Thursday, January 15, 2009

REMAJA TERAS KEKUATAN UMMAH

Remaja teras kekuatan umat
Oleh NURUL IZZAH SIDEK (fikrahremaja@yahoo.com)
DUNIA sekali lagi menyaksikan kekejaman yang dilakukan ke atas bumi Palestin. Kali ini Semenanjung Gaza dibedil dengan hebatnya, kononnya untuk menghapuskan pejuang-pejuang Hamas yang dilabel pengganas oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.
Sungguhpun begitu, tempat-tempat awam seperti hospital, masjid dan universiti pula yang disasarkan dengan bedilan bom, lantas mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.
Serangan darat menambah buruk lagi keadaan rakyatnya. Lebih 800 nyawa sudah gugur dan beribu-ribu lagi cedera dalam permainan senjata Israel. Apatah lagi dengan sekatan bekalan makanan dan ubat-ubatan, kelangsungan hidup rakyat Palestin kini sangat kritikal dan mereka hidup dalam keadaan yang sangat memilukan.
Di kaca televisyen, kita boleh melihat visual bom berangkai dilepaskan sewenang-wenangnya di tempat awam, seolah-olah nyawa rakyat Palestin seperti sudah tiada harga lagi.
Tindakan provokasi
Persengketaan Palestin-Yahudi Israel bukanlah sesuatu yang baru. Negara Palestin adalah tempat lahir dan tinggal sebahagian besar para Rasul dan Nabi Allah menyebarkan Islam, kawasan terletaknya Masjid al-Aqsa, tempat berlakunya Israk dan Mikraj serta kiblat pertama umat Islam.
Menurut sumber sejarah, bangsa Yahudi hanya duduk memerintah selama empat kurun sahaja semenjak zaman Nabi Allah Daud, Nabi Sulaiman dan dijajah pula oleh bangsa Parsi dan Rom selepas itu. Umat Islam pula telah memerintahnya semula selama 12 kurun semenjak ditadbir oleh Saidina Umar r.a pada tahun 636 Masihi sehingga diambil alih oleh Kerajaan Uthmaniah.
Puak Yahudi tidak berputus asa dan dengan sokongan Britain yang berjanji untuk mewujudkan negara Yahudi di bumi Palestin, mereka telah mempengaruhi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan Ketetapan 181 (UNISCOP 1947) pada November 1947. Ketetapan ini telah membahagikan 55 peratus tanah Palestin kepada pendatang haram Yahudi dan selebihnya diserah kepada penduduk asal Palestin yang sah.
Akhirnya Yahudi berjaya menubuhkan negara Israel secara haram pada 1948 dengan sokongan Britain dan nasionalis Arab Palestin. Ia bercanggah dengan prinsip PBB sendiri kerana tidak mengambil kira hak dan suara rakyat Palestin.
Peperangan Arab-Israel yang diakhiri dengan kekalahan di tangan Arab akibat kelemahan pimpinan politik dan tentera telah memberi peluang kepada Israel menambah peluasan wilayah mereka kepada 78 peratus wilayah Palestin.
Sekutunya Amerika Syarikat (AS) merestui tindakan peperangan Israel dan baru-baru ini menolak pelan damai Hamas-Israel dengan hujah bahawa Hamas merupakan kumpulan militan yang bertindak merampas kuasa daripada Pihak Berkuasa Palestin.
Namun begitu, tindakan ketenteraan Israel kali ini lebih dilihat untuk mencetuskan provokasi terhadap negara Islam yang lain, iaitu Iran dan Hizbullah. Iran yang diketahui mempunyai program pembangunan nuklear dan telah berupaya membangunkan kekuatan ketenteraan seperti membina jet pejuang dan bom sendiri telah mencetuskan kebimbangan di kalangan kuasa besar.
Maka tindakan ini tidak lebih daripada provokasi Presiden Bush sebelum tamat penggal pemerintahannya untuk mengheret Iran dan negara Islam lain ke dalam peperangan Israel-Palestin agar mereka mempunyai alasan untuk menutup program pembangunan nuklear dan melemahkan kekuatan negara tersebut.
Ia secara tidak langsung menguji dan mengheret pentadbiran Barrack Hussien Obama, presiden AS seterusnya ke kancah peperangan.
Sesungguhnya sebagai umat Islam dan manusia yang bertanggungjawab, kita kesal kerana negara Barat yang kononnya kuat mempertahankan hak-hak asasi manusia, demokrasi dan sebagainya berlepas tangan apabila berlaku pencabulan hak asasi rakyat Palestin. Penubuhan negara Israel secara haram diiktiraf sah oleh pihak Barat tetapi mereka tidak mengiktiraf pergerakan Hamas yang memenangi pilihan raya secara demokrasi.
Membina kekuatan
Amat sedih apabila terdapat negara Islam terpaksa bertungkus lumus dan bersusah payah menjawab surat tunjuk sebab kepada PBB kerana dikatakan melanggar hak asasi manusia, sedangkan PBB sendiri tidak bertanggungjawab dengan ketetapan sedia ada untuk Palestin atau negara Islam yang lain.
Justeru sebagai remaja yang melihat situasi penderitaan saudara di Palestin dan tempat lain, runtunan emosi seperti marah, sedih dan sebagainya sudah pasti wujud, tetapi seharusnya diikuti dengan perasaan untuk membantu semangat memajukan negara dengan rasa tanggungjawab dan iltizam untuk memajukan umat.
Tunjuk perasaan dan tindakan memulaukan barangan Yahudi dan AS mungkin merupakan langkah yang boleh dilakukan sebagai protes terhadap tindakan mereka, tetapi ia merupakan tindakan jangka pendek. Persoalannya, adakah umat Islam sendiri telah bersedia untuk memulaukan barangan dengan mencipta barangan keluaran mereka sendiri?
Oleh itu sebagai strategi jangka masa panjang, umat Islam perlu berusaha membina kekuatan agar dapat dimanfaatkan untuk menjaga kemaslahatan umat Islam serta membina pelan tindakan yang konsisten dan tersusun di mana kesemua negara Islam terlibat sama.
Dalam melakukan proses tersebut, remaja seharusnya meningkatkan ilmu duniawi, dan dalam pada masa yang sama harus berusaha meningkatkan kefahaman terhadap iman dan akhlak.
Misalnya, remaja boleh membantu bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga untuk keperluan umat Islam dengan sentiasa istiqamah dalam menambah pengetahuan dan kemahiran. Sekiranya remaja mempunyai bakat kepimpinan, bakat tersebut boleh disuburkan untuk memimpin bangsa agama dan negara.
Jika remaja tersebut mempunyai bakat dalam mencipta sesuatu yang baru, bakat tersebut boleh digunakan untuk kepentingan orang Islam. Justeru, tidak kira apa bidang yang diceburi, remaja merupakan aset penting kepada negara yang diharapkan menjadi penyumbang kepada kemajuan umat Islam dan membina kekuatan yang diharapkan.
Krisis di Palestin juga seharusnya memberi pengajaran terutamanya kepada remaja Islam berusaha menyusun strategi jangka panjang, meningkatkan pengetahuan terhadap sejarah lampau dan tentang pentingnya keamanan dan perpaduan.
Remaja Islam harus menginsafi bahawa kemajuan teknologi boleh dijadikan alat untuk membuat kebaikan, tetapi juga teknologi juga boleh digunakan untuk menganiayai dan menindas orang. Apabila teknologi berada pada tangan yang rakus dengan kuasa, maka ia akan membawa mala petaka yang besar terhadap masyarakat sekelilingnya.
Perbezaan antara orang Islam dengan Yahudi ialah mereka mempunyai semangat jihad yang tinggi. Walaupun tanpa sokongan alat ketenteraan yang besar dan kuat, mereka mempunyai semangat juang yang sangat tinggi untuk mengembalikan hak mereka.
Tentera Israel berani melakukan kezaliman terhadap penduduk Palestin kerana banyak bergantung kepada kelengkapan tentera dan mendapat sokongan kuasa-kuasa besar.
Justeru, inilah masanya umat Islam bersatu dan berusaha untuk membina kekuatan sendiri. Umat Islam wajib bersatu padu mempertahankan Islam dan tidak bergantung harap bantuan orang bukan Islam untuk menyelamatkan maruah Islam.
Kesimpulan
Israel akan pasti terus berusaha untuk mengusir rakyat Palestin dan menguasai sepenuhnya negara Palestin. Di negara lain, umat Islam juga terhina di bumi sendiri. Sikap tidak peduli umat Islam tentang persoalan akidah, ibadah, syariat dan akhlak akan menjerumuskan umat Islam di bawah telunjuk Yahudi dan pakatan mereka.
Umat Islam, khususnya remaja Islam harus berhati-hati terhadap propaganda Amerika terhadap perjuangan Palestin dan umat Islam seluruh dunia di dalam media yang kebanyakannya dikuasai oleh mereka.

No comments: