Friday, July 3, 2009

BUDAYA MELAYU PERLU KAJIAN MENDALAM




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hujung minggu kali ini terdetik pula fikiran saya tentang beberapa trait budaya Melayu yang pada pandangan saya telah disalahtafsirkan.

Misalnya peribahasa "Seperti melepaskan batuk di tangga". Selama ini kita diajar maknanya sebagai mengerjakan sesuatu secara sambil lewa. Makna ini memang betul.

Yang perlu diperjelaskan semula ialah perkataan "batuk". Dr. Pisol Maidin (UiTM) pernah menjelaskan bahawa "batuk" yang dimaksudkan dalam peribahasa ini bukan batuk yang biasa kita fahami.

"Batuk" di sini merujuk kepada sejenis alat untuk menceduk air bagi mencuci kaki. Bukankah apabila kita "melepaskan" alat itu kita akan melakukannya secara lebih kurang saja, secara sambil lewa. Maka batuk yang dimaksudkan dalam peribahasa itu bukan perlakuan batuk (melibatkan mulut), tetapi "batuk" yang dilepaskan itu ialah sejenis alat penceduk air untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah (naik tangga rumah).

Saya berpendapat, tentulah ada lagi perkara-perkara lain yang selama ini ditafsirkan sedemikian.

Contohnya apabila seseorang itu bermimpi yang bukan-bukan (seperti dikejar harimau atau hantu), orang tua-tua kita kata bahawa itu adalah disebabkan kita tidak mencuci kaki sebelum tidur.

Apa kena mengena "mencuci kaki sebelum masuk tidur"?

Mungkinkah, yang dimaksudkan ialah mengambil wudhu' sebelum tidur yang disudahi dengan mencuci bahagian kaki?

Tentulah dengan mengambil wudhu' sebelum tidur, ia akan menjauhkan seseorang daripada syaitan. Bukankah mimpi adalah mainan tidur, yang sebahagian besarnya adalah permainan syaitan?

Pandangan ini lebih masuk akal, berbanding dengan sekadar membasuh kaki cara biasa-biasa.

Fikir-fikirkanlah...

Saya percaya sebahagian besar budaya Melayu adalah berasaskan Islam. Oleh itu, para sarjana perlulah memperbanyakkan kajian bagi membuktikannya.

BAM AL-HAJ

No comments: