaan ekuiti bumiputra dalam ekonomi makro di lakukan dengan bersungguh-sungguh serta melibatkan pengagihan ekuiti bumiputra yang bukan sahaja adil tetapi melibatkan seramai mungkin pengusaha bumiputra yang layak.

Pimpinan politik, pengurus korporat dan pegawai yang melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputra mestilah amanah, professional serta mempunyai keazaman yang tinggi terhadap pembelaan nasib bangsa yang tertinggal.

BNM dan MITI perlu sentiasa mengkaji dan memantau agar kesan perlaksanaan liberalisasi kewangan dan sektor perkhidmatan negara agar tidak berakhir dengan penguasaan Syarikat-syarikat Multi-Nasional global yang tidak mengindahkan kepentingan dan kebajikan ekuiti minoriti masyarakat Malaysia umumnya dan bumiputra khususnya.

Kerajaan perlu bertanggungjawab memelihara kepentingan bagi sektor strategik negara. Syarikat-syarikat dalam sektor ini perlu dilindungi melalui syarat ekuiti seperti yang dikehendaki dalam kawalseliaan setiap sektor seperti Komisi Tenaga, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Komisi Perkhidmatan Air Negara, Komisi Multimedia dan Komunikasi Negara dan lain-lain.

PERKASA mahukan agar pembangunan Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputra (BCIC) perlu diberikan tumpuan yang lebih berkesan dan bersungguh-sungguh. Ia harus diberikan keutamaan yang tinggi di bawah strategi penyusunan daripada pemilikan ekuiti.

Agensi seperti PNB dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SCDC) yang ditubuhkan harus mengambil strategi baru dan berkesan untuk menambah bilangan pengurus dan usahawan bumiputra untuk terlibat aktif dalam syarikat-syarikat di mana Bumiputra memiliki saham yang berkesan.

PERKASA mencadangkan agar satu lagi Kongeres Ekonomi Bumiputra diadakan bagi menilai pencapaian terdahulu serta menyediakan diri bagi menghadapi suasana ekonomi global yang lebih mencabar.

Yang benar,


Datuk Ibrahim Ali
Presiden,
Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Kuala Lumpur
2 Julai 2009

Wednesday, July 1, 2009

APA DAH JADI?


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pagi ini saya terkejut beruk. Puncanya isteri saya dapat satu surat. Isinya sekeping brochure bertajuk "WAT NATAWEE". Anda amatilah foto brochure di atas.

Saya mula geram kerana dua perkara. Pertama, orang bukan Islam sudah berani hantar risalah macam ini kepada umat Islam. Kedua, mereka guna nama Tok Guru.

Setahu saya Tok Guru ni yang guna hanya Nik Aziz dan Haji Hadi je di Malaysia ni (yang masih hidup la). Tiba-tiba seorang tukang telek nasib pun guna nama Tok Guru. Tak ke pelik bunyinya.

Saya terus telefon dan seorang Siam menjawab. Bila saya tanya siapa, dia kata "Ini Tok Guru". Saya cuba nasihatkan dia supaya tidak menghantar risalah macam ini kepada orang Islam. Saya kata saya akan report perkara ini kepada Jabatan Agama. Tau tak apa dia jawab? "Reprot la. Butuh lu la!" dan dia terus letak telefon.

Geram bertambahlah geram. Dalam kepala saya apa dah jadi dengan negara ini? Macam-macam benda pelik berlaku sejak akhir-akhir ini.

Orang bukan Islam dah berani buat macam-macam. Mula dengan tak hormat Raja Melayu, sekarang dah berani hantar bahan-bahan karut macam ini kepada umat Islam (Tak kanlah mereka tak kenal nama orang Melayu-Islam).

Saya harap JAKIM siasat benda-benda macam ini. Jika dibiarkan, perlakuan kurang ajar ini akan berleluasa. Satu hari nanti mungkin akan ada "pendakyah" agama lain secara terang-terangan mempromosikan agama mereka kepada umat Islam. Saya akan hantar risalah ini kepada Ketua Pengarah JAKIM secepat mungkin.

Apakah sikap "berani" mereka ini disebabkan Melayu lemah dan berpecah-belah? Atau ada sebab-sebab lain?

Yang saya terasa sangat ialah sikap mereka yang cukup berani mempersendakan umat Islam.

Para pendakwah, tokoh agama, pegawai jabatan agama dan pemimpin, tolonglah ambil tindakan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini. Jangan nanti nasi dah jadi bubur baru kita nak ambil tindakan.

Bagi saya, sebarang kelakuan atau perbuatan yang mencemar dan mencabar maruah agama Islam.

BAM AL-HAJ