Tuesday, January 20, 2009

BUKU BARU - NEW POLITICS (POLITIK BARU)

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera.
Pelancaran buku New Politics (Politik Baru) tulisan Dato' Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini oleh Dato' Sri Najib Tun Abd Razak saya fikir amat relevan dan bertepatan dengan senario politik hari ini.

Sebagai pemimpin generasi baru, pemikiran Dato' Saifuddin memang dikenali sebagai tokoh belia yang disegani. Idea-ideanya sentiasa segar dan berpijak di bumi nyata. Rukun politik pegangan beliau, iaitu idealisme, aktivisme dan intelektualisme teserlah dalam gaya ucapan dan pendekatan beliau berinteraksi dengan khalayak.

Beliau percaya perlunya menjana semula pemikiran tentang politik supaya ahli politik mengamalkan politik berintegriti, politik berilmu, politik berhikmah dan politik untuk berbakti.
Saya percaya pemikiran politik baru ini perlu dihadam dan didalami oleh generasi baru yang meminati politik dan berniat untuk terjun ke dunia politik yang penuh dengan cabaran.

Di sinilah perlunya kita mempelopori usaha untuk mewujudkan kumpulan pemimpin muda yang mempunyai jatidiri dan idealisme perjuangan yang jelas dan mantap. Kita mempunyai begitu ramai pemimpin mahasiswa yang berpotensi.

Setiap tahun tidak kurang daripada 900 orang exco MPP universiti, baik IPTA mahupun IPTS (30 orang x 30 universiti, belum termasuk universiti kolej dan institusi lain) setiap tahun. Jika dikira yang berumur 21 - 30 tahun, bermakna universiti sahaja telah melahirkan 9,000 pemimpin mahasiswa dalam tempoh 10 tahun. Kalau dikira persatuan anak negeri, fakulti dan kolej, jumlahnya mungkin 10 kali ganda (90,000).

Malangnya, bakat kepemimpinan mereka hilang begitu sahaja setelah memasuki alam pekerjaan. Hanya beberapa kerat yang menonjol dalam persatuan belia, NGO dan politik.

Sesuatu harus dilakukan jika kita mengimpikan "politik baru" yang disebutkan oleh Dato' Saifuddin. Sebuah "Akademi Kepimpinan dan Pengurusan Strategik" perlu untuk melatih bakal pemimpin masa depan (the future leader). Melalui akademi ini, kita akan dapat melahirkan kumpulan pemimpin muda yang benar-benar kompeten dan mampu mengambilalih dan mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang.

Kurikulumnya mungkin termasuk bidang-bidang kemahiran berfikir, berpidato, komunikasi, pengurusan, sejarah, hubungan antarabangsa dan penghayatan nilai-nilai agama.
Tidak semestinya kita melatih mereka untuk menjadi pemimpin politik sahaja, tetapi akademi ini juga akan melatih bakat-bakat muda ini untuk menjadi pemimpin dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, korporat, NGO, intelektual dan agama.

Saya mencadangkan supaya idea ini diperhalusi dan dijelmakan seberapa segera yang boleh. Kita tidak boleh lagi menunggu lahirnya pemimpin secara ad hoc, atau mengharapkan munculnya pemimpin baru daripada NGO-NGO sedia ada secara biasa. Sepatutnya, akademilah yang berperanan melahirkan pemimpin NGO, politik dan bidang-bidang lain supaya tahap kompetensinya lebih tinggi dan hebat.

Apa pun, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Dato' Saifuddin Abdullah yang mampu menetaskan idea baru yang hebat di tengah-tengah kesibukannya menangani kemelut politik baru kini. Saya percaya universiti pengalaman yang beliau lalui sepanjang bergerak cergas dalam NGO belia cukup bermakna dan menjadi asas kepada lahirnya buku hebat ini.

Salam Perjuangan,
BAM AL-HAJ

No comments: