Tuesday, December 30, 2008

MODUL RESQ561 – BACK TO BASIC:
ASAS PEMIKIRAN


Kebanyakan pendekatan program motivasi menumpu kepada soal pembangunan mental (kognitif) dan kemahiran (psiko-motor). Asas atau kerangka pemikiran pendekatan ini bertumpu kepada pendedahan tentang cara-cara meningkatkan kecerdasan intelek dan perubahan sikap secara umum.

Kesan program itu tidak dapat bertahan lama. Setelah beberapa minggu, kebanyakan peserta akan kembali kepada tingkahlaku atau tabiat lama, khususnya akibat pengaruh persekitaran keluarga dan sosial yang begitu kuat. Hanya beberapa pencapaian dapat dilihat dengan jelas, selebihnya tetap tidak berubah.

Akhir-akhir ini memang terdapat pendekatan baru yang memasukkan elemen-elemen baru, iaitu aspek emosi (afektif) dan nilai-nilai murni (spiritual). Walaupun pendekatan ini agak berkesan, kerana menekankan unsur-unsur ajaran agama, namun pendekatan tersebut masih bersifat terpisah atau sekadar pelengkap kepada modul atau pendekatan induk.

Sesungguhnya, manusia tidak dapat lari daripada masalah kehidupan. Pengalaman hidup tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain, begitu juga antara sebuah bangsa dengan bangsa yang lain, antara suatu zaman dengan zaman yang lain. Dan oleh itu, tentulah pendekatan program motivasi dan latihan perubahan sikap juga memerlukan pendekatan yang berbeza.

Bagaimanapun, oleh kerana esensi dan unsur kejadian manusia adalah sama sepanjang zaman, satu pendekatan atau modul induk yang menyeluruh, yang menyentuh kesemua unsur asas kejadian manusia amat diperlukan.

Manusia mempunyai empat dimensi atau fakulti kecerdasan yang dapat diukur secara sederhana. Keempat-empat fakulti itu ialah fakulti kecerdasan intelek atau Intellegent Quotient (IQ), kecerdasan emosi atau Emotional Intelligent (EQ), kecerdasan kerohanian/spiritual atau Spiritual Intelligent (SQ) dan kecerdasan jasmani/fizikal atau Physical Quotient (PQ).

Kecerdasan Intelek (IQ) dikaitkan dengan keupayaan dan kemampuan berfikir dan memahami sesuatu menggunakan otak kiri dan otak kanan yang terletak di neocortex. Pada tahun 1905, Alfred Binet menemukan kaedah mengukur kecerdasan intelek seseorang dengan menganggap markah 100 sebagai penanda arasnya. Sesiapa yang mendapat skor melebihi 100 dianggap tinggi IQnya.

Para pendokong teori ini kemudiannya menubuhkan persatuan sendiri. Di Malaysia, ia dikenali sebagai Mensa. Tony Buzan menjadikan pendekatan Mind Maping sebagai suatu modul bagi meningkatkan kecerdasan intelek seseorang.

Sumbangan pendekatan ini bukan sedikit. Mereka mempromosikan bahawa IQlah satu-satunya kayu ukur bagi menentukan kejayaan dan kebahagiaan hidup manusia. Sesiapa yang tinggi IQnya sahaja yang layak memasuki universiti dan kelak akan tampil sebagai seorang yang berjaya dalam kehidupan. Hampir seluruh dunia menggunakan teori ini.

Namun, ahli-ahli psikologi menemukan bahawa IQ bukanlah satu-satunya penentu dan penyebab kejayaan seseorang atau sesebuah masyarakat. Banyak jutawan dan orang-orang yang hidup cemerlang dan tersohor di dunia dulu dan kini tidak semestinya mempunyai IQ 100 atau lulusan PhD atau berjawatan Professor di universiti. Mereka mungkin sekadar lulusan sekolah menengah biasa yang IQnya biasa-biasa sahaja, tetapi mampu mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.

Bill Gates, Lim Goh Tong dan Syed Mokhtar al-Bukhari, sekadar mengambil contoh beberapa nama, ternyata termasuk dalam kategori ini. Walaupun bukan berpendidikan tinggi, mereka tetap berjaya dalam kehidupan. Anehnya, tidak seperti kebanyakan orang kaya, mereka bukan sahaja berjaya mengumpul kekayaan, tetapi kemudian mendermakan sebahagian besar kekayaan yang diperolehi kepada orang lain yang memerlukan.

Penemuan tiga ukuran kecerdasan berikutnya melengkapkan ukuran kecerdasan manusia. Kecerdasan Emosi atau Emotional Intelligent (EQ) ditemui sebagai fungsi otak yang mengawal emosi manusia, yang terletak di limbic system. Fungsi EQ adalah mengawal mood dan perasaan manusia ketika berhubung dengan orang lain, sehingga mampu mewujudkan kestabilan emosi ketika berhadapan dengan sesuatu. Ia juga dikenali sebagai kecerdasan sosial atau Social Quotient.

Bagi orang yang stabil emosinya, ia sentiasa tenang dan tabah dalam menghadapi sesuatu masalah, halangan dan cabaran. Orang begini dikatakan mencapai tahap kematangan dan tidak bertindak di luar kawalan atau melampaui batas-batas undang-undang atau norma masyarakat atau ajaran agama.

Kecerdasan Emosi atau EQ kini dianggap penting khususnya dalam konteks pengurusan organisasi. Kerena kecerdasan emosi kakitangan sesebuah organisasi yang tinggilah maka imej korporat organisasi itu. Perkhidmatan kaunter memerlukan kakitangan yang tinggi kecerdasan emosinya apabila berhadapan dengan karenah pelanggan.

Pekerja yang sentiasa senyum ketika melayani pelanggan adalah contoh kepentingan EQ yang paling mudah. Sekiranya kakitangan perkhidmatan kaunter tidak mempunyai EQ yang tinggi, mereka mesti diberikan kursus tertentu bagi membaiki imej korporat sesebuah organisasi.

Pada hakikatnya, EQ adalah ukuran kekuatan hubungan manusia dengan manusia (Habluminannas). Seseorang yang tinggi EQnya mempunyai kemahiran mengurus emosi diri sendiri, emosi orang lain dan emosi kumpulan sehingga lahir keupayaan untuk berinteraksi dan membuat keputusan yang terbaik, tanpa dipengaruhi perasaan. Semua peringkat sangat memerlukan kecerdasan emosi atau kecerdasan sosial agar jalan kehidupannya sentiasa berada dalam keadaan harmoni, tenang, mesra dan pernuh dengan semangat toleransi dan saling tolong-menolong demi kebaikan bersama.

Lebih daripada itu, semua kakitangan daripada peringkat paling atas hingga ke peringkat paling bawah memerlukan kecerdasan emosi yang tinggi supaya imej korporat sesebuah organisasi dipandang tinggi, dan dengan itu akan meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan, dan dengan itu akan mengukuhkan lagi kepercayaan orang ramai terhadapnya.

Kecerdasan Rohani/Spiritual atau Spiritual Intelligent (SQ) pula berkaitan dengan nilai-nilai murni yang bersumberkan ajaran agama. Kecerdasan Spiritual adalah keupayaan dan kemampuan untuk membuat keputusan dan bertindak mengikut peraturan dan undang-undang, serta berpegang kepada prinsip-prinsip nilai, tanpa mementingkan diri sendiri.

Pada hakikatnya, SQ adalah ukuran kekuatan hubungan manusia dengan Tuhan (Habluminallah). Seseorang yang tinggi SQnya akan sentiasa berpegang kepada prinsip kebenaran, keadilan dan berpegang kepada sifat amanah. Semua peringkat juga memerlukan kecerdasan spiritual agar jalan kehidupannya sentiasa berada dalam landasan yang betul dan benar, tanpa mengira masa dan tempat.

Kecerdasan spiritual dapat dizahirkan melalui Kesedaran Ketuhanan (God Consciousness). Kesedaran Ketuhanan yang paling tinggi adalah kesedaran tentang wujudnya Tuhan Pencipta Alam Semesta dan seluruh kehidupan, yang kepada-Nya manusia akan kembali pada Hari Akhirat, seperti Firman-Nya:

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal (ulul albab). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring, dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi lalu berkata, ‘Wahai Tuhan kami tidak Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, makapeliharalah kami daripada siksa api neraka’.” (Ali Imran: 190 – 191).

Dengan tingginya kecerdasan spiritual seseorang, ia tidak akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan peraturan, undang-undang dan nilai. Ia merupakan seorang yang amanah dan dapat dipercayai. Ia bukan sahaja akan meningkatkan integriti dirinya, tetapi juga integriti organisasi, bangsa dan negara yang diwakilinya.

Kecerdasan Fizikal atau Physical Quotient (PQ) adalah kesan daripada ketiga-tiga kecerdasan yang terdahulu. Dengan kata lain, PQ adalah manifestasi IQ, EQ dan SQ individu dalam bentuk keputusan, tingkahlaku dan kemahiran yang dimiliki dan diserlahkannya dalam kehidupan seharian.

Keempat-empat fakulti kecerdasan ini tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Ia bersifat menyeluruh dan sentiasa dimanifestasikan secara bersepadu. Individu yang hebat adalah orang yang seimbang keempat-empat fakulti kecerdasannya. Dengan kata lain, manusia yang hebat adalah manusia yang seimbang keempat-empat fakulti kecerdasannya – IQ, EQ, SQ dan PQnya. Ia bukan seorang yang tinggi pelajarannya atau IQnya semata-mata, tetapi rendah EQnya dan SQnya dalam ertikata selalu gagal mengawal mood dan perasaannya ketika di rumah atau di atas jalanraya mahupun ketika bekerja atau bergaul dalam masyarakat.

Oleh itu, pendekatan atau modul motivasi dan latihan perubahan sikap juga memerlukan pendekatan dan kaedah yang menyeluruh, sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Pendekatan yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia berkaitan langsung dengan kesedaran kehidupan beragama yang sarat dengan nilai.

Sesungguhnya, sebagai makhluk ciptaan Tuhan, manusia menduduki status hamba kepada Tuhan yang menciptanya. Pemahaman tentang status yang berbeza ini adalah yang diperlukan bagi membezakan peranan dan tanggungjawab manusia di dunia ini.

Sebagai Pencipta Yang Maha Berkuasa, Tuhan telah menciptakan alam dan bumi dengan segala kemudahannya untuk kehidupan manusia. Manusia pula diciptakan sebagai hamba yang perlu menurut segala peraturan yang telah ditetapkan. Kegagalan menuruti peraturan akan mengakibatkan sesuatu yang buruk berlaku dan menimpa kehidupan manusia itu sendiri.

Untuk meneruskan kelangsungan hidup, manusia diberikan tiga hadiah harijadi yang hebat, iaitu kebebasan untuk memilih, undang-undang semulajadi atau sunnah dan empat fakulti kecerdasan, iaitu IQ, EQ, SQ dan PQ. Keupayaan memahami dan kemampuan meningkatkan keempat-empat kecerdasan ini akan menentukan kejayaan dan tahap pencapaian hidup masing-masing.

Membangunkan keempat-empat fakulti kecerdasan ini memerlukan pendekatan atau modul yang menyeluruh yang kami jenamakan sebagai RESQ561 – BACK TO BASIC. RESQ adalah singkatan Repositioning Emotional and Spiritual Quotient; 5 adalah Rukun Islam, 6 adalah Rukun Iman dan 1 adalah Rukun Ihsan, berdasarkan hadith Nabi S.A.W. yang kedua dalam himpunan 40 hadith yang disusun oleh Imam Nawawi (Sila lihat bab Sumber Asasi dalam buku ini); manakala Back to Basic merukuk kepada konsep “Kembali Kepada Fitrah”.

Pembangunan Kecerdasan Menyeluruh yang kami namakan RESQ561 – Back to Basic adalah pendekatan atau modul yang dicadangkan untuk menyelesaikan masalah-masalah asas dalam masyarakat kini. Modul ini lebih lengkap dan sesuai berbanding dengan modul-modul biasa yang hanya menyentuh aspek-aspek tertentu secara terpisah.

Modul ini berasaskan sumber-sumber yang sahih tentang fitrah kejadian manusia. Pakar dan Mahaguru falsafah Pendidikan Islam semasa, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa kesedaran fitrah dan cetusan kehidupan beragama pada hakikatnya bermula sejak ruh berada dalam “Waktu Sebelum Perpisahan” (Time of Pre-Separation), iaitu ketika Tuhan mengumumkan kepada para malaikat bahawa Dia akan menciptakan khalifah di atas muka bumi. Al-Attas menjelaskan hal ini dengan memetik ayat 172 surah al-A’raf yang mengandung “perjanjian” antara Tuhan dan manusia:

“Dan ingatlah ketikan Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi (tulang punggung) mereka, dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Maka mereka menjawab: ‘Benar, kami bersaksi (bahawa Engkau adalah Tuhan kami)’…”.

Tubuh badan manusia hidup bernyawa kerana adanya ruh. Unsur ruh inilah yang memberikan fungsi “hidup” kepada diri manusia dalam bentuk jiwa (nafs), hati (qalb) dan intelek (‘aql) yang dapat diukur dalam bentuk kecerdasan. Al-Attas menjelaskan bahawa:

“Dengan demikian, ketika bergelut dengan sesuatu yang berkaitan dengan intelektual dan pemahaman, ia (iaitu ruh manusia) disebut “intelek”; ketika mengatur tubuh, ia disebut “jiwa’; ketika sedang mengalami pencerahan intuisi, ia disebut “hati”; dan ketika kembali ke dunianya yang abstrak, ia disebut “ruh”. Pada hakikatnya, ia selalu aktif memanifestasikan dirinya dalam keadaan-keadaan ini”.

Pembangunan kecerdasan secara menyeluruh diperlukan supaya lahir manusia yang seimbang. Kelahiran manusia yang seimbang inilah yang menepati model manusia yang unggul atau insan kamil (manusia sempurna). Ini bermakna, manusia unggul atau insan kamil bukanlah seorang individu yang tinggi IQnya tetapi rendah EQ atau SQnya.

Membangunkan kecerdasan menyeluruh memerlukan pendekatan yang juga menyeluruh, iaitu merangkumi keempat-empat fakluti kecerdasan manusia – IQ, EQ, SQ dan PQ. Pendekatan modul RESQ561 - Back to Basic menekankan aspek hubungan manusia dengan dirinya, manusia dengan manusia lain, manusia dengan alam dan yang lebih penting lagi ialah hubungan manusia dengan Tuhan.

Pendekatan ini akan menyentuh semua fakulti kecerdasan manusia secara bersepadu. Pada masa IQ seseorang diuji, EQ dan SQnya juga disentuh secara optimum. Pada masa yang sama PQnya juga akan dicabar dan digunakan secara optimum. Dengan itu, pendekatan yang bersepadu, bersifat maraton dan berterusan dilaksanakan secara bertahap dan berperingkat-peringkat.

Hubungan ini dapat diringkaskan sepada dua bentuk hubungan yang disebut di dalam al-Qur’an sebagai hablumminannas dan hablumminallah, iaitu hubungan sesama manusia dan hubungan manusia dengan Allah SWT. Keberkesanan hubungan manusia dengan manusia, dan keberkesanan hubungan manusia dengan Tuhan, dapat dilihat melalui keempat-empat kecerdasan – IQ, EQ, SQ dan PQ.

Secara ringkasnya, keberkesanan hubungan manusia dengan manusia dan alam semesta adalah berkaitan dengan IQ, EQ dan PQ, manakala hubungannya manusia dengan Tuhan adalah berkaitan dengan SQ. Manusia yang berjaya dan cemerlang ialah manusia yang baik dan berkesan hubungannya sesama manusia dan manusia baik dan berkesan hubungannya dengan Tuhan.

Keberkesanan hubungan manusia dengan manusia lain atau kecerdasan emosi, yang dalam istilah semasa dikenali sebagai komunikasi berkesan (effective communication) akan menghasilkan kejayaan hidup. Ini biasanya terserlah dalam bentuk kekayaan, kedudukan sosial dan pencapaian peribadi.

Manakala keberkesanan hubungan manusia dengan Tuhan akan menghasilkan kecemerlangan atau al-Ihsan (excellent)! Ia biasanya terserlah dalam bentuk keperibadian yang unggul, kepemimpinan yang abadi dan keberkesanan pengaruh positif kepada seluruh umat manusia.

Al-Ihsan dalam pengertian Islam bukan sekadar “kasihan belas” atau simpati, tetapi yang dimaksudkan “al-Ihsan” ialah cemerlang atau Itqan, iaitu apabila dalam melakukan sesuatu perkara, seseorang itu akan senantiasa menyedari kewujudan Tuhan atau God Consciousness. Hadith Nabi menerangkan al-Ihsan sebagai berikut:

“Ihsan ialah kita menyembah Allah seolah-olah kita melihat-Nya, jika tidak, Dia sentiasa melihat kita”. (Riwayat Muslim).

Ini bermakna, orang yang cemerlang tidak memerlukan pemantauan orang atasan ataupun kamera litar kerana dirinya sentiasa menyedari dirinya diawasi oleh Tuhan empunya dirinya!

Kedua-dua bentuk hubungan akan saling melengkapi dan saling mempengaruhi pembangunan diri manusia itu sendiri. Kaedah pembangunan kecerdasan ini memerlukan pendekatan Back to Basic atau Kembali Kepada Asas atau lebih tepat lagi Kembali Kepada Fitrah kejadian manusia itu sendiri.
UNTUK MENGIKUTI PROGRAM LATIHAN/KURSUS BAGI MODUL INI, SILA HUBUNGI SAYA DI NO 012-6210300 atau layari www.backtobasic-training.com.

No comments: