Thursday, January 15, 2009

SELAMATKAN PALESTIN, HANCURKAN ZIONIS ISRAEL!

Selamatkan Palestin, hancurkan Zionis Israel

Oleh Tuan Nur Suhaila Raja Muhammadmailto:Muhammadbhsastera@nstp.com.my

Saksikan penyair bersatu dalam puisi mengutuk kezaliman Yahudi laknat KEBENCIAN dan rasa marah membuak-buak terhadap kezaliman rejim Israel yang menghujani bumi Palestin dengan serangan roket menguasai emosi deklamator yang beraksi pada majlis Baca Puisi Pena: Selamatkan Palestin, Hancurkan Zionis Israel sehingga meremangkan roma khalayak kerana simpati dengan nasib malang mangsa kekejaman Yahudi itu.

Deklamator sepakat membela nasib bumi Palestin yang saban hari bersiram darah akibat bedilan bom oleh rejim Zionis dengan alasan untuk mengajar musuhnya, Hamas, hingga difitnah memulakan serangan demi menghalalkan tindakannya menjadikan orang awam termasuk wanita, lelaki berusia mahupun kanak-kanak tidak berdosa, sebagai sasaran.

Acara bulanan anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, pada 9 Januari lalu, seolah-olah cuba mengembalikan kembali adab dalam Islam pada majlis itu apabila acara dimulai dengan bacaan doa oleh Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Azman al-Khurowi. Naib Setiausaha Agung Pena, Shamsudin Othman dengan suara ibarat peluru berpandu menggegarkan suasana malam dengan Berkunjung Ke Rumah Kedamaian yang digarap daripada Surah al-Fil memohon bantuan Ilahi bagi menghapuskan rejim Israel dengan cara menghantar burung ababil bagi menghancurkan tentera bergajah Musyrikin.

Bom di mana-manaBom!
OMM! Bommm! BOMMMM!
BoMMMMMdepan BOM!
belakang BOM!kanan BOM!kiri BOM!jeritan di sana sini
tangisan di sini sana bertingkah menyilang ruangratapan
dan doa adalah penangkis
setelah darah mengalir menuju jihad.

Kita di kejauhan, di sini tanah airku
hanya mampu menumpang sedih juga berkongsi sengsara
melihat dengan insaf
mendengar dengan taubat
kezaliman demi kezaliman.

Penyair bersuara lantang dari Kedah, Puzi Hadi menyingkap krisis di Genting Gaza termasuk Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Liga Arab, Amerika & Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Israel & Parti Kadima serta Kesatuan Eropah serta Russia lewat puisinya, Genting Gaza,

Gentingnya Genting. ...
Gentingnya
gentingkah serangan roket Qassam Hamas
buatan tangan versus serangan udara Israel Defence Force (IDF)
peluru berpandu made-in-USA
Gentingnya pemastautin Gaza menjadi warga OKU:
Kurang upaya air dan makanan,
kurang upaya rumah dan sekolah,
kurang upaya mengimpikan esok
pada cahaya mentari pada sinaran bulan Gentingnya ...
dan kematian di Gaza
Gentingnya umat Islam Gaza dan Tebing Barat
sama gentingnya umat Islam di Iraq, Afghanistan dll.
seantero dunia dilabel teroris hijau
oleh George W Bush selepas 9/11Gentingnya Gaza
meniti titi kematian
waima seribu Barack Obama mengepalai Presiden Amerika Syarikat ...
lalu kita kembali bermuhasabah diri,
doa dan al-Quran pada surah al-Fath (Kebenaran)
Surah 48:29 ayatGenting Gaza, gentingnya genting ...

Penyair veteran, Ahmad Sarju, menyentuh hati khalayak dengan puisinya, Puisi Anak-anak di Bumi Palestin, menyelitkan bait penderitaan anak Palestin, rentetan serangan Zionis Israel yang kejam sehingga mereka kehilangan ibu bapa tempat mereka berpaut dan tidak kurang cacat anggota sehingga tidak berdaya meneruskan hidup.

Yang berlumuran darah rebah
dan patah yang putus hangus tersepit
tertimbusyang terkurung bingung melaung
dan meraung yang merangkak
meniarap terketar dan
menggeletar yang layu dan terkulai tak mampu bergerak
yang menitis ke bumi bukan air mata tetapi darah rakyat Palestin.

Yang sempat berteriak
di bawah runtuhan batu besi
yang terketar dan menggeletar
di bawah bangunan terbakar
siapakah yang menyebabkan
angkara kejam begini si pembunuh pemimpin Israel
bangsa Yahudi yang gila membedil
dengan sekutunya berlagak adil
dengan tangan syaitannya
membunuh anak-anak di bumi Palestin.

Koordinator Pena, Dr Ahmad Razali Yusuf, memperkukuhkan lagi kekejaman Israel yang mensasarkan tembakan dan bedilan ke arah penduduk awam tidak berdosa sehingga kanak-kanak menjadi mangsa menggelepar menunggu ajal di sebalik bangunan runtuh lewat puisinya,

Ya Gaza. Anak-anak Palestina yang rindukan
Kemerdekaan dan perdamaian
Bumi subur yang menjadi rebutan
Dari seribu kekejaman tanpa destinasi Ya Hamas...

Dalam kemelut waktu dukamu
Ya Israel, ya Israel, ya Israel
Alias bangsa Yahudi terkutukK
ausasarkan peluru beracun
Dan ledakan bom-bom serta motar
Pada tubuh-tubuh tidak berdosa
Engkau ranapkan masjid-masjid dan sekolah
Di bumi Gaza
Biarpun protes dari seluruh dunia
Namun kedegilan,
terus membara di kepalamu.

Penyair veteran, Saring Sirad atau Ismas Saring mengajak khalayak melihat keangkuhan Israel lewat puisinya, Kaukah Umatku yang Mulia yang mengutuk ketaksuban bangsa itu sebagai kaum pilihan bagi menguasai dunia seperti tercatat dalam kitab suci mereka, sehingga sanggup membunuh bangsa lain.

Pena akan mengumpulkan semua karya hebat pemuisi tempatan mengenai penentangan terhadap kekejaman Israel yang dideklamasikan pada malam itu untuk dijadikan antologi bagi menghargai jasa mereka berkarya sambil berjihad. Majlis malam itu turut dihadiri Datuk Baharuddin Zainal , Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah, turut diserikan dengan bacaan puisi oleh Borhan Mat Zin, Daeng Ramli Akil, Khalid Salleh, Malim Ghozali, Ahmad Syukri Abdullah, Arbak Othman, Zubir Ali, Solihin Othman dan Amirudin Ali.

No comments: