Tuesday, September 8, 2009

ISU PERPINDAHAN KUIL SEKSYEN 19 KE SEKSYEN 23


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya membaca semua akhbar dan kebanyakan web rasmi, baik BN mahupun PR. Dalam isu ini saya berpendapat semua pihak harus rasional dan berpihak kepada kebenaran, berpegang kepada semangat muhibbah.

Bertindak melulu, mengarak dan memijak kepala lembu sudah menjadi sesuatu yang sensitif dan keterlaluan. Saya lihat semacam ada dalang di sebalik semua ini. Setelah membaca penjelasan rasmi kerajaan negeri Selangor, saya berpendapat isu ini sepatutnya sudah selesai.

Tidak perlulah mana-mana pihak cuba menangguk di air keruh. Pihak media pula tidak sepatutnya memperbesar-besarkan isu ini, seolah-olah "langit dah nak runtuh". Permainan media arus perdana dalam isu ini amat berbahaya dan dikesalkan. Kenapa ada akhbar sampai sanggup mengapi-apikan isu ini. Jika meletus pergaduhan kaum dan agama, siapa yang susah?

Memang kaum India-penganut Hindu tidak ramai. Memindahkan kuil ke seksyen 23, apa lagi dalam jarak kira-kira 400 - 500 meter bagi saya adalah wajar. Meletakkan sebuah kuil bagi dikongsi oleh penduduk India yang beragama Hindu bagi seksyen 19, 20 dan 23memang wajar dan tiada salahnya.

Mungkin sebahagian kita sedar tentang fakta kuil Hindu yang begitu banyak. Di Selangor yang mempunyai penduduk 4.8 juta orang, hanya terdapat 259 masjid dan 939 surau bagi penduduk Melayu-Islam yang berjumlah 2.5 juta. Nisbah penduduk Islam dan masjid/surau ialah 1:2,086.

Sebagai perbandingan, penduduk India-Hindu yang cuma berjumlah 647,000 orang mempunyai 810 kuil. Nisbahnya ialah 1:798. Orang Cina pula mempunyai 1,015 tokong bagi 1.3 juta orang, dengan nisbah 1:1,280.

Sebagai penganut Islam, kita memang telah diperingatkan Allah dalam Firman-Nya dalam surah AL-An'am: 108: " Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan".

Umat Islam kenalah mempamerkan "jiwa besar" mereka dengan tidak bertindak melulu dan mencetuskan provokasi yang melampau. Tindakan sebegitu akan mencetuskan huru-hara dan pergaduhan kaum dan agama kerana biasanya maklumat dan fakta sebenar tidak sampai kepada semua.

Saya cukup faham toleransi beragama yang ditunjukkan oleh kaum India di negara ini. Memanglah bagi sesetengah penganut agama lain, azan yang dikumandangkan setiap masuk waktu mungkin menyebabkan mereka tidak selesa. Bagaimanapun, ada juga yang suka azan subuh kerana bagi mereka bunyi azan itu mengejutkan mereka dari tidur dan memudahkan mereka bersiap untuk bekerja dan menyediakan anak-anak ke sekolah di awal waktu.

Sayapun kerapkali tidak selesa dengan bunyi-bunyian yang kuat setiap kali ada majlis perkahwinan dan perayaan agama Hindu. Tetapi semua itu sudah kita fahami dan lalui sekian lama. Tiada apa yang pelik dan janggal kerana kita memang tinggal dalam negara berbilang kaum dan agama. Inilah namanya toleransi dan semangat perpaduan, muhibbah dan hidup berjiran dalam negara berbilang kaum, agama dan budaya.

Bagi saya, isu ini sepatutnya tidak timbul. Kita memang boleh menyuarakan pendapat dan bantahan, tetapi biarlah dalam keadaan rasional, tenang dan bertujuan (nawaitu) untuk mencari penyelesaian. Bukannya untuk tujuan politik tertentu.

Kita tidak sepatutnya menggadaikan prinsip perpaduan dan toleransi yang sudah wujud hanya kerana sentimen yang sengaja diapi-apikan oleh segelintir orang yang memang ada agenda. Kita tidak sepatutnya bertolak ansur terhadap anasir yang cuba menggugat perpaduan kaum di negara ini.

Ingatlah: "Barangsiapa yang membuat keputusan dan tindakan dalam keadaan emosi yang tidak stabil, selalunya keputusan dan tindakan kita itu salah".

Bukan IQ atau kecerdasan intelek sahaja yang perlu tinggi, tetapi juga kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual (SQ). Sebagai orang dewasa kita sepatutnya menunjukkan contoh teladan terbaik kepada anak-anak kita.

Kita harus ingat apa akan jadi kepada generasi akan datang sekiranya api perkauman dan faham ekstrem agama dipertajamkan. Sudahlah anak-anak kita membesar dalam senario pendidikan yang berbeza, senario kehidupan di sekeliling mereka pula begitu.

Ingatlah, masa depan anak-anak kita di tangan kita yang dewasa hari ini. Usahlah kita bermain api, kelak anak-anak kita akan bermain senjata api.

Jalan penyesaian jangka panjang perlu dirangka. Sistem persekolahan yang terpisah-pisah kini perlu dikaji semula. Parti-parti politik tidak seharusnya bermain dengan isu kaum dan sentimen agama. Jalan terbaik adalah syura - musyawwarah - berunding dan berunding. Bersabar dan bersabar. Bukan emosi dan provokasi.

Saya yakin isu ini boleh diselesaikan secara adil dan saksama. Orang India-Hindu juga patut memahami hati-budi orang Melayu. Orang Melayu-Islam juga patut memahami hati-budi orang India. Kita hidup berjiran dan berdekatan. Fahamilah dan berlaku adillah. Malaysia boleh!

BAM AL-HAJ

No comments: