Tuesday, September 1, 2009

WASIAT RAJA DAN MERDEKA


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sejak akhir-akhir ini, kepemimpinan Melayu semakin rancak dibicarakan. Sejak PRU Ke-12 tahun 2008, kepemimpinan Melayu dikatakan semakin tergugat. Melayu dikatakan berpecah. Kuasa politik Melayu semakin lemah. Institusi Raja Melayu semakin tercabar. Tuduh-menuduh antara pemimpin BN dan PR semakin rancak.

Paling menarik apabila tujuh wasiat Raja-raja Melayu yang diisytiharkan semasa kemerdekaan 1957 dikeluarkan semula.

Wasiat Raja-Raja Melayu tersebut disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu dan adalah berikut:

"Kami wasiatkan kepada zuriat keturunan kami tujuh perkara yang mana jika kamu bersatu padu dan berpegang teguh kepadanya selama itulah kamu akan aman damai dan selamat sejahtera.

Tujuh perkara itu adalah:


Pertama - Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama MALAYSIA )

Kedua - Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain,

Ketiga - Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hakmilik kamu, kami telah tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara,

Keempat - Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini,

Kelima - Kami isytiharkan ISLAM ialah Agama Persekutuan,

Keenam - Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU, dan

Ketujuh - Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat (consensus) melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu.

Fasal-fasal tersebut adalah Perkara 3 (1), (2), (3) dan (5); Perkara 11; Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153; dan Perkara 181 (1). Fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis-Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan perlembagaan Parlimen dibenarkan berkuatkuasa.

Namun yang nyata Tanah Melayu kini dah jadi Malaysia. Islam masihlah agama Persekutuan. Bahaa Melayu dah jadi Bahasa Malaysia. Tanah rezab Melayu ada yang dah tergadai. Hak istimewa Melayu tidak lagi dipertahankan dengan bersungguh-sungguh. Syukurlah Regimen Askar Melayu masih utuh.

Ada pihak pula yang keluarkan 8 wasiat. Renungkanlah catatan di bawah:

Setelah Melaka kalah oleh Portugis kerajaan Melayu yang terkuat muncul di Acheh. Acheh turut menakluk Perak, Pahang dan Johor. Apabila Acheh menakluk negeri-negeri raja-raja dan pembesar-pembesarnya di bawa ke Acheh.

Ketika waris Sultan Melaka yang bersemanyam di Johor ditewaskan oleh Acheh sultan dan pembesar-pembesarnya di bawa ke Acheh. Antara yang dibawa ke sana adalah bendahara Tun Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang, pengarang Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Kesultanan Melayu Acheh berada dikemuncaknya di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Ratu Elizabeth I mengirimkan perutusannya kepada Sultan Acheh melalui Sir James Lanceister. Acheh juga melakukan hubungan diplomatik dengan Turki dan Perancis.

Acheh juga mencipta revolusi pemikiran dan bahasa Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa pengucapan seni dan falsafah melalui pemikir seperti Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Dari segi aspek agama, pemikiran falsafah dan kemajuan bahasa Melayu Acheh jauh mengatasi apa yang dicapai oleh Melaka.

Setelah menakluki Pahang Sultan Iskandar Muda membawa putera sultan Pahang ke Acheh. Putera tersebut diberikan pendidikan di Acheh, dikahwin dengan puteri baginda dan dilatik sebagai pengganti yang dikenali sebagai Sultan Iskandar Thani.

Hamka dalam Dari Perbendaharaan Lama mencatitkan wasiat Sultan Iskandar Muda kepada penggantinya. Berikut adalah wasiat raja tersebut:

"... dan lagi Raja-raja hendaklah mengamalkan 8 perkara. Pertama, hendaklah selalu ingat akan Allah dan meneguhi janji dengan sekalian Wazir-wazir dan Menteri Hulubalang dan sekalian pegawai dan dengan sekalian rakyat.

Kedua, janganlah Raja-raja menghinakan Alim-Ulama dan yang ahli akal bijaksana.

Ketiga, segala yang datang dari pihak musuh daripada seterunya jangan sekali-kali raja percaya.

Keempat, hendaklah raja memperbanyak alat senjata dan membeli kesayangan rakyat dan wazir Sipahi (tentera), supaya jauhlah musuh raja, sebab ada yang menghalaukan dengan sayang.

Kelima, hendaklah raja menurun tangan, yakni murah. Hendaklah mengingat kesetiaan rakyat, wazir dan Alim-Ulama dan sekalian Sipahi dengan membalas jasanya masing-masing dengan tertib.

Keenam, hendaklah raja menjalankan hukum dengan hukum Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Iaitu seperti yang telah tetap di dalam Qanun Al-Asyi Darussalam; Pertama Al-Qur'an, Kedua Al-Hadis, ketiga Ijma', keempat Qias, maka... keluar daripada itu pun empat perkara: Pertama hukum, kedua adat, ketiga qanun, keempat resam.

Ketujuh, janganlah raja-raja itu duduk dengan orang yang jahat budi dan jahil.

Kedelapan, hendaklah raja-raja itu memeliharakan hati orang yang berbuat baik kepada raja dan kepada negeri dan kepada rakyat. Maka hendaklah raja memandang kepadanya serta memaniskan muka raja memandang mereka itu senantiasa senang hati, kerana ia banyak kebaktian kepada raja.

Hendaklah raja itu memeriksa sekalian wazir-wazir dan Hulubalang dan segala orang yang jahat dan durhaka dan tiada ia mengikut Qanun kerajaan. Dan tiap-tiap yang salah itu hendaklah dihukum dengan tertib menurut kesalahan dosa yang diperbuat, sesudah diperiksa dengan sehalus-halusnya, supaya jangan zalim menjatuhkan hukum.

Dan demikian lagi raja-raja hendaklah senantiasa ia memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan Alim-Ulama dan mendengar nasihat ulama. Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri dari bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak, iaitu ulama-ulama yang suka memuji-muji raja dan maghzul*kan dia dan mengharap minta keridhaan raja. Maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membikin huru-hara negeri dan yang memecah-belah rakyat, seperti dajjal..."
* Maghzul = kata-kata lucah-cabul tentang perempuan, yang diucapkan ketika senda gurau
Kutipan dari
"Qanun Asyih Darussalam"
(Peraturan Pemerintahan Acheh) di zaman Iskandar Muda Mahkota Alam (1606-1637)

Saya perturunkan kedua-dua wasiat Raja ini untuk renungan. Sudah begitu banyak wasiat-wasiat ini dilanggar atau dilonggarkan. Hendaknya para pemimpin Melayu kembalilah kepada perkara pokok dan asas perjuangan.

Betul Melayu itu Islam. Tetapi Islamnya Melayu itu tentulah ada ukurannya, ada prinsipnya. Kalau Melayu dan pemimpin Melayu langgar dan longgarkan prinsip-prinsip Islam, tentulah jati dirinya boleh dipersoalkan. Jati diri Melayu itu bersendikan Islam, bersumberkan al-Qur'an dan Sunnah, ijmak dan qias.

Apakah para pemimpin kita hari ini benar-benar berpegang kepada wasiat Raja Melayu dahulu dan benar-benar berjuang demi agama, bangsa dan negara? Ataukah mereka selama ini sudah lari daripada asas perjuangan warisan para pejuang terdahulu, bermula daripada zaman Tun Perak hingga kita mencapai kemerdekaan. Merdekakah kita kalau prinsip dilangar dan semakin longgar dari pegangan kita?

Renungkanlah... Fikirkanlah sedalam-dalamnya wasiat Raja Melayu dahulu. Banding-bandingkanlah dngan apa yang berlaku sekarang.

1 comment:

ikan emas said...

Thanks for info...'Raja' dlm 8 wasiat ni jg bermaksud pemimpin..