Wednesday, August 19, 2009

ANUGERAH MERDEKA PENGIKTIRAFAN TERHADAP BUDAYA ILMU


Assalamualaikum dan Salam Merdeka.
Saya ingin merakamkan tahniah dan syabas kepada Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang, Naib Canselor UTM yang diumumkan sebagai penerima Anugerah Merdeka kategori Pencapaian Ulung Akademik semalam. Prof. Zaini Ujang, 44 tahun adalah Naib Canselor termuda di dunia. Ketika dilantik tahun lepas, beliau hanya berumur 43 tahun.

Untuk catatan, beliau sebelum ini pernah menerima pelbagai anugerah akademik di peringka kebangsaan. Antaranya ialah Maaysian Water Award (2004), Outstanding Young Malaysian Award(2004) dan Anugerah Melayu Cemerlang (2006). Beliau menerima anugerah darjah Dato' Setia Negeri Sembilan (DSNS) pada tahun 2007 atas pencapaian dan sumbangan akademiknya.

Bagi saya beliau adalah ikon generasi baru hari ini. Pencapaian luar biasanya dalam bidang akademik amat meyakinkan. Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan alam sekitar ketika berusia 31 tahun (1996). Beliau telah menulis 20 buah buku dalam bidang alam sekitar dan budaya ilmu. Yang manisnya, pada tahun 1992, saya bersama Prof. Zaini dan Fatini Yaakob telah menulis buku Fenomena Remaja.

Baru-baru ini saya menghadiri Syarahan Perdana beliau selaku Naib Canselor UTM dengan tajuk "Universiti, Keativiti, Inovasi". Ucapan bersahaja beliau yang diselang-selikan dengan kartun Lat amat menarik. Buat pertama kalinya dalam sejarah universiti di Malaysia, UTM mengorak langkah untuk menghantar 5,000 pelajar ke luar negara bagi program pertukaran pelajar untuk tempoh 2 minggu hingga satu semester. Katanya, bagaimana kita hendak bersaing dengan negara luar jika mahasiswa kita tidak pernah ke luar ngara?

Saya sangat teruja membaca buku beliau "Menghayati Budaya Ilmu: Faham Ilmu, Amalan dan Panduan". Buku ini amat sesuai dibaca oleh semua mahasiswa dan pensyarah universiti dan kolej kerana ia boleh dijadikan panduan dan inspirasi bagi menyuburkan dan menyemarakkan lagi amalan budaya ilmu dalam kehidupan harian.

Beliau juga telah melakukan pelbagai penyelidikan kejuruteraan alam sekitar yang diiktiraf dunia. Kalau dinilai dari segi komersil, pendapatan penyelidikannya sahaja suah mencecah hampir RM10 juta. Beliau telah mempatenkan sebanyak 40 produk penyelidikan dan 6 daripadanya telah dikomersilkan.

Saya yakin anak muda berjiwa besar ini patut dijadikan ikon generasi muda kini. Prof. Zaini adalah contoh teladan anak muda yang sarat dengan pencapaian dan idealisme. Faham ilmu pegangannya cukup mantap dan patut dicontohi. Contoh penting yang patut dijadikan ikutan ialah amalan pembacaannya yang cukup luas. Kalau boleh, saya cadangkan RTM atau TV3 memperuntukkan satu slot akademik dalam bentuk dialog dengan mengundang Prof. Zaini Ujang sebagai pembicara utama. Tentulah banyak idea-idea kreatif dan inovatif dapat dilontarkan oleh beliau nanti.

Anugerah Merdeka yang menawarkan hadiah berjumlah RM500,000.00 memang kena pada tempatnya. Siapa kata melalui program hiburan popular seperti Akademi Fantasia atau Jangan Lupa Lirik sahaja seseorang boleh dapat ganjaran kewangan yang tinggi. Dunia akademik dan budaya ilmu patut diberikan sanjungan yang lebih tinggi daripada dunia hiburan. Inilah prestijnya Anugerah Merdeka yang merupakan pengiktirafan kepada amalan dan penghayatan budaya ilmu.

Semoga Prof. Zaini dipanjangkan umur dan terus berkarya, serta dapat membimbing generasi muda ke arah penghayatan budaya ilmu yang tinggi nilainya.

Salam Perjuangan.
BAM AL-HAJ

No comments: