Tuesday, January 20, 2009

UMAT ISLAM PERLU KEKUATAN BARU

Minda Pengarang Berita Harian 21 Januari 2009:
UMAT ISLAM SEJAGAT PERLU KEKUATAN PELBAGAI BIDANG

SEJAK peristiwa serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat (AS), dunia mula melihat Islam dalam perspektif berbeza sehingga digelar pelbagai gelaran negatif seperti pengganas dan militan. Tidak dapat dinafikan ia turut meningkatkan perasaan bimbang dan syak wasangka terhadap Muslim di banyak negara Barat, termasuk Britain.

Masalah itu semakin ketara apabila masyarakat bukan Islam gagal memahami atau tidak mahu memahami apa sebenarnya ajaran Islam seperti dituntut oleh Islam itu sendiri. Berikutan itu, seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah kelmarin, jurang perbezaan mendalam yang wujud antara dunia Islam dan Barat kini sebahagian besarnya adalah akibat salah faham serta salah tanggapan antara satu sama lain. Keadaan itu diburukkan lagi dengan suara keras dan lantang segelintir pihak yang mengatasi ramai golongan sederhana.

Dalam keadaan sedemikian, kita bersetuju dengan apa yang disarankan Raja Dr Nazrin bahawa sebarang tentangan terhadap kepelbagaian budaya, sama ada secara langsung atau tidak, sebahagian besarnya seperti menyerang Muslim dan Islam. Inilah yang mengakibatkan tercetus permusuhan antara manusia dengan ramai yang menderita kesan prejudis dan diskriminasi.

Sebenarnya, umat Islam kini berdepan serangan terancang secara fizikal atau minda. Usaha musuh untuk menjatuhkan Islam dan menyesatkan umatnya ini tidak pernah luntur sejak sekian lama, malah jauh sebelum peristiwa 11 September. Mereka akan melakukan apa saja bagi memastikan Islam dan umatnya terus berada di landasan yang salah dalam melaksanakan propaganda supaya arahan, kewajipan dan amalan agama diragui dan ditinggalkan penganut sendiri.

Respon terbaik terhadap keadaan itu ialah menjadikan seruan dan juga usaha ke arah persefahaman, hormat-menghormati dan saling menerima antara semua pihak, mendapat perhatian, kekuatan serta keberanian. Namun, apakah umat Islam sejagat mampu melakukannya?

Lebih malang lagi apabila umat Islam tidak menguasai media wahana penting dalam menentukan pandangan umum dan menawan hati serta perasaan. Akibatnya, ummah tidak dapat memainkan peranannya, apa lagi mengawal agenda media dunia hari ini sedangkan kita sedar bahawa maklumat itu kuasa dan sesiapa yang menguasai maklumat akan berkuasa.

Secara umumnya, umat Islam mundur dari segi kemampuan ekonomi, penguasaan teknologi dan tradisi keilmuwan. Kelemahan ummah menjadi penyebab rejim Israel yang disokong kuasa besar sewenang-wenangnya menggunakan kekerasan ke atas rakyat Palestin.

Mereka boleh memperkecilkan bukan saja kemarahan umat Islam di seluruh dunia, tetapi kecaman negara berdaulat lain. Apa yang berlaku di Palestin menjelaskan juga perihal ketidakupayaan umat Islam yang berjumlah 1.4 bilion untuk berdepan dengan kuasa ketenteraan. Lebih penting lagi ialah negara Islam rata-rata miskin dan ketinggalan.

Mungkin perlu diadakan lebih banyak perbincangan dan dialog antara dunia Islam dan Barat supaya suatu masa nanti salah tanggapan itu dapat dikikis ke arah kehidupan yang lebih aman dan sejahtera untuk semua, tanpa prejudis.

No comments: