Thursday, February 5, 2009

MENYEDIAKAN PEMIMPIN MASA DEPAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya berpendapat bidang kepemimpinan (leadership) sangat penting bagi menjamin masa depan negara. Kita mesti bersedia daripada awal untuk melahirkan pemimpin muda yang kompeten untuk mengambil alih kepemimpinan negara pada masa akan datang.

Pemimpin bukan sahaja dalam bidang politik, tetapi juga pemimpin korporat, pentadbiran, keilmuan dan masyarakat sivil.

Selama ini, nampaknya pemimpin yang lahir di negara kita adalah lahir secara tidak dirancang. Pemimpin lahir secara semulajadi melalui NGO dan parti-parti politik. Oleh itu, tidak ramai yang benar-benar mempunyai kualiti.

Saya berpendapat, pemimpin patut lahir melalui perancangan. Kita mempunyai ramai pemimpin muda di peringkat mahasiswa. Setiap universiti (IPTA dan IPTS) biasanya akan melahirkan tidak kurang daripada 100 pemimpin mahasiswa (sama ada MPP, persatuan anak negeri, persatuan di peringkat fakulti atau kolej), dengan adanya kira-kira 30 universiti, setiap tahun kita mempunyai bakat kepemimpinan yang berjumlah tidak kurang daripada 3,000 orang.

Ke manakah mereka selepas tamat pengajian? Kebanyakannya sekadar berkhidmat dalam kerajaan mahupun swasta. Bakat kepemimpinan mereka biasanya berakhir dengan pelbagai kemelut kehidupan. Alangkah ruginya negara!

Saya berpendapat, sudah sampai masanya, pihak kerajaan memikirkan supaya diwujudkan sebuah Akademi Kepemimpinan (Leadership Academy) untuk anak-anak muda ini. Setidak-tidaknya, katalah kita ambil setiap tahun 500 orang sebagai pelatih/kadernya, dalam tempoh 10 tahun kita akan melahirkan 5,000 pemimpin muda yang terlatih.

Bayangkan, kita mempunyai 5,000 pemimpin muda yang sudah diterapkan dengan kesedaran sejarah, kefahaman perlembagaan, kekuatan pemikiran, kebijaksanaan hujah, keupayaan dan pelbagai aspek kepemimpinan lagi. Negara kita pasti akan melonjak ke mercu kegemilangan yang kita cita-citakan.

Mereka yang terlatih inilah yang akan mengisi dan mewarisi kepemimpinan politik, korporat, pentadbiran dan masyarakat sivil (NGO) pada masa akan datang.

Apa yang lebih penting lagi, oleh kerana mereka datang dari akademi yang sama, tentulah fikrah (pemikiran) mereka dapat disatukan. Apabila pemimpin bersatu, lahirkan bentuk kepemimpinan negara yang kuat!

Fikirkanlah!

No comments: