Thursday, July 2, 2009

LIBERALISASI FIC DAN PENUBUHAN EKUINAS: JANGAN GADAI BANGSA!


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Selepas beberapa bulan mengumumkan liberalisasi perkhidmatan, kini liberalisasi Garis Panduan Pelaburan (FIC) pula diumumkan oleh PM. Serentak dengan itu, penubuhan Equinas dengan modal RM500 juta.

Saya percaya PM tentulah mempunyai strategi tertentu bagi mengatasi masalah kegawatan ekonomi semasa. Keberanian ini nampaknya disambut dengan perasaan berbelah-bagi di kalangan orang ramai.

Yang kita faham, syarat 30% ekuiti bumiputera/Melayu nampaknya telah pupus. Yang menjadi tandatanya, apa akan jadi kepada kedudukan ekonomi Melayu?

Di Malaysia, nampaknya polisi-polisi baru tidak dibincangkan secara umum sebelum dilaksanakan. Hanya PM dan beberapa orang tertentu yang tahu. Harap-harap orang-orang tertentu itu memang pakar. Jangan jadi macam PPSMI, selepas 6 tahun dilaksanakan, barulah sedar kesan negatifnya.

Risau juga dengan tindakan-tindakan mengejut begini. Saya sokong kenyataan PERKASA supaya dasar liberalisasi ini mesti dilaksanakan dengan cara berhati-hati.

Sepatutnya dasar sebegini hanya dilaksanakan sesudah bumiputera/Melayu mencapai tahap ekuiti 30% di semua bidang.

Mungkin "the kampung boy" macam saya ni kurang mengerti tentang polisi-polisi ekonomi yang diumumkan itu. Semoga dasar baru ini dapat mencapai objektif yang diharapkan.

Mungkin Ekuinas dapat memainkan peranan untuk melabur dalam firma antarabangsa yang datang ke negara kita sehingga dapat akhirnya ekuiti Melayu melebihi 30%.

Apapun, CeO dan pengurusan tertinggi GLC juga patut dipantau supaya mereka lebih patriotik dan mengutamakan pencapaian Melayu, bukan sekadar syok sendiri dan mengayakan diri dan kroni sendiri.

Apa yang penting, janganlah sampai anak-cucu kita nanti menuding jari kepada kita kerana kesilapan dasar/polisi yang kita buat sekarang.

BAM AL-HAJ

Di bawah ini disiarkan semula kenyataan PERKASA untuk renungan:

PERKASA MAHU LIBERALISASI TERPIMPIN

Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (perkasa) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak mengenai langkah meliberalisasikan garis panduan pelaburan (FIC) dan penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas Berhad) dalam merasmikan Persidangan The Invest Malaysia 2009 pada 30 jun yang lalu.

Pengumuman itu penting sebagai garis panduan dasar baru yang adil, bagi manfaat semua untuk para pelabur dan pada masa yang sama memenuhi keperluan untuk instrumen efektif baharu bagi penyertaan Bumiputera.

PERKASA menganggap pengumuman tersebut sebagai langkah berani dan luar biasa dalam suasana krisis ekonomi global yang mengancam. Ini penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara untuk pengagihan pendapatan negara. Namun amatlah baik sekiranya langkah tersebut dibincangkan terlebih dahulu di kalangan usahawan-usahawan bumiputra.

PERKASA mengingatkan kerajaan agar liberalisasi terhadap kepentingan bumiputra wajar dilakukan secara berhati-hati dan berperingkat (progressive liberalisation) sesuai dengan peningkatan dan keupayaan kaum bumiputra bersaing dalam ekonomi domestik dan global. Ini selaras dengan semangat dasar ekonomi liberal yang terpimpin. (Guided Liberalisation).

Walaupun terkilan dengan penghapusan 30 peratus ekuiti bumiputra dalam penyenaraian Bursa saham, PERKASA meminta usaha menggantikan 30 peratus penyertaan ekuiti bumiputra dalam ekonomi makro di lakukan dengan bersungguh-sungguh serta melibatkan pengagihan ekuiti bumiputra yang bukan sahaja adil tetapi melibatkan seramai mungkin pengusaha bumiputra yang layak.

Pimpinan politik, pengurus korporat dan pegawai yang melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputra mestilah amanah, professional serta mempunyai keazaman yang tinggi terhadap pembelaan nasib bangsa yang tertinggal.

BNM dan MITI perlu sentiasa mengkaji dan memantau agar kesan perlaksanaan liberalisasi kewangan dan sektor perkhidmatan negara agar tidak berakhir dengan penguasaan Syarikat-syarikat Multi-Nasional global yang tidak mengindahkan kepentingan dan kebajikan ekuiti minoriti masyarakat Malaysia umumnya dan bumiputra khususnya.

Kerajaan perlu bertanggungjawab memelihara kepentingan bagi sektor strategik negara. Syarikat-syarikat dalam sektor ini perlu dilindungi melalui syarat ekuiti seperti yang dikehendaki dalam kawalseliaan setiap sektor seperti Komisi Tenaga, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, Komisi Perkhidmatan Air Negara, Komisi Multimedia dan Komunikasi Negara dan lain-lain.

PERKASA mahukan agar pembangunan Masyarakat Perindustrian dan Perdagangan Bumiputra (BCIC) perlu diberikan tumpuan yang lebih berkesan dan bersungguh-sungguh. Ia harus diberikan keutamaan yang tinggi di bawah strategi penyusunan daripada pemilikan ekuiti.

Agensi seperti PNB dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SCDC) yang ditubuhkan harus mengambil strategi baru dan berkesan untuk menambah bilangan pengurus dan usahawan bumiputra untuk terlibat aktif dalam syarikat-syarikat di mana Bumiputra memiliki saham yang berkesan.

PERKASA mencadangkan agar satu lagi Kongeres Ekonomi Bumiputra diadakan bagi menilai pencapaian terdahulu serta menyediakan diri bagi menghadapi suasana ekonomi global yang lebih mencabar.

Yang benar,


Datuk Ibrahim Ali
Presiden,
Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)
Kuala Lumpur
2 Julai 2009

No comments: