Friday, July 31, 2009

YASMIN BUKAN IKON 1MALAYSIA



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya terpanggil untuk memberi komen tentang cerita-cerita yang ditulis oleh beberapa blogger dan akhbar tentang kematian Yasmin @ Zulkifli Ahmad baru-baru ini.

Memang saya setuju dengan Nobisha dan Marina Mahathir supaya isu orang yang sudah meninggal dunia tidak diungkit-ungkit lagi. Dari segi adab sebagai seorang Islam memang kita tidak patut mengaibkan seseorang apa lagi yang sudah meniggal dunia.

Yang dulu, dululah. Sekarang, sekaranglah. Apapun, insaflah kita bahawa hidup ini rupa-rupanya tidak semudah yang disangka. Semua orang mengalami zaman sukar, ujian dan perubahan mengikut tahap yang telah ditentukan Allah SWT. Tidak kira bagaimana kita bermula, yang lebih penting ialah bagaimana kita berakhir.

Cuma yang menjadi musykil dalam fikiran saya ialah adanya tulisan dan pandangan tentang kononnya Yasmin Ahmad adalah ikon 1Malaysia (rujuk Kosmo dan Star sebelum ini). Dari perspektif apakah dia dijadikan ikon 1Malaysia?

Kalau hanya kerana filem-filem kontroversinya yang cuba memberikan mesej kewujudan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, itu belumlah cukup untuknya digelar ikon, apa lagi untuk dijadikan ikutan. Dia hanya seorang pengarah filem yang cuba berekspresi memaparkan realiti kehidupan masyakarat majmuk di negara kita. Walaupun ada beberapa fakta yang betul, namun tidak kurang juga fakta yang tidak tepat dan yang paling merisaukan ialah penonjilan gaya lakonan watak-watak yang melanggar tatasusila budaya Melayu. Apakah itu yang dimaksudkan dengan 1Malaysia. Nampaknya Marina Mahathir sangat keliru apabila berhujah dalam usaha membela Yasmin Ahmad.

1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan tidak ada kaitan langsung dengan perjungan persamaan gender dan penonjolan watak-watak lakonan yang kontroversi seumpama itu. Tolonglah jangan cemari konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh YAB PM kita. 1Malaysia adalah berkaitan dengan usaha bersatu-padu berdasarkan prinsip-prinsip nilai aspirasi seperti rendah hati (tawadhu'), integriti, budaya ilmu, budaya kecemerlangan, penerimaan, kesederhanaan dan peningkatan taraf hidup rakyat.

1Malaysia adalah wahana atau alat bagi mencapai status negara maju, sebagaimana yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.

Kalau ada pengarah dan penerbit filem yang ingin membawa mesej 1Malaysia, ia mestilah bersandarkan kepada nilai-nilai murni bagi membawa kemajuan, bukan nilai-nilai yang mencetuskan kontroversi.

Untuk Allahyarham Yasmin @ Zulkifli Ahmad, kita sedekahkan Al-Fatihah jua. Kita juga patut lahirkan pengarah-pengarah yang lbih hebat dan besar seperti Tan Sri P. Ramlee, Dato' Rahim Razali dan Jins Shamsuddin. Bagi saya, mereka lebih sesuai dianggap ikon filem 1Malaysia.

BAM AL-HAJ

No comments: