Tuesday, August 4, 2009

POLIGAMI DAN MISI ORIENTALIS


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tahniah kepada Khadijah Aam, isteri Ustaz Ashaari (bekas Ketua Al-Arqam) yang berani menubuhkan kelab Poligami Ikhwan di Sg. Petani 1 Ogos lepas. Khabarnya dah ada 300 ahli. Tak hairanlah ramai ahlinya sebab mereka semua kan bekas ahli kumpulan yang telah diharamkan oleh kerajaan 10 tahun lalu, kata seorang rakan saya. Tentulah ramai wanita Islam menentang dan marah dengan tindakan ini.

Apapun, saya ingin berkongsi pendapat tentang poligami yang dibenarkan/dihalalkan oleh Islam. Al-Qur'an dengan jelas (dalam Surah An-Nisa') menyuruh supaya umat Islam berkahwin 2, 3 atau 4; tetapi dengn tegas pula memberikan amaran jika takut tidak mampu beraku adil, memadailah dengan seorang isteri.

Rasanya sudah banyak dibahaskan tentang "berlaku adil" itu, namun natijahnya wanita Islam kini semakin kuat menentang dan membenci poligami, walhal mereka tahu Islam membenarkannya. Kenapa?

Jawabannya sudah kita ketahui. Kebanyakan yang kahwin lebih daripada seorang biasanya tidak berlaku adil. Banyak contoh-contoh yang membuktikan "ketidakadilan" sang suami. Di tv pula, watak-watak lelaki yang berkahwin dua atau lebih sudah menjadi momokan dan senda gurau sinis dan nampaknya dijadikan alat oleh pihak-pihak tertentu untuk menolak poligami.

Malangnya umat Islam tidak sedar bahawa "penentangan" dan "kebencian" mereka kepada poligami sebenarnya adalah jarum halus para orientalis Barat sejak zaman Snouck Hurgronje lagi. Mubaligh Kristian yang pernah berpura-pura memeluk Islam dan "melakukan ibadah haji" di Mekah pada adab ke 19 dululah yang telah membuat kajian dan pemerhatian tentang perkembangan Islam. Di Acheh dan di beberapa negara Islam yang dikunjunginya, dia melihat Islam berkembang begitu pesat melalui perkahwinan, terutama poligami.

Dia balik ke Belanda dan mula menjalankan kempen bagi memburuk-burukkan ajaran Islam. Salah satu senjatanya ialah poligami. Maka ditimbulkan isu-isu "ketidakadilan" poligami dengan contoh-contoh negatif. Sedangkan pada zamannya, banyak tokoh-tokoh agama yang berpoligami begitu berjaya dan tidak seperti yang digambarkannya.

Media filem dan drama digunakan oleh para orientalis Barat supaya semua orang, termasuk umat Islam, menolak poligami. Dato' Aidit Ghazali pernah menyatakan pada saya betapa golongan ini mereka-reka cerita Cinderela yang didera dan dizalimi oleh ibu tirinya. Bermula daripada itu, beberapa filem lain muncul dengan lebih jelas bagi menentang poligami.

Cerita-cerita itu diubahsuai dan masuk ke negara kita, antaranya melalui filem Bawang Putih Bawang Merah dan Ratapan Anak Tiri. Drama-drama Melayu mutakhir pun banyak menonjolkan cerita-cerita kezaliman suami yang berpoligami dan seumpamanya.

Tahun lepas, Indonesia gempar dengan kemunculan filem "Berbagi Suami" yang kemudiannya dijadikan drama bersiri, yang kemudiannya turut ditayangkan di Astro. Akibatnya, umat Islam sendiri merasa begitu "jijik" dengan poligami. Walhal poligami adalah sunnah Rasulullah SAW. Apakah hukumnya orang yang menentang perkara yang dihalalkan oleh Islam dan menolak sunnah?

Memang poligami tidak sepatutnya diamalkan oleh orang biasa-biasa, apa lagi dilakukan sesuka hati semata-mata untuk melayan nafsu. Malangnya, inilah yang sering berlaku dan dijadikan bahan publisiti.

Bukan tidak ada orang yang berpoligami dengan betul, tetapi tidak ditonjolkan. Banyak contoh amalan poligami yang positif. Lihat sahaja Tan Sri Hassan Azahari, tokoh agama kita yang tersohor. Kalau tidak silap saya, beiau beristeri tiga. Anak-anaknya ramai yang berjaya, termasuk Tan Sri Musa Hassan (KP Polis Negara), Dato' Fuad Hassan, Dato' Jalaluddin Hassan dan Dr. Zaidi Hassan (UIA).

Haji Yassin, bapa kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berpoligami. Saya difahamkan anaknya melebihi 40 orang daripada 4 isteri, dan lebih 80% anak-anaknya adalah lulusan universiti dan menjadi tokoh politik, Naib Canselor universiti, arkitek, jurutera dan peguam. Contoh-contoh seumpama ini patut ditonjolkan supaya pandangan serong terhadap poligami dapat dihindarkan.

Ulasan DS Sharizat Jalil semalam agak rasional. Katanya, hanya lelaki yang berhemah tinggi serta mengikut apa yang dilakukan Rasulullah sahaja yang boleh dan patut berpoligami. Saya bersetuju. Hanya lelaki yang cukup tinggi "kesabaran" dan ilmu serta amalan agamanya dapat mengendalikan poligami. Sebab itulah undang-undang keluarga Islam begitu ketat dalam hal poligami supaya tidak disalahgunakan.

Menolak, menentang, membenci dan meragui poligami adalah agenda orientalis Barat untuk melemahkan Islam. Mereka tidak suruh umat Islam membenci Al-Qur'an, tetapi secara halus memasukkan jarum-jarum keraguan dengan cara memainkan emosi wanita supaya umat Islam meragui beberapa bab dalam ajaran Islam itu sendiri.

Misi orientalis Barat ternyata cukup berjaya. Tanyakanlah kepada mana-mana wanita Islam di seluruh dunia, tak sampai 1% pun yang bersetuju dengan poligami, apa lagi untuk merelakan suaminya berpoligami. Bahkan, ironinya, wujud pertubuhan-pertubuhan dan gerakan-gerakan yang menuntut emansipasi wanita, persamaan gender dan menolak poligami secara terang-terangan. Di Malaysia antaranya ialah Sisters in Islam yang begitu konsisten menolak poligami. Ironinya, pendokongnya bukan sedikit.

Yang lebih canggih lagi ramai pula wanita yang kononnya sanggup suami mereka kahwin dua, tetapi dengan syarat "ceraikan" mereka. Tidak sedarkah mereka bahawa "arash" Allah SWT bergegar ketika tuntutan itu disuarakan kepada suami. Kaum wanita kini sanggup melakukan apa sahaja asalkan tidak dimadu!

Harap-harap penubuhan Kelab Poligami atau apa sahaja namanya dapat membantu memurnikan poligami yang dibenarkan oleh Islam. Jangan nanti kerana kelab itu ditubuhkan oleh bekas ahli Al-Arqam, ia disalahgunakan atau menjadi alat untuk kembali menghiupkan ajaran tersebut (Kalau dulu kumpulan ini menamakan diri mereka kumpulan Rufaqa' Corporation dan menguasi Bandar Country Homes di Rawang, kini nampaknya muncul semula di Sg. Petani dengan bernaung di bawah syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd> Harap Jabatan agama negeri pantau-pantaulah).

Apapun, umat Islam kena kembali kepada asas/fitrah. Islam adalah agama fitrah. Kebenaran berpoligami adalah ujian kesabaran dan keimanan baik buat suami mahupun isteri. Kepada suami-suami yang berpoligami, janganlah mengutamakan apa lagi mengabaikan isteri yang pertama. Kepada isteri yang bermadu, ingatlah bahawa ujian keimanan ini akan mendapat ganjaran yang tinggi di sisi Allah SWT.

Anda berani?

BAM AL-HAJ

1 comment:

ikan emas said...

Kejujuran dan kepercayaan tu yg penting..

Kebanyakan kes poligami yg kita tau semata-mata krn hawa nafsu..cinta kali keseribu...Konon yg ni nak ikut sunnah Nabi. Nk jg cari ikon bab poligami ni.. Tan Sri Hasan Azahari??? atau SY ( iyer ker?)